OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

PDRM siap siaga aset hadapi MTL

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan aset ke semua kawasan yang terjejas banjir dan kawasan yang berisiko tinggi berlakunya banjir.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, Ketua Polis Daerah (KPD) di setiap kawasan sudah menggerakkan aset ke lokasi banjir.

"Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) pula akan digerakkan bagi membantu pasca banjir di kawasan terjejas.

"Kita sentiasa bersiap siaga untuk menggerakkan kekuatan operasi bagi menghadapi bencana banjir, terutamanya ketika Monsun Timut Laut (MTL)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menggerakkan aset-aset terdiri 503 bot banjir, treler bot (206) ; lori (497) ; kereta pacuan empat roda (802) dan van/ambulans (17) bagi menghadapi MTL.

Katanya, sebanyak 6,028 jaket keselamatan dan lapan pesawat udara turut akan digerakkan mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.

"Secara keseluruhan, terdapat lima agensi kerajaan termasuk PDRM yang akan ditugaskan untuk menghadapi MTL dengan jumlah kekuatan keseluruhan seramai 61,839 orang.

"PDRM juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan lain untuk memastikan setiap misi bantuan dan menyelamat mangsa dapat dilaksanakan dengan pantas," katanya.

Setakat hari ini, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor dan Perak masing-masing di daerah Petaling Jaya, Gombak, Hulu Selangor, Sepang, Hulu Langat, Hilir Perak dan Kerian.

Seramai 822 mangsa banjir kini dipindahkan di PPS yang disediakan susulan kawasan kediaman mereka mula dinaiki air sejak semalam. - HARIAN METRO

IPU Sri Aman kembali tidak sihat

KUCHING: Kualiti udara di Sri Aman berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 108 bermula jam 10 malam tadi.

 

Bacaan IPU di stesen itu terus meningkat setiap jam sehingga mencecah 126 setakat jam 6 pagi.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), 12 lagi stesen di Sarawak berada pada tahap hijau iaitu bacaan IPU sederhana.

Stesen IPD Serian (MCAQM) mencatat bacaan tertinggi iaitu 96 diikuti Samarahan (84), Kuching (83), Sarikei, Kapit dan Bintulu (77), Mukah (75), Sibu (74), Limbang (70), Samalaju (68), Miri (66) dan ILP Miri (64). -Berita Harian

Amaran hujan berterusan peringkat waspada mulai esok hingga lusa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada di tiga negeri mulai esok hingga lusa (5 Oktober).

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, tiga negeri yang dijangka mengalami hujan berterusan itu ialah Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan Meteorologi di aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638. - BERITA HARIAN

Shah Alam pula catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR: Empat lokaliti mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat petang ini, dengan terkini Shah Alam di Selangor antara turut disenarai.

Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Shah Alam merekodkan bacaan IPU 102.

Selain Shah Alam, Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan turut merekodkan IPU tidak sihat sihat dengan bacaan terkini masing-masing 157 dan 151.

Satu lagi kawasan adalah Cheras dengan caan IPU 155.

Selain empat kawasan itu, stesen pemantau di 61 lagi lokasi mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala baki tiga yang lain berada pada tahap baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). BERITA HARIAN

 

Jerebu: Rakyat diingat supaya berwaspada, kurangkan aktiviti luar

SEREMBAN:  Rakyat di Negeri Sembilan diingatkan supaya berwaspada dan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu dan kualiti udara kurang sihat yang sedang berlaku termasuk di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keadaan ketika ini masih terkawal walaupun Indeks Pencemaran Udara (IPU) menyaksikan peningkatan bacaan.

“Saya ingin menasihatkan masyarakat agar menjaga kesihatan, banyakkan minum air dan kurangkan aktiviti luar di kawasan terbuka. Jaga kesihatan terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MyPride Fair Peringkat Zon Tengah, Jabatan Penjara Malaysia di Seremban 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri akan memantau situasi jerebu yang berlaku dan akan mengambil langkah sesuai jika keadaan bertambah buruk.

Setakat pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak 14 kawasan di seluruh Semenanjung telah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu melebihi 101.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara kawasan itu ialah Nilai dengan bacaan 163, Seremban (157) dan Port Dickson (155). - UTUSAN

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search