Penduduk bimbang tebing sungai runtuh
- Admin UKK
- Berita
SETIU - Penduduk Kampung Baru Seberang Binjai di sini meluahkan kebimbangan berikutan masalah hakisan tebing Sungai Guntung yang semakin meruncing selepas gelombang kedua banjir melanda Oktober tahun lalu.
Seorang penduduk, Yahya Ahmad, 58, berkata, masalah itu bertambah buruk apabila sebahagian jalan raya menghubungkan kampung tersebut dengan Kampung Guntung Luar telah runtuh.
Menurutnya, kebanyakan penduduk terutama mereka yang kerap menggunakan laluan di situ bimbang ditimpa kemalangan kerana keadaan laluan pada waktu malam agak gelap.
"Buat masa ini terdapat papan tanda diletakkan di kawasan jalan yang runtuh dan bahagian kaki lima sebelah kiri jalan turut di tambun batu untuk dijadikan lencongan jalan sementara waktu.
"Jadi penduduk kampung gesa pihak berwajib segera ambil langkah berkesan bagi mengatasi masalah ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Seberang Binjai di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yahya memberitahu, masalah hakisan tebing sungai di kawasan situ bermula sejak lima tahun lalu dan kini keadaannya bertambah buruk.
"Sebelum ini, laluan air sungai ini agak sempit tapi disebabkan masalah hakisan, ia bertambah luas sehingga tebingnya sampai ke kebun penduduk berdekatan.
"Kini jarak sungai dengan darat semakin dekat tinggal 300 meter sahaja," ujarnya.
Seorang lagi penduduk Azizah Yusoff, 53, berkata, dia dan suami terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas pokok kelapa sawit yang diusahakan berdekatan sungai musnah.
Menurutnya, lebih 10 pokok kelapa sawit di kebunnya telah tumbang dan kebanyakan pokok-pokok itu telah mula mengeluarkan hasil.
"Kira-kira 0.2 hektar tanah di kawasan itu telah runtuh menyebabkan pokok-pokok kelapa sawit yang ditanam di kawasan berdekatan terbalik dan hanyut di bawa arus.
"Jadi kita harap pihak berkaitan dapat mengambil langkah dan mencari kaedah penyelesaian lebih berkesan bagi mangatasi masalah hakisan sungai yang membelenggu penduduk kawasan ini," ujarnya.
Sementara itu, Alias Ahmad, 60, berkata, penduduk yang tinggal di kawasan itu kesal kerana masalah hakisan sungai tersebut belum mendapat perhatian mana-mana pihak.
"Belum ada sebarang tindakan diambil seperti mendalamkan lagi sungai sejak sebahagian kawasan tebing sungai ini runtuh lebih dua bulan lalu.
"Kita harap dengan adanya aduan ini, ia mendapat perhatian pihak bertanggungjawab," ujarnya.
Kuantan: Masalah hakisan pantai Sungai Lumpur di Kampung Jawa, Rompin dekat sini disebabkan fenomena air pasang besar semakin meruncing dengan lebih 50 penduduk berhampiran kini terjejas.
Seorang penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Jawa, Nur Zakiah Hamdan, 28, berkata, kejadian itu mula berlaku pada 2019 dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk yang tinggal berdekatan pantai.
"Rumah PPRT di sini berbentuk sebuah, sebuah dan jarak antara satu sama lain agak jauh. Masalah hakisan pantai ini telah mengakibatkan beberapa buah rumah, dianggarkan 10 buah rumah PPRT yang terjejas.
"Antara teruk terkesan adalah rumah saya. Kalau dahulu, jarak rumah saya dengan pantai dianggarkan lebih 50 meter tetapi sekarang tinggal kira-kira beberapa meter sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Suri rumah itu yang tinggal bersama suami, bapa dan dua adiknya sejak 15 tahun lepas berkata masalah itu pernah diadukan kepada pihak pentadbiran di peringkat kampung, namun masih belum ada tindakan diambil.
"Risau jugalah sebab nampak semakin teruk bahkan sebelum ini pun, kami pernah pindah sementara ke balai raya berdekatan atas faktor keselamatan berikutan ancaman ombak besar disebabkan fenomena air pasang besar," katanya.
Mengharapkan permasalahan yang membelenggu mereka ini ada langkah penyelesaian, seorang lagi penduduk, Kamal Asmawi Taib, 45, merayu Kerajaan Persekutuan untuk segera membina benteng penahan ombak bagi memastikan keselamatan kediaman serta nyawa penduduk di situ.
"Kita tak boleh jangka masalah hakisan ini. Setahun demi setahun, hakisan makin serius sebab itu, pentingnya langkah segera diambil," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain ketika diajukan isu itu berkata beliau sedia maklum mengenai hakisan pantai yang menjejaskan penduduk kawasan terbabit.
Menafikan tiada tindakan diambil, beliau berkata pihaknya bersama pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Rompin serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang telah beberapa kali meninjau kawasan terbabit selain sudah mengemukakan permohonan pembinaan benteng kepada Kerajaan Persekutuan.
"Kita tahu masalah hakisan pantai terutama di kawasan PPRT Kampung Jawa tahun ini semakin teruk. Saya harap mereka bersabar kerana masalah ini telah kami bawa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi membina benteng," katanya.
Setakat ini, Mohd Johari berkata, beliau difahamkan oleh JPS bahawa kos pembinaan benteng penahan ombak sepanjang lebih satu kilometer, dianggarkan bernilai lebih RM16 juta dan akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Jawa, Sungai Lumpur dan Tanjung Tujuh,
Beliau berkata, pembinaan benteng kekal ini amat penting memandangkan benteng sementara yang dilaksanakan sebelum ini menerusi peruntukan kecil kerajaan negeri, tidak mampu bertahan lama untuk melindungi kawasan terbabit daripada ancaman hakisan pantai.
"Selain penyelesaian ini, kita juga akan menimbangkan langkah memindahkan penduduk kawasan terbabit, namun ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan," katanya.
Klang: Dua kolam takungan banjir di Jalan Sumazau, Bukit Raja dengan Bulatan Berkeley dekat sini, dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di Bandar Baru Klang dan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Bandar Baru Klang (Adun) Dr Quah Perng Fei berkata, kolam takungan di Jalan Sumazau, Bukit Raja siap tahun lalu dan sudah beroperasi.
Katanya, bagi kolam takungan di Bulatan Berkeley, ia dalam peringkat akhir iaitu pembersihan dan mula beroperasi dalam masa terdekat.
"Walaupun, dua kolam tadahan dibina untuk mengurangkan masalah banjir di Bandar Baru Klang, masalah kita adalah limpahan daripada Setia Alam serta Meru.
"Saya sudah minta untuk pihak berkaitan mendalamkan kolam tadahan di Setia Alam supaya air dapat diperlahankan serta tidak melimpah ke kawasan bandar Klang dan sekitarnya.
"Fasa seterusnya adalah kawasan Aman Perdana ke Sementa yang mana saya sudah adakan perbincangan dengan Adun Meru, bagi menyelesaikan masalah ini.
"Saya difahamkan tahun ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada projek banjir di kawasan itu. Justeru, saya harap ini ia berjalan seperti yang dirancang sekali gus menyelesaikan masalah banjir di Klang" katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perayaan Tahun Ular "Hiss of Fortune" sempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.
Untuk rekod, Bandar Baru Klang serta sekitar Bukit Raja sering mengalami banjir kilat jika berlaku hujan lebat serta berpanjangan.