KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan peruntukan RM600,000 di bawah Marris untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan yang lebih serius.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata pihaknya komited untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur dan alam sekitar demi memastikan kehidupan rakyat terus terpelihara.
"Kita akan membina struktur 'rock revetment' sepanjang 400 meter dengan kelebaran 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.
"Selain itu, dari jumlah tersebut, kita membuat pembaikan terhadap jalan sedia ada yang telah rosak.
"Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan Marris dan keadaan semasa ombak akibat Monsun Timur Laut (MTL)," ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan hakisan pantai tidak bertambah buruk dan untuk menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Tanjung.
Terdahulu, hakisan pantai yang berlaku di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus akibat fenomena MTL telah mengakibatkan kerosakan jalan yang teruk.
Bencana alam tersebut juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk serta harta benda di kawasan berkenaan.
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang di negeri Pantai Timur termasuk Sabah pagi ini.
MetMalaysia memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 1 tengah hari nanti.
Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
“Bagi Sabah pula, antara kawasan yang mengalami cuaca buruk adalah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat),” tambahnya.
Walaubagaimanapun, cuaca cerah dan baik kelihatan di sekitar Lembah Klang serta Wilayah Persektuan Kuala Lumpur pagi ini. – KOSMO! ONLINE
KAPIT: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kapit 2 terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) malam tadi, selepas jalan keluar dari rumah panjangnya ditenggelami air banjir setinggi paras pinggang.
Pelajar tingkatan lima itu dipindahkan dari rumah panjangnya di kawasan Sungai Sibau, Jalan Bukit Goram ke asrama perempuan SMK Kapit 2 menggunakan bot fiber milik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 malam daripada seorang guru sekolah yang memohon bantuan memindahkan pelajar tersebut.
“Pasukan kami segera dikerahkan dan tiba di lokasi dalam masa lima minit selepas menerima panggilan. Disebabkan keadaan jalan yang sempit, kami menggunakan bot fiber yang dipinjam daripada JPBNS kerana bot aluminium milik bomba tidak sesuai untuk kawasan tersebut.
"Operasi berjalan lancar dan pelajar tersebut berjaya tiba di sekolah dengan selamat pada jam 11.19 malam,” katanya ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan bahawa jentera yang digunakan dalam operasi itu ialah sebuah 'Light Fire Rescue Tender' (LFRT) dan kenderaan pacuan empat roda untuk menunda bot fiber.
“Setelah pelajar diserahkan kepada guru warden asrama, pasukan kami memastikan keadaan banjir di kawasan rumah panjang pelajar tersebut masih terkawal. Rumah panjang itu bertiang tinggi, dan jarak air dari lantai rumah masih dianggarkan sekitar tujuh kaki,” tambahnya.
JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus berkurang kepada 1,097 orang membabitkan 329 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 1,860 orang daripada 537 keluarga petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi juga berkurang kepada 12 buah sahaja.
"Setakat pagi ini, Kluang pula yang mencatatkan jumlah mangsa banjir yang paling tinggi dengan kerana meningkat sedikit daripada 410 mangsa pada petang semalam kepada 415 mangsa yang masih membabitkan 128 keluarga di tiga PPS.
"Pontian juga masih mencatat jumlah mangsa banjir yang kedua tertinggi seramai 354 mangsa (97 keluarga) di lima PPS yang masih beroperasi," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Kota Tinggi yang sebelum ini paling terjejas, semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 275 orang (88 keluarga) pada jam 8 pagi ini, berbanding 1,016 orang (289 keluarga) petang semalam.
Katanya, PPS di Kota Tinggi juga kini hanya tinggal tiga yang masih dibuka.
Menurut beliau, di Johor Bahru pula, masih kekal dengan 53 mangsa daripada 16 keluarga yang berada di sebuah PPS.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada Jumaat hingga Ahad ini.
Setakat jam 8 pagi ini, Johor Bahru, Segamat, Kluang, Tangkak dan Kulai dilaporkan cerah, manakala daerah lain hanya mendung.
MASALAH hakisan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit, semakin membimbangkan apabila ombak besar baru-baru ini menyebabkan sebahagian jalan raya runtuh dan mengancam kediaman penduduk.
Penduduk tempatan melaporkan bahawa ombak setinggi kira-kira dua meter telah menyebabkan hakisan serius.
Selain itu, beberapa gerai jualan di sepanjang pantai turut musnah dihanyutkan ombak, manakala lebih 15 pokok kelapa tumbang akibat hakisan yang berlaku dalam tempoh singkat.
Kerajaan Terengganu mengambil tindakan segera dengan meluluskan bantuan RM80,000 untuk membina benteng perlindungan di kawasan terjejas, khususnya di Kampung Pengkalan Maras.
Peruntukan tersebut akan digunakan untuk membina benteng batu bagi melindungi kawasan kritikal, termasuk sekitar rumah penduduk dan tanah perkuburan di kampung berkenaan.
Namun, dengan anggaran kos antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi setiap kilometer pembinaan benteng pemecah ombak, usaha menangani hakisan pantai memerlukan peruntukan yang jauh lebih besar.
Sehubungan itu, penduduk Kampung Tanjung merayu agar kerajaan pusat campur tangan dengan menyediakan dana tambahan untuk projek pemeliharaan pantai yang lebih komprehensif.
Tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan infrastruktur awam tidak terus terjejas.
Pakar geografi dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Norhayati Karim, mencadangkan pendekatan hibrid yang menggabungkan pembinaan pemecah ombak dengan tukun sebagai alternatif untuk mengawal hakisan pantai.
Beliau menjelaskan bahawa tukun apabila ditempatkan bersama pemecah ombak, dapat memberikan perlindungan lebih efektif terhadap ombak dan mengurangkan hakisan.
Selain itu, pemecah ombak juga berfungsi meningkatkan ekosistem hidupan marin, dengan kajian menunjukkan pertambahan habitat perikanan di kawasan tersebut.
Diharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan cadangan tersebut dan mengambil tindakan segera untuk melindungi kawasan pantai daripada ancaman hakisan yang berterusan.
Satu kajian terperinci juga wajar dilakukan untuk kenal pasti punca sebenar hakisan dan merangka pelan jangka panjang bagi memastikan kelestarian pantai serta keselamatan komuniti setempat.