Changlun: Perubahan cuaca yang mengakibatkan hujan lebat disebabkan bermulanya tempoh peralihan Monsun yang dijangka berterusan dari pertengahan September hingga November ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, keadaan ribut berterusan di negeri-negeri utara dijangka berterusan sehingga esok.
Beliau berkata, keadaan ini berpotensi menjana ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang untuk tempoh berpanjangan di negeri-negeri utara termasuk kawasan pantai.
"Selepas esok, kita menjangkakan keadaan cuaca bertambah baik.
"Bagaimanapun, penting untuk mengambil perhatian bahawa pada musim peralihan ini, cuaca di negeri utara akan kekal lembap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Khalil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa merujuk kepada laporan cuaca yang sahih daripada jabatan itu.
"Banjir kilat, lonjakan air, pokok tumbang, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur boleh berlaku pada masa ini.
"Orang ramai perlu kekal di dalam rumah, dan meletak kenderaan masing-masing di tempat yang lebih tinggi, selain menjauhi talian elektrik, dan elakkan daripada memasuki air banjir," katanya. -HARIAN METRO
SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan telah mengarahkan semua balai bomba di negeri ini untuk melakukan pemantauan 24 jam situasi banjir di negeri ini yang juga sebagai langkah menghadapi fasa peralihan monsun yang telah bermula.
Pengarahnya, Abdul Khair Osman berkata, selain itu, seramai 1,221 orang anggota bomba di negeri ini juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran hujan lebat yang sering melanda ketika ini.
“Kesemua 20 buah balai bomba di seluruh negeri ini akan melaksanakan pemantauan banjir 24 jam susulan hujan lebat yang sering berlaku ketika ini.
“Seramai 1,221 orang anggota bomba termasuk 350 bomba sukarela juga akan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Khair turut menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dengan maklumat terkini dari Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Penduduk perlu berpindah segera sekiranya air sungai mula melimpah terutamanya kediaman yang terletak berhampiran sungai.
“Mereka juga tidak digalakkan bermandi-manda di kawasan air terjun terutamanya semasa dan selepas hujan serta mengehadkan aktiviti menjaring ikan di kawasan berisiko,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu memberitahu, terdapat sebanyak 17 lokasi berisiko insiden kepala air yang dikenal pasti di negeri ini. -UTUSAN
KPM siap siaga hadapi bencana banjir
- Admin UKK
- Berita
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang mula melanda ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjadi tanggungjawab rutin kementerian itu bagi mendepani sebarang kemungkinan.
“Kerjasama dengan Nadma antara persediaan terbesar yang biasa kita buat, maknanya menuju ke musim tengkujuh dan persiapan-persiapan lain berkaitan dengan bencana banjir khususnya.
“Sekiranya ada apa-apa isu, kita telah menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah sentiasa bersedia khususnya sekolah-sekolah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan KPM susulan musim hujan yang melanda beberapa negeri.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal di sini hari ini.
Sekolah terbabit turut menerima sumbangan RM100,000 daripada KPM bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih.
Pusat Multidimensi adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua yang dilaksanakan pengeluar produk tenusu terkemuka selepas projek rintis dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Jun lalu.Murid yang terpilih berpeluang mengikuti pelbagai program antaranya kelas tuisyen percuma termasuk kelas mengaji serta kelas kerohanian atau kaunseling bagi membantu mengawal tekanan hidup dan emosi. - UTUSAN
5 kampung dilanda banjir di Maran
- Admin UKK
- Berita
MARAN : Lima kampung dan sebuah taman perumahan di Mukim Luit dan Chenor di daerah ini dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Kampung terbabit ialah Kampung Kuala Sentul, Sri Jaya, New Zealand, Baru Sungai Chedong, Berkat dan Taman Sri Chedung yang mula dinaiki air pada jam 10.50 malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Maran, Kapt (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan menempatkan sebanyak 145 keluarga membabitkan 559 mangsa.
"Hujan lebat itu turut menjejaskan rumah di kawasan berkenaan serta laluan utama turut digenangi air.
"PPS Kampung Baru Sungai Chedong menempatkan 53 keluarga dan 252 mangsa, Balairaya Kg Berkat, tujuh keluarga dan 26 mangsa, SK Kuala Sentul menempatkan 64 keluarga (207 mangsa) dan Surau Taman Sri Chedong menempatkan 21 keluarga dan 74 mangsa," katanya.
Katanya, agensi penyelamat sedang membuat pemantauan dan menghantar bantuan keperluan asas bencana serta kit makanan kepada mangsa yang terbabit.
"Ketika ini, hujan sudah berhenti dan air mulai surut, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan mendapatkan maklumat terkini terutama berkaitan laluan yang dikhuatiri ditenggelami air yang boleh mengancam keselamatan," katanya.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat,Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran (JPBD Maran / Negeri Pahang , Angkatan Pertahanan Awam Daerah Maran / Negeri Pahang dengan menelefon 09-2995 991. -
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti syor untuk mewartakan pingat khidmat khusus anggota penyelamat yang terbabit dalam misi kemanusiaan sebagai Pingat Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata secara prinsipnya perkara itu sudah dipersetujui dan ketika ini pihak yang berkenaan sedang memuktamadkan prosesnya dengan Bahagian Istiadat, Istana Negara.
Katanya, selepas selesai, anugerah Pingat Khas ini akan dinaik taraf sebagai Pingat Persekutuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota kerajaan khususnya pasukan beruniform yang terbabit dengan mana-mana misi menyelamat ditetapkan kerajaan.
Katanya, pada masa ini Pingat Khas yang diberikan hanya sekadar di peringkat dalaman yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Secara dasarnya cadangan ini telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan bagi permulaan kita menganugerahkan Pingat Khas ini terlebih dahulu kepada anggota yang terlibat," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Pingat Khas Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana, di sini hari ini.
Seramai 250 anggota yang terbabit dalam misi itu di Gaziantep,Turkiye, Februari lalu menerima Pingat Khas.
Sebelum ini Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya semua petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas, sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terbabit.
Anggota yang terbabit dalam misi itu terdiri daripada SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Armizan berkata, anugerah julung kali itu menjadi satu pembaharuan dilakukan Kerajaan Perpaduan.
"Kita juga bercadang dan sedang mengkaji untuk memberikan pengiktirafan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi kemanusiaan," katanya. BERITA HARIAN