Suhu di Semenanjung catat peningkatan setiap dekad
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Purata suhu permukaan Semenanjung Malaysia menunjukkan peningkatan 0.24 darjah Celsius setiap dekad, dengan pelbagai faktor sama ada semula jadi atau kesan aktiviti manusia antara penyebab.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata purata suhu bulanan di Semenanjung Malaysia pada Mei lalu adalah 28.8 darjah
Celsius, manakala purata suhu bulanan pada Mei 1974 iaitu 50 tahun lalu adalah 26.6 darjah Celsius.
“Peningkatan suhu ini dipengaruhi pelbagai faktor iaitu faktor semula jadi dan kesan daripada aktiviti manusia. Faktor semula jadi adalah seperti perubahan iklim global dan perubahan pola cuaca.
“Peningkatan pelepasan gas rumah kaca di atmosfera secara global menyebabkan perubahan iklim yang memberi kesan terhadap peningkatan suhu global dan impaknya dapat juga dirasakan di Semenanjung Malaysia,” katanya melalui jawapan bertulis di Parlimen.
Perubahan pola cuaca
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ngeh Koo Ham (Ph-beruas) mengenai purata suhu di Semenanjung Malaysia sekarang berbanding 50 tahun lalu, selain punca perubahan itu.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perubahan pola cuaca seperti perubahan hujan dan musim pula boleh mempengaruhi suhu tempatan.
Selain itu, katanya, aktiviti manusia seperti penebangan hutan, pertanian dan pembangunan infrastruktur menyebabkan hilangnya kesan penyejukan semula jadi, mengubah aliran air semula jadi dan iklim tempatan turut menyumbang peningkatan suhu.