OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Monsun Timur Laut diramal bermula lebih awal

PUTRAJAYA - Orang ramai digesa bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesiapsiagaan harus dilakukan oleh agensi berkaitan dan rakyat yang berada di berisiko banjir.

"Hari ini juga kita menyaksikan kertas dasar dilakukan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengkoordinasi kerjasama di antara badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan rejuvenasi mengurangkan risiko bencana," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Rakan Nadma 'Malaysia MADANI, Siaga Bencana' di sini pada Selasa.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenalpasti kawasan yang berisiko terutamanya banjir termenung di Pantai Barat Semenanjung bermula Perlis sehingga ke Johor.

"Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) akan mengeluarkan amaran lima hari lebih awal sebelum berlaku hujan melampau atau fenomena air pasang besar.

"Kita akan maklumkan kepada Jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah," jelasnya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menasihati agar orang ramai turut bersedia menghadapi segala kemungkinan terutamanya mereka yang berada di kawasan berisiko.

"Nasihat untuk berpindah harus dipatuhi dengan sebaiknya kerana ia untuk faedah mereka bagi mengurangkan risiko (kehilangan nyawa)," ujar beliau.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Ia menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL yang dijangka berakhit pada Mac tahun depan.

Monsun Timur Laut diramal mula seminggu lebih awal

PUTRAJAYA: 

Kerajaan meningkatkan persediaan berdepan risiko banjir susulan peralihan ke Monsun Timur Laut lebih awal iaitu minggu terakhir hujung bulan ini berbanding ramalan pada awal November.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata kerajaan sudah menyelaraskan jentera membabitkan kerjasama dengan jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah.

Katanya, orang ramai di kawasan berisiko juga dinasihatkan berjaga-jaga dan mengikuti arahan pihak berkuasa jika amaran risiko bencana seperti banjir dikeluarkan.

“Monsun Timur Laut lazimnya pada awal minggu pertama bulan November tetapi disebabkan perubahan cuaca iklim, ada ramalan bahawa Monsun Timur Laut akan datang lebih awal iaitu akhir (bulan ini) atau minggu keempat Oktober ini,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Konvensyen Rakan Nadma ‘Malaysia Madani, Siaga Bencana’.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Ambun Dindang meramalkan Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November depan dan berterusan hingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata, hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.

Bermula Disember hingga Januari 2025, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan tingkatkan kesiapsiagaan hadapi MTL hujung Oktober

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam mendepani banjir di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berlaku lebih awal pada minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal, minggu pertama November.

“MTL lazimnya akan sampai awal minggu pertama November, tetapi disebabkan perubahan cuaca, mengikut ramalan ada kemungkinan MTL akan bermula lebih awal iaitu pada minggu keempat Oktober ini.

“Maka, kesiapsiagaan harus dilakukan antaranya Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mengenal pasti kawasan yang berisiko terutama di kawasan banjir termenung. Ini banyak berlaku di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor.

“Kesiapsiagaan ini, kita mobilisasikan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri-negeri. Kita tidak menolak takdir Allah SWT tetapi kita berusaha untuk kurangkan risiko (terutama bencana banjir),” katanya.
 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Rejuvensasi Rakan NADMA 2020 semasa Konvensyen Rakan NADMA 2024 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat  memaklumkan, daripada sudut mobilisasi, setakat ini jumlah petugas membabitkan agensi penguatkuasaan adalah mencukupi dan akan digerakkan ke seluruh negara.

“Kita tak mengira negeri atau di lokasi mana tetapi mobilisasi ini dilakukan secara berstruktur, selain turut mendapat bantuan agensi bukan kerajaan (NGO).

“Ini yang sedang kita lakukan dan diharap mangsa jangan hanya harap agensi bantuan ini datang tetapi mereka sendiri perlu tampil untuk bantu diri mereka sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, orang awam juga dinasihatkan perlu bersiap siaga dari sekarang dalam usaha mengurangkan risiko bencana yang lebih besar.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengeluarkan amaran awal lima hari sebelum berlaku taburan hujan melampau atau air pasang besar dan kita maklumkan ini melalui jawantakuasa peringkat negeri dan daerah.

“Kita turut berharap nasihat untuk berpindah (membabitkan mangsa banjir) harus diikuti sebaiknya untuk faedah mereka sekali gus dapat mengurangkan risiko bencana,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) METMalaysia, Ambun Dindang berkata, MTL dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025.

Katanya, diramalkan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu yang akan melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.  – MalaysiGazette

Tebatan banjir perlu dilakukan untuk pengurangan risiko – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Sistem tebatan banjir perlu dilakukan lebih awal bagi mengurangkan risiko dan kesan bencana berkenaan selain dapat menjimatkan kos perbelanjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPPP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia rentetan daripada unjuran pada tahun 2050 yang mendedahkan kebanyakan kepulauan di serata dunia, termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diramalkan berada di bawah paras air.

“Daripada 2024 hingga 2050 hanya tinggal beberapa tahun lagi, kita mesti fikirkan generasi akan datang bagaimana pengurangan risiko yang boleh dilakukan dari sekarang, untuk kita lakukan tebatan banjir.

“Pada tahun 2050 nanti kalau kita lakukan lakukan tebatan banjir ketika itu kos lebih daripada RM 100 bilion ringgit, ketika itu terlambat untuk kita lakukan tebatan banjir,” katanya ketika ucapan perasmian pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 semasa Konvensyen NADMA 2024, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya turut memaklumkan kabinet telah meluluskan dasar NADMA bagi pelaksanaan sistem amaran awal banjir yang dapat dijadikan panduan dalam memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum bencana berlaku, sekali gus memudahkan proses pemindahan mangsa.

Pelan Rejuvenasi Rakan NADMA 2030 dibangunkan untuk menjadi dokumen rujukan pelbagai pihak berkepentingan bagi merancang, melaksana dan memantau program-program yang dapat memberi impak positif kepada golongan rentan.

Pelan itu menggariskan tiga kumpulan kerja Rakan NADMA yang boleh dijadikan sebagai panduan supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan dan berkesan.

Kumpulan kerja tersebut adalah Jawatankuasa Pembangunan Kepakaran, Pembangunan Komuniti dan Penyelarasan Operasi dan Koordinasi.

Monsun Timur Laut lebih awal, dijangka minggu keempat Oktober

PUTRAJAYA- Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan bersedia menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku lebih awal iaitu pada minggu keempat bulan ini, berbanding November.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan ramalan itu berlaku antaranya disebabkan oleh faktor perubahan iklim.

“Monsun Timur Laut akan sampai lazimnya pada awal minggu pertama bulan November, tapi disebabkan oleh perubahan cuaca atau iklim ada kemungkinan mengikut ramalan bahawa MTL akan datang lebih awal iaitu di akhir atau minggu keempat bulan Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search