Kota Marudu: Seramai 58 individu membabitkan 14 keluarga di Kampung Beliajung, di sini yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air, petang tadi, diselamatkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang.
Susulan itu, seramai 11 anggota bersama jentera lori, pacuan empat roda dan bot digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 18 kilometer dari balai bomba.
"Setibanya anggota di lokasi kejadian, terdapat 58 individu membabitkan 14 keluarga terperangkap dalam rumah disebabkan banjir.
"Mangsa terdiri daripada dua warga emas, 17 lelaki dan 25 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki serta sembilan kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, pasukan bomba bertindak memindahkan mangsa menggunakan bot Nadma ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan SK Teritipan.
JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsanya terus meningkat kepada 3,973 orang daripada 1,113 keluarga yang berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.
Ia berbanding seramai 3,779 mangsa banjir (1,023 keluarga) dipindahkan ke 36 PPS di lima daerah terjejas bencana itu, setakat jam 4 petang semalam.
Lima daerah berkenaan ialah Kota Tinggi dan Kulai mencatat pertambahan bilangan mangsa banjir, manakala mangsa di Johor Bahru, Pontian dan Kluang tidak banyak berubah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir meningkat kepada 1,313 penduduk (376 keluarga) yang ditempatkan di 14 PPS.
"Ia diikuti Johor Bahru dengan mangsa banjirnya melonjak kepada 808 penduduk (232 keluarga) di lima PPS. "Mangsa banjir di Kulai turut bertambah kepada 764 penduduk (191 keluarga) yang berada di lima PPS, pagi ini.
"Di Pontian, jumlah mangsa banjir membabitkan 595 penduduk (161 keluarga) di sembilan PPS.
"Selain itu, mangsa banjir di Kluang kini seramai 550 orang (160 keluarga) yang berlindung di lima PPS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Johor memaklumkan setakat ini, terdapat empat paras air sungai masih merekodkan tahap bahaya iaitu Sungai Kahang di Kluang, Sungai Punggai di Kota Tinggi, Sungai Punggai di Pontian dan Sungai Skudai (Kampung Pasir).
"Air di tiga sungai lagi berada pada paras amaran, iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Skudai (Kampung Laut) dan Sungai Jemaluang di Mersing.
"Empat sungai pula mencatat paras air tahap waspada membabitkan Sungai Muar di Segamat, Sungai Tiram di Johor Bahru, dan Sungai Johor, Sungai Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Kota Tinggi," katanya.
Amaran angin kencang badai pantai
- Admin UKK
- Berita
Kuala Terengganu: Jabatan Meteorologi Terengganu memberi amaran angin kencang diramal membadai perairan Terengganu sehingga hari ini.
Justeru, Pengarahnya, Rosli Zakaria meminta orang ramai yang tiada keperluan supaya menjauhi kawasan pantai.
Beliau berkata, kelajuan angin yang direkodkan di Kuala Terengganu semalam iaitu kira-kira 25 kilometer sejam (km/jam) berbanding kelajuan biasa sekitar 1020km/j pada musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Orang ramai perlu menjauhi pantai kerana bimbang risiko berlakunya pokok tumbang atau struktur binaan runtuh yang boleh mendatangkan kecederaan. Selain itu aktiviti laut juga dilihat berisiko terutama bagi nelayan yang menggunakan bot-bot kecil,” katanya.
Beliau berkata, waktu kemuncak angin kencang dijangka berlaku pada semalam atau hari ini.
Sebanyak 80 rumah musnah dalam kebakaran di penempatan atas air, dekat Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 pagi itu, api marak dengan pantas berikutan keadaan rumah papan yang rapat di antara satu sama lain.
Beliau berkata, tiga mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap, namun dilaporkan stabil selepas diberikan rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di lokasi.
“Operasi pemadaman membabitkan 51 anggota, termasuk dari BBP Kunak serta Bomba Komuniti Titingan dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan Bomba mengambil masa kira-kira 80 minit untuk memadam kebakaran sehingga api dikawal pada jam 9.20 pagi,” katanya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.46 pagi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Beliau berkata, operasi turut membabitkan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan lapan anggota serta tiga kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Katanya, turut berada di lokasi, dua pegawai pasukan Forensik Kebakaran Zon Tawau, bagi mengenal pasti punca kebakaran.