106 mangsa banjir huni dua PPS
- Admin UKK
- Berita
Kuala Terengganu: Seramai 106 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari semalam susulan akibat ombak besar dan air pasang yang melanda dua daerah di negeri ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) menerusi kenyataannya memaklumkan dua daerah terbabit bencana alam itu adalah Kemaman dan Dungun.
Di Kemaman, seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga dari Kampung Geliga Baru ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Geliga Pantai yang dibuka Jumaat lalu.
Manakala di Dungun, seramai 14 mangsa daripada lima keluarga berteduh di Balai Raya JPKK Bandar Paka yang dibuka Ahad lalu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan terkini, memaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) di kawasan
perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor berlaku hingga 18 Januari. MetMalaysia turut meramalkan ketinggian ombak boleh mencecah hingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil serta aktiviti rekreasi laut dan sukan laut. Sehubungan itu, penduduk di kawasan pantai diminta lebih berwaspada dan tidak menghampiri pantai.
Johor Bahru: Seramai 2,498 mangsa banjir masih ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah terjejas, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, 732 keluarga masih terjejas susulan bencana banjir di Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Johor Bahru.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Kota Tinggi masih menjadi daerah paling terjejas membabitkan 1,172 mangsa yang berlindung di 14 PPS.
“Di Pontian pula, 739 mangsa daripada 203 keluarga, masih ditempatkan di 10 PPS. Manakala di Kluang, terdapat 534 mangsa daripada 161 keluarga ditempatkan di lima PPS.
“Ada satu PPS masih dibuka membabitkan 53 mangsa di Johor Bahru,” katanya semalam.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir dan hujan berterusan di mana-mana daerah di negeri ini.
Pada masa sama, Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bacaan air sungai di tahap bahaya iaitu 14.73 meter.
Setakat jam 8 pagi semalam, Segamat, Kluang dan Batu Pahat dilaporkan hujan, manakala Pontian, Kota Tinggi, Tangkak dan Kulai dilaporkan mendung.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti 34 kawasan berdepan dengan masalah hakisan susulan fenomena ombak besar sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah JPS negeri Osman Abdullah berkata, pantai Pachakan dan pantai Teluk Bayu di daerah Besut membabitkan hakisan sejauh kira-kira 900 meter.
Katanya, antara 12 pantai di daerah Setiu turut berlaku hakisan adalah Pantai Limau Nipis membabitkan jarak sejauh 3,000 meter, Pantai Gong Baru (3,000m), Pantai Mangkuk (2,500m), Pantai Penarik (3,000m), Pantai Penarik Baru (2,500m), Pantai Rhu 10 (3,500m), Pantai Sekepeng (2,000m).
Katanya, pantai lain yang turut terhakis berikutan fenomena ombak besar adalah Pantai Bari membabitkan jarak sejauh 3,500m, Pantai Telaga Papan (4,000m), Pulau Besar (2,500m), Pantai Merang (2,500m) dan Pantai Payang (3,000m).
“Lima pantai di daerah Kuala Nerus yang terhakis adalah Pantai Miami membabitkan jarak sejauh 2,900m, Pantai Tok Jembal (3,200m), Pantai Tanjung Gelam (1,200m) dan Pantai Kampung Kolam hingga Pantai Batu Rakit (4,300m) serta Pantai Pengkalan Atap sejauh 1,500m.
“Hanya dua pantai di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Marang yang turut terhakis iaitu Pantai Gong Batu Burok (200m), Pantai Istana Badariah (2,000m) manakala
Pantai Rusila sejauh 6,000m,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Osman berkata demikian ketika mengulas jumlah pantai yang terhakis susulan fenomena air pasang besar menyebabkan berlakunya ombak besar sepanjang MTL.
Katanya, lima pantai di daerah Dungun yang terhakis adalah Pantai Paka di Kampung Cacar membabitkan jarak sejauh 800m, Pantai Kuala Abang (1,000m), Pantai Pelanduk (500m),Muara Sungai Abang (500m) dan Pantai Teluk Lipat sejauh 500m.
