Banjir Sarawak: TUDM laksana penghantaran 4.3 tan bekalan makanan
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan bantuan penghantaran 4.3 tan bekalan makanan daripada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Sarawak.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bekalan makanan tersebut terdiri daripada Makanan Sedia Dimakan atau Ready to Eat Food (RTEF) sumbangan CSR Zakat Tabung Haji dibawah Misi Bantuan Banjir Sarawak sebanyak 2,000 kotak.
“Bekalan makanan ini dihantar ke dua tempat di Sarawak iaitu Kuching serta Miri dan akan diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan bencana yang terlibat oleh pihak YFBM dan agensi pengurusan bencana negeri,” menurut kenyataan itu.
Misi penghantaran diketuai Mejar Muhammad Syahmin Abd. Rahim TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin TUDM serta enam anak kapal yang lain.
Turut sama dalam misi ini adalah Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Maritim (CPOM APMM), Leftenan Kolonel Mohd. Amir Alias TUDM dan Ketua Pegawai Operasi YFBM, Puteri Fazlieznoor Yahaya bersama dua staf YFBM.
“Misi bantuan penerbangan ini juga sebahagian daripada inisitatif Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang dilaksanakan oleh TUDM dalam membantu negara dan rakyat,” kata kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE