IPOH: Catuan bekalan air susulan penyusutan drastik paras air di Empangan Bukit Merah akibat cuaca panas hanya membabitkan bekalan pengairan tanpa catuan untuk kegunaan domestik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kawasan pengairan yang terbabit dengan catuan itu ialah Kompatmen E (Alor Pongsu) dan Kompatmen F (Bagan Serai) yang disalurkan melalui Terusan Besar.
Katanya, selain itu pengairan yang turut mengalami catuan adalah Kompatmen G (Selinsing ) dan Kompatment H (Gunung Semanggol) yang bekalan airnya disalurkan melalui Terusan Selinsing.
Beliau berkata, penyaluran air daripada empangan itu bagi mengairi kawasan di daerah Kerian dan sebahagian selatan Pulau Pinang iaitu Sungai Acheh membabitkan lapan kompatmen yang berkeluasan keseluruhan 20,000 hektar.
"Setakat ini sebanyak tiga kompatment sudah selesai menerima bekalan air (tutup bekalan) dan lima kompatmen lagi sedang menerima bekalan air.
"Selain itu penyaluran air empangan ini juga disalurkan untuk bekalan air domestik yang diambil Lembaga Air Perak (LAP) di tiga muka sauk iaitu di Loji Gunung Semanggol, Loji Sungai Rawa Bagan Serai dan Loji Jalan Baru.
"Semua bekalan pengairan dan bekalan air domestik ini disalurkan melalui dua terusan utama iaitu Terusan Besar membabitkan penyaluran 350cusec (9.911m3); dan Terusan Selinsing membabitkan penyaluran 220cusec (6.230m3," katanya dalam kenyataan malam ini.
Setakat jam 7.30 pagi tadi, Empangan Bukit Merah mencatatkan paras air 6.995 meter (m) (22.95 kaki), meningkat berbanding 6.965m yang dicatatkan semalam, namun masih pada tahap kritikal pengairan iaitu pada status Aras Kritikal Pengairan Tahap 1.
Mohammad Nizar berkata, bagi tindakan segera, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) daerah Kerian sudah menempatkan pam bergerak di lokasi kritikal bagi pengairan kawasan padi.
BARU-BARU ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kejadian cuaca lebih panas dan kering dijangka berlaku bermula bulan ini sehingga Oktober depan disebabkan fenomena El Nino.
Fenomena itu terhasil akibat pemanasan luar biasa permukaan Lautan Pasifik di rantau khatulistiwa sehingga menyebabkan perubahan cuaca drastik di benua Amerika Utara dan Selatan serta kemarau luar biasa di rantau Asia berdekatan wilayah Pasifik Barat.
Menurut pembahagian rantau oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara kita termasuk dalam lingkungan wilayah Pasifik Barat.
Secara umum dari segi geografi, wilayah Asia Tenggara keseluruhannya merupakan rantau yang terdedah terhadap kesan fenomena El Nino berkenaan.
Fenomena El Nino berpotensi menyebabkan cuaca yang lebih panas dan kering. Ini berpotensi menyebabkan kemarau, kekurangan bekalan air bersih, pendedahan terhadap cuaca panas yang menjejaskan kesihatan serta berlakunya jerebu.
Kesan langsung akibat peningkatan suhu harian boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kesan mendadak dan kesan berpanjangan.
Untuk individu yang tidak biasa dengan cuaca panas, pendedahan langsung dalam tempoh ketara secara berterusan boleh menyebabkan dia mengalami strok haba.
Peningkatan suhu mendadak dalam tempoh tidak normal menjejaskan metabolisme (proses kimia) organ dalaman sehingga mengakibat kegagalan jantung, buah pinggang, paru-paru serta organ utama lain.
Individu berkenaan akan mengalami gejala seperti peningkatan suhu tubuh, kadar pernafasan dan denyut nadi tinggi, tidak sedar, perubahan tahap mental dan tingkah laku, sakit kepala yang teruk serta loya dan muntah.
Individu rentan seperti warga emas atau pesakit buah pinggang kronik pula boleh berdepan komplikasi teruk sehingga mengakibatkan kematian seandainya tidak diberikan rawatan segera.
