Banjir Bosnia: Tiada rakyat Malaysia terkesan, Wisma Putra terus pantau rapat keadaan semasa
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di Sarajevo memantau rapat kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat di kawasan Perbandaran Jablanica, kira-kira 70km dari Sarajevo, pada Jumaat.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terkesan dalam bencana alam tersebut.
Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Bosnia-Herzegovina, mangsa yang terjejas, serta keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi ini.
Malaysia juga berharap agar mangsa yang cedera segera pulih dan proses pemulihan harta benda serta infrastruktur dapat berjalan lancar.
Rakyat Malaysia yang berada di Bosnia dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Sarajevo melalui saluran yang disediakan.
Wisma Putra akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan akan memberikan maklumat terkini jika perlu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia terjamin.
IPOH: Seramai 121 orang mangsa banjir daripada 36 buah keluarga masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak susulan hujan lebat berterusan pada petang Jumaat.
Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah pada Sabtu, terdapat dua daerah yang terjejas iaitu Kerian dan Taiping.
Ia merangkumi Kampung Matang Tengah, Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir, Kampung Jebong Kiri, Kampung Teluk Kertang Matang, Kampung Jebong Kiri dan Kampung Tebuk.
Menurut kenyataan itu lagi, mangsa banjir itu meningkat dari 106 orang daripada 30 keluarga pada 10 malam kepada 121 orang daripada 36 keluarga jam 12 tengah malam tadi.
Katanya lagi, sebuah lagi PPS baru dibuka di SK Matang pada 10 malam tadi, manakala dua lagi di SK Changkat Lobak dan SK Matang Gelugor kekal.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan turut mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat di kebanyakan daerah di Perak pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil lahir tanpa denda kepada mangsa banjir.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia merupakan komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya JPN untuk membantu mangsa bencana itu.
"Kalau mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir atau MyKad (yang) hilang, rosak atau sebagainya, segera datang ke pejabat JPN untuk membuat penggantian selepas banjir selesai.
"Kalau ada yang terlibat (banjir) baru-baru ini, maklum (kepada pegawai terlibat) bahawa anda merupakan (antara) yang terlibat dengan banjir," katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca, terutamanya menjelang musim tengkujuh yang lazimnya melanda Pantai Timur pada hujung tahun.
"Berpindah (jika diarahkan) tepat pada masanya dan tanpa berlengah. Beri kerjasama (kepada pihak berkuasa) dan sentiasa jaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.
Saifuddin Nasution turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi bantuan pascabanjir di Kedah sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan menjaga kebajikan rakyat melebihi batasan politik.
Selain itu, beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa lemas Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang dihanyutkan arus deras semasa meredah banjir di Padang Terap, Kedah baru-baru ini.
-- BERNAMA
Mangsa banjir di PPS Perak bertambah, beberapa tempat di Selangor, Kedah dinaiki air
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Semasa keadaan banjir di beberapa tempat di Perak bertambah buruk dengan jumlah mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat, beberapa kawasan di Selangor dan Kedah pula mula dinaiki air sejak lewat malam tadi.
Di SELANGOR 1,968 individu daripada 480 keluarga terjejas akibat banjir dipindahkan ke enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka pagi ini bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata enam PPS tersebut adalah di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras; Dewan Kenanga; Dewan MBSA Bunga Matahari; Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang; Sekolah Rendah Agama Kuang dan Sekolah Kebangsaan Desa Aman.
"Seramai 54 anggota dan pegawai dari empat buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan bagi memantau operasi banjir.
"Pemantauan dijalankan di beberapa lokasi antaranya di sekitar Sungai Buloh iaitu di Jalan Gajah, Merbau Sempak, Kampung Cempedak, Kuang dan Kampung Melayu Subang serta Jalan Tembusu di Bukit Jelutong," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di PERAK, situasi banjir bertambah buruk dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 200 orang daripada 67 keluarga yang berlindung di empat PPS di Daerah Kerian dan Taiping.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding malam tadi dengan 145 orang daripada 51 keluarga ditempatkan di tiga PPS.
Sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor, Matang di Taiping dengan 50 orang daripada 14 keluarga berlindung di PPS berkenaan.
"Di daerah Kerian 39 orang daripada 11 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, manakala di Taiping 81 orang daripada 31 keluarga berlindung di PPS Masjid Al-Wusta Batu 8, Jalan Trong, dan 30 orang daripada 11 keluarga berada di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Bembam, Kuala Trong," menurut kenyataan itu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula memaklumkan paras air Sungai Perak di Pasang Api di Bagan Datuk berada pada tahap berjaga-jaga dengan bacaan 1.87 meter (m) melebihi paras normal iaitu pada 1.00 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia juga turut memaklumkan kebanyakan daerah antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Hilir Perak, Perak Tengah, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar dijangka mengalami ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam.
Di KEDAH, tujuh PPS baharu dibuka semula di daerah Baling menempatkan 199 mangsa, kurang 24 jam PPS terakhir ditutup, semalam.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa daripada 66 keluarga itu ditempatkan di PPS yang dibuka malam tadi dan awal pagi ini.
PPS yang dibuka ialah SK Siong, SK Seri Bayu, SK Tanjung Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Dewan Kampung Banggol Deram, Surau Kampung Lahar dan Surau Albarakah Tembak B.
Kesemua mangsa dari empat mukim itu melibatkan Kampung Charuk Bakap, Kampung Parit Panjang, Kampung Tembak B, Kampung Baru, Kampung Pokok Setol, Kampung Depan Sekolah, Kampung Siput, Kampung Batu 60, Kampung Tanjung Pari, Kampung Simpang 3 Sik Jalan Weng, Kampung Banggol Deram, Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Lahar.
Sementara itu, laman web Public Infobanjir JPS memaklumkan Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling melebihi paras bahaya iaitu 37.68m.
BERNAMA
BALING: Hujan berterusan lebih dua jam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir malam tadi.
Susulan itu, seramai 199 mangsa daripada 66 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sini sejak malam tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, sebanyak tujuh PPS dibuka setakat jam 8 pagi ini.
Menurutnya, mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 63 lelaki dewasa, 66 wanita dewasa, 39 kanak-kanak lelaki, 28 kanak-kanak perempuan, dua bayi serta seorang orang kurang upaya.
“Antara kampung yang terjejas banjir adalah Kampung Charuk Bakap, Kampung Parit Panjang, Kampung Tembak B, Kampung Baru, Kampung Pokok Setol, Kampung Depan Sekolah, Kampung Siput Batu 60, Kampung Tanjung Pari, Kampung Simpang 3 Sik Jalan Weng, Kampung Banggol Deram, Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Lahar.
"Ia membabitkan Mukim Siong, Mukim Bakai, Mukim Pulai dan Mukim Teloi Kanan.
"Antara PPS yang aktif di daerah itu adalah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, PPS SK Seri Batu, PPS Kampung Banggol Deram, PPS Dewan Kampung Lahar, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang dan Surau Albarakah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.