Kuala Lumpur: Kerja pembaikan jalan rosak akibat banjir disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) di beberapa negeri terjejas, akan bermula bulan ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerja itu diutamakan di negeri terjejas teruk seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor dan Pahang.
“Baik pulih akan bermula Januari dan Februari nanti, terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor dan sebahagian Pahang,” katanya kepada pemberita pada majlis penutup Program Jelajah 2024 JKR BIM: Trail Training Lectures Zon Tengah, di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan kos keseluruhan pembaikan itu dianggarkan mencecah RM101.57 juta.
Ia membabitkan kos membaiki jalan negeri di Semenanjung berjumlah RM45.37 juta meliputi pembaikan berkala pavement (jalan berturap), berkala bukan pavement, jambatan dan lampu isyarat serta lampu jalan. BERNAMA
Terengganu memerlukan lebih RM2.4 bilion bagi membina benteng pemecah ombak di 34 lokasi pantai untuk mengatasi hakisan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri, Hanafiah Mat, berkata jumlah itu anggaran kasar dengan mengambil kira kos pembinaan antara RM5 juta hingga RM10 juta untuk jarak satu kilometer (km).
Beliau berkata, kajian lanjut perlu dibuat bagi mendapatkan anggaran perbelanjaan sebenar kerana kos pembinaan bergantung pelbagai faktor, termasuk reka bentuk benteng, tahap hakisan dan bahan mentah.
“Kita memerlukan lebih RM2.4 bilion untuk melindungi kawasan pantai sepanjang 244 km yang berisiko dilanda hakisan, terutama pada Monsun Timur Laut (MTL). Kos bergantung beberapa faktor, sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion.
“Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan. Lokasi terjejas teruk menelan kos lebih tinggi kerana perlukan struktur lebih kukuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sehubungan itu, Hanafiah berkata, pihaknya berharap Kerajaan Pusat meluluskan segera peruntukan tambahan bagi menangani hakisan pantai yang semakin teruk, terutama di Kuala Nerus.
Kerajaan negeri juga melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menghantar permohonan mendapatkan RM600,00 untuk kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan jangka pendek di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus.
Permohonan berkenaan dikemukakan di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
“Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kelulusan MARRIS dan keadaan ombak.
“Penyelesaian dicadangkan adalah membina struktur rock revetment sepanjang 400 meter dengan lebar 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan,” katanya.
Penduduk di selatan Semenanjung, khususnya Mersing dan Pengerang di Johor serta Sabah dan Sarawak diminta bersiap siaga dengan kemungkinan banjir susulan luruan monsun yang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, seperti amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum ini, luruan monsun itu dijangka mengakibatkan hujan lebat, sekali gus membawa kemungkinan banjir di kawasan tertentu.
“Pagi tadi (semalam) mesyuarat Jemaah Menteri diingatkan mengenai amaran luruan monsun yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi dan ini akan berkuatkuasa sehingga 19 Januari (Ahad ini).
“Tiga lokasi sudah diberi amaran huluan monsun termasuk di selatan Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Peringatan kepada warga di Johor, terutama di sekitar Mersing,
Pengerang (di Kota Tinggi) diminta berhati-hati, juga di Sarawak dan Sabah supaya bersiap sedia dengan menghadapi kemungkinan berlaku banjir akibat luruan monsun,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, semalam.
Sentiasa buat persiapan
Pada peringkat agensi kerajaan, Fahmi berkata, persiapan sentiasa dibuat bagi memastikan tindakan segera diambil khususnya oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sekiranya banjir menjejaskan beberapa kawasan.
“NADMA sentiasa bersedia dan bagi kementerian dan agensi yang menguruskan (termasuk) JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),
APM (Angkatan Pertahanan Awam) serta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk komunikasi, kita sudah minta berada pada kesiapsiagaan tinggi,” katanya.
Menyentuh Kepengerusian ASEAN, Fahmi berkata, acara pertama akan bermula Sabtu dan Ahad ini, iaitu Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah.
“Ini mesyuarat pertama yang mana BERNAMA dan RTM akan bertugas sebagai media rasmi. Ini sudah pasti satu kebanggaan kita sebagai hos (ASEAN),” katanya turut menjelaskan Kepengerusian ASEAN tahun ini memberi peluang buat Malaysia mempromosikan Tahun Melawat
Malaysia 2026.
Menyentuh isu Projek Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau berkata, perkara itu dalam pemantauan Kementerian Pengangkutan, namun kerajaan berharap ia dapat beroperasi secepat mungkin.
“Beberapa kemudahan termasuk pengangkutan khusus untuk delegasi rasmi disediakan dari pintu kapal terbang dan laluan khas. Ini kemudahan disediakan kepada delegasi ASEAN.
“Saya lihat dari segi itu tidak ada masalah yang begitu besar, malah kita berikan kemudahan lebih. Sementara Tahun Melawat Malaysia 2026, sudah pasti kemudahan itu akan sedia menjelang tahun ini,” katanya.
KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala di Johor menunjukkan perkembangan positif selepas mencatatkan penurunan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini.
Di Pahang, satu-satunya PPS iaitu di Balai Raya Kampung Jawa, Rompin yang menempatkan 186 mangsa daripada 43 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di Johor pula, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS berkurang kepada 230 orang hingga 4 petang ini berbanding 1,097 orang pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian; Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Kluang.
Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar, Manjung, yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di sini, setakat 4 petang ini.
Begitu juga di Sarawak, masih kekal dengan 20 mangsa banjir melibatkan 13 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit.