38 calon SPM terkesan banjir di Johor
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU - Seramai 38 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini terkesan susulan banjir di negeri ini setakat Isnin.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, daripada jumlah itu seramai 21 daripada mereka tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala bakinya menumpang di rumah saudara.
"Mengikut pecahan daerah ia membabitkan seramai 12 calon SPM di daerah Kota Tinggi diikuti empat calon di Kluang, Kulai (8), Pontian (7), Johor Bahru (3) dan empat calon di Pasir Gudang.
"Pada hari ini, seramai tujuh calon SPM yang terjejas banjir menduduki peperiksaan subjek Matematik Tambahan di pusat peperiksaan ditetapkan.
"Di Kulai pula, seorang calon terkesan banjir menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hari ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Pada 2 Januari lalu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilaporkan berkata, sebanyak 133 Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) disediakan bagi menempatkan calon SPM di enam negeri yang berisiko jika pusat peperiksaan sedia ada dilanda banjir.
PPA itu diwujudkan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah sebagai langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung khususnya ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Di Johor, seramai 49,980 calon SPM 2024 menduduki peperiksaan di 376 pusat di negeri ini.
SIBU: Keadaan banjir di sini masih terkawal, walaupun paras air menunjukkan trend peningkatan, kata Residen Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu itu memaklumkan bahawa setakat ini, belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di sini.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan tentera (ATM) sedang melakukan pemantauan sepanjang masa di setiap kawasan yang berisiko,” katanya kepada The Borneo Post semalam ketika diminta mengulas mengenai situasi banjir di sini.
Sementara itu, di Kanowit, Abang Mohamad berkata, satu PPS di Nanga Ngungun dibuka malam tadi untuk menempatkan ketua isi rumah (KIR) yang terdiri daripada 18 orang.
Hasil pemerhatian di Jalan Khoo Peng Loong pagi ini mendapati banjir telah surut walaupun paras air masih tinggi.
Sementara itu, apabila dihubungi malam tadi mengenai punca kemungkinan banjir, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu Rudi Abang Zamhari berkata fenomena air pasang besar yang berlaku serentak dengan hujan lebat di Sibu serta kawasan tadahan hulu Sungai Rajang menjadi punca utama.
KOTA TINGGI – “Kawasan ini sudah jadi macam tempat air bertakung, lagi pun sudah dekat nak puasa Mac ini, kalau macam ini pedih juga rasa benda yang sama setiap tahun.
“Bukan itu sahaja, setiap kali banjir perabot dan barang elektrik dalam rumah akan rosak, letih macam ini,” luah Muhamad Aziq Abd Aziz, 24, yang merupakan mangsa banjir dari Taman Mawai di sini.
Menurutnya, penduduk di kawasan juga mengalami nasib sama setelah rumah mereka dinaiki air banjir sejak Jumaat lalu dan usaha perlu dilakukan pihak berkenaan dalam menangani masalah tersebut.
“Kita pun penat juga kalau macam ini tiap-tiap tahun, ini kawasan banjir sebab yang dikorek hanyalah untuk dalamkan sungai dan bukan lebarkan sungai,” ujarnya lagi.
Seorang lagi penduduk, Abd Aziz Omar, 57, berharap banjir yang berlaku di kawasan berkenaan dapat ditangani segera bagi memastikan keselesaan penduduk.
Katanya, masalah banjir di kawasan berkenaan dikenal pasti berpunca masalah perparitan yang turut membuatkan pengaliran air tidak lancar ke sungai sekali gus menjadikan tempat mereka seperti kawasan tadahan air.
“Tindakan melebarkan Sungai Pemandi tanpa mendalamkannya telah menyebabkan pengaliran air di kawasan ini tidak lancar.
“Selain itu, selagi jambatan di jalan besar tidak dibesarkan, selagi itulah masalah banjir di kawasan ini akan terus berlaku,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Hadiah Jaafar, 53, berkata, hujan yang lebat dan tidak berhenti bermula pukul 8 pagi Jumaat sepanjang hari dan mengakibatkan banjir.
Katanya, dia sudah mula mengemaskan barang-barang di rumahnya sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Masa mula hujan, saya sudah mula kemas sikit-sikit, bila tengok hujan kali ini lain macam. Barang-barang saya letak atas meja dan pada pukul 6 pagi air mula naik bukan dari sungai tapi dari kawasan belakang, Bukit Samsu tapi orang tak perasan,” katanya.- MalaysiaGazette
ROMPIN, 13 Januari - Sebanyak 35 keluarga di Kampung Jawa, di sini, diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi, ekoran kejadian air laut pasang besar.
Kejadian itu menjejaskan beberapa buah kediaman di sekitar Jalan Pantai 4, Kampung Jawa, Kuala Rompin.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat kira-kira pukul 10.22 malam tadi.
"Berikutan itu seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin bergegas ke lokasi. Kesemua mereka dipindahkan ke tempat selamat iaitu di Balai Raya Kampung Jawa," kata Zulfadli.
Paras air bagaimanapun didapati dalam keadaan berkurangan. Hingga pukul 10.30 pagi tadi, tiada pembukaan PPS di kawasan terbabit direkodkan secara rasmi hasil semakan menerusi aplikasi InfoBencanaJKM.
KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 80 orang melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa daripada 23 keluarga terbabit terpaksa berpindah setelah rumah mereka terjejas akibat fenomena air pasang besar sejak kelmarin.
“PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun pula mempunyai 14 mangsa daripada empat keluarga,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, langkah berjaga-jaga sedang diambil memandangkan kawasan pesisir pantai negeri ini dilanda fenomena angin kencang dan air pasang besar sepanjang minggu ini. – KOSMO! ONLINE