Katanya, Pantai Kemaman antara tujuh yang terhakis membabitkan jarak sejauh 3,000m, Pantai Teluk Kalong (380m), Pantai Rekreasi di Teluk Kalong (300m), Pantai Kijal (260m), Pantai Kemasik (250m), Pantai Rekreasi Kertih (700m) dan Pantai Ma Daerah di Kertih (700m).
“Kita jangkakan ombak setinggi 4.5 hingga 5.5 meter dengan tiupan angin antara 60 hingga 70 kilometer sejam diramalkan berlaku mulai malam ini hingga Ahad depan.
“Kita nasihatkan orang ramai dan pengunjung agar menjauhkan diri dan tidak melakukan sebarang aktiviti di pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun pagi semalam berbanding malam kelmarin manakala sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sarawak, selain situasi di Perak tidak berubah.
Di JOHOR bilangan mangsa banjir menurun kepada 3,776 orang setakat 11 pagi semalam berbanding 3,869 orang yang direkodkan malam kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,066 keluarga itu ditempatkan di 37 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.
“Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan ke PPS dengan 1,322 orang, diikuti Johor Bahru (780 orang), Kulai (546 orang), Pontian (595 orang) dan Kluang (533 orang),” katanya.
Azmi berkata, empat sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dengan bacaan 15.40 meter (m), Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai, Pontian (3.14 m), Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru (3.50 m) dan Sungai Punggai di Punggai, Kota Tinggi (1.59 m).
Selain itu, Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memaklumkan hujan berterusan dijangka melanda enam daerah di Johor sepanjang hari ini iaitu Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru
Di SARAWAK, Sekretariat JPBN memaklumkan PPS di Dewan Serbaguna Nanga Ngungun di Kanowit dibuka pada 11.30 malam kelmarin bagi menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga dari Rumah Suzy Lily di daerah tengah negeri itu.
Sementara itu di Sibu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggunakan sebuah lori tiga bagi menghantar tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kwong Hua ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ekoran jalan dari kawasan kediaman pelajar berkenaan dinaiki air.
Mereka diiringi dua guru dan tiga pengawas peperiksaaan.
Sementara itu di PERAK, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga di daerah Manjung setakat 8 pagi semalam dengan Sekretariat JPBN memaklumkan semua mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.
3 terperangkap banjir diselamatkan
- Admin UKK
- Berita
Pasangan suami isteri cemas apabila kenderaan mereka gagal melepasi banjir ketika meredah jalan yang dinaiki air di Kanowit, Sibu, semalam.
Lebih membimbangkan, pasangan terbabit turut membawa bayi yang berusia empat bulan ketika kenderaan mereka terperangkap dalam banjir di Jalan Lukut-penyulau di Kanowit itu, pada jam 6.10 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 pagi.
Beliau berkata, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diarah ke lokasi terletak 30 kilometer dari balai sejurus menerima panggilan itu.
“Setiba di lokasi kejadian pada jam 6.50 pagi, didapati sebuah kenderaan terperangkap dalam banjir dan anggota menggunakan jaket keselamatan bergerak ke lokasi mangsa yang dianggarkan dalam jarak 130 meter.
“Anggota kemudian meredah air dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter dan berjaya membawa keluar tiga mangsa ke tempat yang selamat,” katanya.
Jurucakap itu berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Syaiful Ibrahim, 41 dan isterinya, Suria Rosli, 29, serta bayi perempuan mereka berusia empat bulan, Aliana Afisya.
Katanya, ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan dari Sibu ke Kanowit untuk menghantar sayur ke pasar.
Difahamkan, ketika meredah banjir, kenderaan mereka terhenti sebelum enjin gagal dihidupkan.
Banjir yang melanda kawasan rendah sepanjang tebing Sungai Batang Rajang, semalam, berlaku akibat limpahan air sungai itu.