Tebatan banjir: Ternyata telahan saya betul, kata Tuan Ibrahim
- Admin UKK
- Berita
Selepas satu lagi gelombang banjir, bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dia terbukti betul mengenai projek tebatan banjir yang dibatalkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan semalam, Tuan Ibrahim berkata dia telah mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia boleh mengalami kerugian lebih besar daripada kos projek itu jika ia ditangguhkan.
"Hari ini terbukti telahan saya benar apabila kita dilaporkan, negara mengalami nilai kerugian akibat banjir pada tahun 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal, termasuklah kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta.
"Sudahlah beras tempatan pun susah untuk didapati dipasaran, pengeluaran hasil padi pula terjejas dengan bencana banjir. Malahan, yang terbaru, banjir di Sabah dan Sarawak menambahkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu alami banjir yang buruk pada akhir tahun 2024,” kata pemimpin PAS itu dalam satu kenyataan malam tadi.
Dia menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai berpandangan jauh dalam melindungi kepentingan rakyat, manakala keputusan Anwar pada 2022 untuk membatalkan projek itu adalah terlalu awal.