Untuk kesan kronik atau berpanjangan, antara yang sering diabaikan ialah kesan kekurangan air dalam tubuh (dehidrasi).
Ramai dalam kalangan warga emas terutamanya tidak mengambil air harian yang cukup sehingga mengakibatkan mereka terdedah kepada masalah dehidrasi teruk dan ini akhirnya boleh menjejaskan fungsi jantung dan otak.
Kesan dehidrasi ini juga bakal memburuk seandainya berlaku pencemaran air dan makanan yang mana individu berkenaan boleh mengalami muntah dan ciri-birit sekali gus menerukkan kehilangan air dari tubuh.
Situasi lebih panas juga menyebabkan keadaan tidak selesa dan mengakibatkan kurang fokus terhadap kerja-kerja rutin serta seseorang mudah stres dan mendapat sakit kepala.
Keadaan ini walaupun dianggap ringan, namun boleh menyebabkan keadaan lebih teruk kepada mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi (hipertensi).
Peningkatan suhu dan cuaca lebih kering juga menyebabkan individu yang mengalami alahan pada kulit berdepan situasi kulit lebih kering atau alahan semakin teruk.
Dalam menangani kemelut perubahan cuaca akibat fenomena El Nino ini, individu yang tidak biasa dengan cuaca panas perlu mengelak sebarang penglibatan aktiviti luar.
Pengambilan air minum seperti mana disyorkan, iaitu antara enam hingga lapan gelas sehari tidak boleh diabaikan. Bagaimanapun, mereka yang mengalami masalah buah pinggang perlu mengikut syor dinasihatkan oleh doktor yang merawat.
Di peringkat komuniti pula, amalan merokok dan menghisap vape perlu dibendung kerana kedua-dua tabiat berkenaan akan memburukkan pencemaran udara setempat di samping terus merosakkan fungsi paru-paru mereka yang mengamalkannya.
El Nino merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan. Namun, langkah pencegahan boleh dilaksanakan di peringkat individu serta komuniti secara kolektif. -UTUSAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 39 kes berkaitan cuaca panas sepanjang bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-16 hingga ke-23 iaitu antara 4 hingga 10 Jun lalu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata daripada jumlah itu 23 kes membabitkan kelesuan haba, manakala 11 lagi kerana kejang haba dan lima strok haba.
"Bilangan keseluruhan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah 10 di Kelantan, Sabah (9), Sarawak (8), Melaka (4), Terengganu (3), Kedah (2) serta masing-masing satu kes di Pahang, Kuala Lumpur serta Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mengikut pecahan umur, golongan dewasa mencatatkan 25 kes, diikuti remaja sembilan kes, kanak-kanak tiga kes dan dua kes membabitkan warga emas.
"Tiada kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan pada ME 23/2023. Ini menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal satu kes sahaja iaitu yang dilaporkan pada 25 April 2023.
"Semua kes yang mendapat rawatan adalah stabil dan telah dibenarkan keluar," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata negara kini dalam Monsun Barat Daya dan El Nino lemah sehingga September 2023 yang berpotensi menyebabkan cuaca dalam negara menjadi lebih kering berbanding Monsun Barat Daya pada 2020 hingga 2022.
Beliau berkata, keadaan cuaca kering berpanjangan itu juga berpotensi mengakibatkan paras air di empangan berkurangan, sekali gus menyebabkan bekalan air bersih terganggu, kejadian kebakaran terbuka dan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.
"Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai mengehadkan tempoh berada di kawasan panas terik dan mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas.
"Orang ramai juga digalakkan kerap minum air dan elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka. Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan berdekatan," katanya. - BERNAMA
Kemerosotan kesihatan lautan memburukkan lagi perubahan iklim, mewujudkan kitaran berbahaya yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
Sikap semberono manusia dalam penggunaan dan pembuangan plastik selama ini, mengancam dan mengganggu keseimbangan ekosistem marin. Penangkapan ikan berlebihan didorong amalan tidak selamat dan permintaan semakin meningkat untuk makanan laut, mengurangkan populasi ikan serta mengganggu rantai makanan.
Habitat pantai, termasuk hutan bakau dan terumbu karang, mengalami kerosakan merosot seterusnya mengancam kelangsungan hidup lautan kita. Faktor ini digabungkan peningkatan paras laut, suhu dan keasidan akibat perubahan iklim, mendorong lautan kita di bawah ancaman berterusan.
