OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Insiden tanah runtuh Tapah: Pemaju didakwa ceroboh tanah rizab LAP

Insiden tanah runtuh Tapah: Pemaju didakwa ceroboh tanah rizab LAP

IPOH - Insiden tanah runtuh di Taman Bunga Raya dekat Tapah minggu lalu membongkar kejadian berlakunya pencerobohan tanah rizab milik Lembaga Air Perak (LAP) bagi tujuan perumahan.

Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd Rahim berkata, perkara itu dikesan selepas terdapat kerja-kerja penambakan tanah melebihi 10 meter di atas dua saluran paip air mentah di kawasan tersebut.

Menurutnya, dua saluran paip bersaiz 825 milimeter (mm) dan 900 mm terbabit berfungsi membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh bagi kegunaan pengguna di sebahagian kawasan Batang Padang dan Hilir Perak.

"Kebiasaan paip air ditanam pada kedalaman sekitar 1 ke 1.5 meter dari permukaan tanah tetapi kita dapati, paip tersebut sudah ditimbus lebih 10 meter.

"Perkara ini disyaki membabitkan isu pencerobohan oleh pemaju.

"Cuma kita tak pasti bila pemaju ini menambak tanah di situ walaupun status tanah itu sebenarnya rizab kepunyaan LAP," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengarah Negeri Wilayah Utara Cawangan Perak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Ts Mohd Zaidi Mohamad Saad.

Lokman berkata, pemerhatian LAP kemudiannya mendapati, pergerakan tanah ditambak tersebut menjadi punca kebocoran pada salah satu saluran paip mentah yang mengakibatkan berlakunya gangguan bekalan air terhadap 50,000 pengguna akaun di Tapah, Bidor dan Teluk Intan.

Katanya, kerja-kerja awal antaranya pemasangan dinding penahan telah dijalankan bagi menstabilkan cerun dan LAP juga melakukan pintasan (bypass) sepanjang 500 meter pada dua saluran paip terlibat dengan kos lebih RM1 juta.

"Fokus utama kita sekarang untuk memulihkan kebocoran paip dan memastikan bekalan air kembali pulih dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

"Dalam mesyuarat bersama Pegawai Daerah hari ini telah meminta pihak terlibat untuk melakukan siasatan dan kenal pasti punca sebenar kejadian itu berlaku," katanya memberitahu saluran paip tersebut dipasang sejak tahun 1968.

Sinar Harian melaporkan, runtuhan tanah yang berlaku pada malam Isnin lalu mengakibatkan tiga rumah penduduk di Taman Bunga Raya mengalami keretakan dan berisiko untuk diduduki.

Insiden sama juga menyebabkan paip saluran air mentah bawah tanah milik LAP yang mengalirkan air ke LRA Bukit Temoh bocor hingga mengakibatkan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search