OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir di Sabah, Sarawak makin pulih

Banjir di Sabah, Sarawak makin pulih

Situasi banjir di Sabah dan Sarawak beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), namun tindakan waspada masih perlu diambil.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) boleh memulakan usaha untuk menyusun atur gerak bagi kerja pascabanjir.

Beliau berkata, ini termasuk usaha pembaikan yang membabitkan koordinasi dan tindakan pelbagai agensi kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan, terutama infrastruktur di kawasan yang terjejas.

“Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir berkenaan tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Ahmad Zahid berkata, dalam kemas kini setakat tengah hari semalam, sebahagian besar daerah terjejas di Sarawak sudah menunjukkan angka penurunan mangsa banjir, kecuali di daerah Beluru, yang mana berlaku peningkatan bagi kemasukan mangsa terjejas ke PPS.

“Setakat laporan dikeluarkan pada jam 12 tengah hari ini (semalam), hanya terdapat 1,970 keluarga babitkan 6,269 mangsa yang masih ditempatkan di 28 PPS berbanding 9,296 mangsa daripada 2,742 keluarga pada minggu lalu.

“Bintulu mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,011 orang yang berlindung di empat PPS. Sementara di Sabah, terdapat empat daerah masih dilanda banjir setakat tengah hari semalam, membabitkan 298 keluarga dan 963 mangsa yang berlindung di enam PPS,” katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat satu PPS dibuka pagi semalam bagi menempatkan 160 mangsa daripada 53 keluarga di daerah Membakut, berbanding hanya tiga daerah iaitu Beaufort, Kinabatangan dan Tambunan kelmarin.

“Biarpun situasi kelihatan sudah reda, saya ingin mengingatkan semua pihak kemungkinan berlaku luruan yang membawa hujan lebat masih ada, memandangkan Monsun Timur Laut dijangka tamat pada Mac.

“Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) pada jam 11.45 pagi ini (semalam) turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang yang dijangka sehingga 3 petang ini (semalam). Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Sabah dan Sarawak setakat ini dan menzahirkan terima kasih semua pihak yang membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search