OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penduduk Ijok letih hadap banjir setiap tahun, rugi ribuan ringgit

KUALA SELANGOR – Masalah banjir yang tidak pernah selesai sejak sedekad lalu membuatkan penduduk Kampung Batu 7, Ijok di sini berasa lelah dan mahu tindakan segera dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ini ditambah dengan kerosakan perabot dan barangan elektronik yang mencecah ribuan ringgit setiap kali berlakunya fenomena itu.

Seorang penduduk, Mohd. Rozi Basir,45, mengakui berasa bimbang setiap kali hujan lebat susulan rumahnya yang berada di kawasan tanah rendah kampung tersebut.

“Keadaan banjir bukan sahaja disebabkan hujan di daerah ini tetapi turut disebabkan limpahan air dari Hulu Selangor sekiranya berlaku situasi sama di situ,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong penduduk kampung yang diketuai Ketua Kampung (Persekutuan), Mohd. Afandy Dahlan.

Seorang warga emas, Abdul Rahim Miswandi, 66, berkata, kudrat sudah tidak berdaya untuk membersihkan rumah akibat banjir yang disifatkan sebagai ‘sambutan’ wajib setiap tahun.

Justeru, dia berharap agar ada solusi terbaik bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa banjir terutama pada Monsun Timur Laut nanti.

Sementara itu, Norlida Ghani,60, memaklumkan banyak perabot dan barangan lain rosak selepas rumahnya dimasuki air setinggi satu meter. – KOSMO! ONLINE

Tabika Kemas siap sedia hadapi musim tengkujuh di Terengganu

Kuala Terengganu: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sudah mengeluarkan arahan dan garis panduan kepada kakitangan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata, kelas-kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) antara paling terkesan apabila berlaku banjir.

Menurutnya, dianggarkan antara 100 hingga 125 kelas Tabika Kemas mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir hingga menjejaskan antara 2,500 hingga 3,125 murid pada MTL, tahun lalu.

Katanya, Tabika Kemas yang sering terjejas akibat banjir di Terengganu adalah di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.

"Ia membabitkan kawasan-kawasan pedalaman yang sering dilanda banjir besar hingga ada tabika yang hanya kelihatan bumbung sahaja akibat ditenggelami air.

"Justeru, kita meminta semua guru dan kakitangan Kemas terutama di kawasan berisiko membuat persiapan awal dengan mengalihkan dokumen penting, barangan elektrik dan berharga ke tempat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan BGL Kemas Negeri Terengganu, di Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di sini, hari ini.

Menurutnya, terdapat sebanyak 856 tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 18,000 orang di negeri ini.

"Ada tabika yang mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir dan ia akan dibaiki bagi menjamin pembelajaran kanak-kanak tidak terjejas.

"Justeru, persiapan awal sudah dilakukan bagi mengurangkan impak kerosakan terhadap dokumen dan peralatan yang digunakan dalam sesi pembelajaran," katanya.

Air pasang besar landa Pulau Pinang selama 4 hari

GEORGE TOWN – Fenomena air pasang besar diramal berlaku di negeri ini bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.

Susulan fenomena itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Mohd. Nazri Yasmin berkata, penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama dinasihatkan supaya berwaspada kerana risiko banjir sangat tinggi sekiranya hujan lebat berlaku sewaktu air pasang besar.

Menurut beliau, sekiranya hujan lebat berlaku ketika air pasang besar berserta ribut, air laut akan melimpah ke pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat dan membawa risiko banjir.

“Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang mencecah 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.

“Waktu puncak air pasang besar dari tengah malam hingga awal pagi. Mengikut piawaian JPS Pulau Pinang, jika jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia sangat lebat,” katanya di sini hari ini.

Di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2, JPS Pulau Pinang memasang stesen amaran banjir di kawasan hot spot sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

Mohd. Nazri berkata, terdapat 54 alat siren amaran banjir di seluruh Pulau Pinang dengan 30 dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri, manakala 24 lagi di bawah PRAB oleh kerajaan Pusat.

Sebanyak 19 alat pemantau paras air sungai dipasang di bawah kerajaan negeri dan 30 di bawah PRAB menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 49 alat pemantau. – KOSMO! ONLINE

“Kami hairan air datang dari mana’ – Mangsa banjir

BATU PAHAT: Penduduk di Kampung Talang Bunut di sini hairan rumah mereka kembali ditelenggami banjir meskipun cuaca semakin baik.

Salah seorang mangsa banjir, Marila Ibrahim, 63, berkata dia dan suaminya, Mohamad Ibrahim, 71, menggunakan pam untuk mengeluarkan air namun apabila surut, air naik semula.