Mutakhir ini, isu perubahan iklim menjadi tumpuan berikutan kekerapan bencana alam terutama, sekali gus mengancam keselamatan manusia terutama kumpulan masyarakat lebih sensitif seperti kanak-kanak.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan 530 juta kanak-kanak tinggal di kawasan terdedah kepada banjir, manakala menjelang 2040, 1 daripada 4 kanak-kanak akan menghadapi krisis air melampau.
Kenaikan paras laut boleh menyebabkan pelbagai kesan buruk seperti sumber air tawar tidak boleh diminum dan mengancam negara membangun pulau kecil dan kawasan pesisir pantai yang didiami kebanyakan penduduk, termasuk Malaysia.
Krisis di lautan kita tidak berlaku secara terasing, sebaliknya mempunyai kesan meluas terhadap iklim planet. Lautan memainkan peranan penting sebagai pengawal selia iklim global, menyerap dan mengagihkan semula haba dan karbon dioksida.
Namun, jumlah pelepasan gas rumah hijau dihasilkan manusia melampaui kemampuan lautan menangani masalah berkenaan. Apabila atmosfera kita semakin panas, lautan menyerap haba berlebihan, menyebabkan peningkatan suhu laut dan intensifikasi peristiwa cuaca ekstrem hingga mengganggu ekosistem marin, menyebabkan pelunturan karang, migrasi spesies dan kehilangan biodiversiti.
Di samping itu, apabila karbon dioksida larut dalam air laut, ia menyebabkan pengasidan lautan berbahaya kepada hidupan marin, terutama bagi spesies mempunyai cengkerang atau rangka kalsium karbonat.
Kemerosotan kesihatan lautan memburukkan lagi perubahan iklim, mewujudkan kitaran berbahaya memerlukan perhatian dan tindakan segera. Bagi memerangi perubahan iklim dengan berkesan, kita mesti memberi keutamaan kepada pemeliharaan dan perlindungan lautan, mengiktiraf peranan kritikal mereka dalam mengekalkan iklim stabil untuk planet.
Tindakan tangani krisis lautan
Ada beberapa tindakan boleh diambil untuk menangani krisis lautan dan menyumbang usaha menghadapi perubahan iklim, termasuk menyokong sumber makanan laut ditetapkan.
Dengan memilih sumber makanan laut mampan dengan bijak dan mencari label mesra alam seperti pensijilan Marine Stewardship Council (MSC) atau sijil Aquaculture Stewardship Council (ASC), kita boleh menyokong operasi perikanan dan akuakultur mengamalkan amalan penangkapan ikan mampan dan mengekalkan kepelbagaian marin.
Langkah menggalakkan pengeluar dan pembekal makanan mendapatkan sijil ini serta mempromosi supaya pengguna memilih produk mempunyai label mesra alam, boleh memacu perubahan positif dan menyumbang pemulihan ekosistem marin serta kesihatan laut dalam jangka panjang.
Selain itu, pembabitan dalam usaha pembersihan pantai antara cara praktikal melakukan perubahan. Dengan menganjur atau mengambil bahagian, individu boleh menyumbang kepada penyingkiran sisa plastik dan bahan pencemar membahayakan hidupan marin, sekali gus memberi inspirasi kepada orang lain untuk bertindak.
Contohnya, Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa (ICC) di negara ini wajar menjadi teladan. Kempen anjuran Reef Check Malaysia itu, membabitkan lebih 394 kilometer garis pantai di seluruh negara dan ribuan sukarelawan.
Dalam kempen tahun lalu, sejumlah 24,301 kilogram sampah dikumpul, menunjukkan kepentingan inisiatif tempatan dan keperluan mendesak melaksanakan dasar alam sekitar dalam melindungi ekosistem pantai.
Mengamalkan amalan melancong secara bertanggungjawab juga dapat melindungi lautan kita. Malaysia diberkati dengan destinasi pantai menakjubkan yang menarik pelancong dari seluruh dunia.