Marila bersama suaminya kini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, di sini sejak Ahad lalu selepas rumahnya di Kampung Talang Bunut ditenggelami air.

Katanya, kejadian banjir melanda rumahnya adalah yang kedua selepas awal tahun lalu namun tidak seteruk ketika kediamannya ditenggelami air dalam banjir besar melanda daerah ini, Mac tahun lalu.

Kejadian itu, menurutnya yang menyebabkan dia menanggung kerugian besar kerana kesemua barangan dalam rumah rosak.

“Kami cubalah untuk keluarkan air menggunakan pam, namun air tetap naik. Walaupun air sekitar rumah dah surut selepas dipam, tiba-tiba air naik semula.

“Kami bimbang jika banjir termenung melanda kerana kawasan ini antara yang berisiko dilanda bencana itu.

“Walaupun tidak seteruk banjir besar sebelum ini, setiap kali hujan rumah kami antara yang dinaiki air kerana bersebelahan Sungai Sembrong,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa banjir, Asmah Jalani, 62, dia bersama ibunya, Rugayah Lamon, 85, masih berlindung di PPS memandangkan air tidak menunjukkan perubahan.

Katanya, walaupun cuaca bertambah baik namun paras air di dalam dan luar rumah tidak surut sekali gus menghalang hasrat dua beranak itu pulang ke rumah.

“Kami tidak dibenarkan pulang ke rumah dulu kerana bimbang air naik lagi. Memang cuaca bertambah baik namun mereka (pihak berkuasa) bimbang jika hujan berkemungkinan banjir datang kembali.

“Mujurlah ada adik lelaki, Zuraini, 55, menjaga rumah ketika ini untuk elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bagi Faridah Jaslan, 64, dia bersama anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) pertuturan dn pendengaran, Mohd Kharruddin Ibrahim, 40, dipindahkan ke PPS dua hari lalu selepas rumahnya mula dinaiki air.

“Kami dua beranak tawakal apa yang berlaku ketika ini kerana ini ujian Allah. Tadi saya bersama anak pulang untuk menjenguk rumah tapi ada penduduk beritahu, air masih naik.

“Sewaktu banjir besar, saya masih ingat air naik paras dada dengan barang dalam rumah berpusing-pusing disebabkan arus,” katanya dari Kampung Parit Nipah Laut.

Setakat jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir kekal 17 orang yang ditempatkan di PPS membabitkan tiga buah kampung iaitu Kampung Talang Bunut, Olak Batu, Parit Nipah Laut.

Hampir semua 'hotspot' banjir di Kedah dinaiki air - APM

ALOR SETAR: Hampir kesemua 114 lokasi 'hospot' banjir di Kedah dinaiki air dalam kejadian bencana itu yang melanda negeri ini sejak Sabtu lepas.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata lokasi itu melibatkan daerah Baling, Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu

 

"Sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di lima daerah di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Baling dan Pendang.
 
"Terdapat lapan sungai di negeri ini melebihi paras bahaya dan yang paling kritikal sekarang adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar sehingga menyebabkan air melimpah ke jalan raya," katanya selepas melakukan pemantauan di Kampung Seberang Anak Bukit dan Kampung Alor Madi di sini hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata punca air naik mendadak di beberapa kawasan itu disebabkan oleh taburan hujan yang sangat tinggi.
 
Beliau berkata hujan lebat di hulu Sungai Padang Terap juga menyebabkan daerah Kubang Pasu dan Kota Setar dilanda banjir.
"APM Kedah bersedia segala kemungkinan termasuk air pasang yang dijangka pada 18 hingga 20 Okt ini. Kita telah maklumkan kepada ibu pejabat sekiranya keadaan semakin buruk di Kedah, kita akan mohon bantuan dari APM negeri lain," katanya.
Muhammad Suhaimi berkata terdapat segelintir penduduk terjejas banjir enggan berpindah ke PPS, bimbang keselamatan harta benda yang ditinggalkan di rumah selain beranggapan banjir akan surut dalam tempoh singkat.
Seorang mangsa banjir dari Kampung Alor Ganu Zakaria Darus, 68, berkata kejadian ini merupakan kali ketiga rumahnya dinaiki air dalam tempoh tidak sampai sebulan.
"Banjir tidak surut kerana air dari kawasan hulu turun ke hilir, sebab itu paras air makin naik walaupun hujan tidak lebat. Kami bukan tidak mahu pindah ke PPS tetapi bimbang untuk tinggalkan rumah kerana takut ada yang ambil kesempatan," katanya.
-- BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search