Sebagai pengembara, kita perlu memilih penginapan mesra alam, terbabit dalam aktiviti menghormati hidupan marin dan habitatnya (seperti snorkeling dengan pengendali bertanggungjawab) serta mengamalkan cara membuang sisa betul untuk mengelakkan pencemaran kawasan pantai.
Begitu juga membabitkan diri dalam pendidikan dan advokasi mengenai lautan, boleh memberikan impak ketara. Oleh itu, kita perlu sentiasa mendapat maklumat isu marin tempatan dan global, sekali gus menggunakan platform media sosial untuk meningkatkan kesedaran dan menyokong perubahan.
Kajian menunjukkan penyelesaian iklim berpusatkan lautan berpotensi menyumbang hingga 21 peratus daripada pengurangan tahunan dalam pelepasan gas rumah hijau yang diperlukan menjelang 2050 untuk mengehadkan peningkatan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.
Melindungi dan memulihkan ekosistem marin seperti bakau, rumput laut serta terumbu karang boleh meningkatkan kapasiti untuk menyerap karbon dioksida dan mengekalkan kesihatan iklim.
Menyokong sumber tenaga boleh diperbaharui seperti ladang angin luar pesisir dan memanfaatkan kuasa arus serta air laut juga boleh membantu mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.
Wajar juga disebut keputusan kerajaan menarik balik larangan eksport tenaga boleh diperbaharui (RE) menandakan satu langkah penting dalam perjalanan negara ke arah masa depan lebih hijau.
Ini sejajar dengan komitmen Malaysia meningkatkan asas ekonomi hijau dan kedudukannya untuk landskap tenaga kerja lebih mewah. Dengan menyasarkan untuk mencapai bekalan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050, Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan menerima sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui.
Kemampanan lautan dan perlindungan ekosistem marin adalah kunci menangani krisis iklim serta memastikan masa depan mampan. Dalam menghadapi cabaran seperti pencemaran plastik, penangkapan ikan berlebihan, kemusnahan habitat dan perubahan iklim, tindakan segera diperlukan.
Sudah tiba masanya untuk kita menjadi lebih komited, bertindak berani dan mengekalkan hubungan seimbang dengan lautan, untuk masa depan yang lebih baik untuk kita semua. -BERITA HARIAN
GEORGETOWN: Operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang yang dijalankan semalam, menunjukkan peningkatan air di Empangan Air Itam, di sini, susulan berlaku hujan di kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata setakat semalam, paras Empangan Air Itam pada tahap 48.6 peratus berbanding 47 peratus pada minggu lalu.
"Operasi pembenihan awan semalam boleh dikatakan berjaya kerana mencetuskan hujan dan ia membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam iaitu kira-kira lebih satu peratus, manakala paras air di Empangan Teluk Bahang kekal 44.2 peratus setakat semalam, sama dengan paras pada minggu lalu.
"Kemungkinan kerajaan negeri akan memohon melaksanakan pembenihan awan lagi, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca terkini dan semasa.. jika sudah masuk musim hujan mungkin kita tidak perlu operasi pembenihan awan lagi," katanya di sini, hari ini.
Awal bulan lalu, media melaporkan simpanan Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala Empangan Teluk Bahang pula selama 146 hari, susulan cuaca panas melanda negara ketika ini.
Susulan penurunan paras Empangan Air Itam dan Teluk Bahang itu, kerajaan negeri memohon bantuan menjalankan operasi pembenihan awan bagi mencetuskan hujan di kawasan tadahan air berkenaan.
Semalam, operasi kedua pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam dijalankan, sebulan selepas operasi pertama.
Sementara itu, Zairil berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mula memasang meter pintar di premis kediaman dan perdagangan di Pulau Pinang, bermula Khamis ini di sekitar kawasan Pulau Tikus dan Tanjung Tokong, seterusnya ke kawasan lain secara berfasa sehingga selesai sepenuhnya pada hujung tahun depan.
"Pemasangan dan penggantian meter dilakukan pihak juruteknik dan vendor TNB dengan setiap unit dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik ketika pemasangan dijalankan.
"Anggaran gangguan di antara 30 minit hingga satu jam bagi setiap unit dan setiap unit akan menerima notis pemasangan meter pintar dan borang B (gangguan bekalan elektrik) sebelum pemasangan dijalankan," katanya - BERITA HARIAN