OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Arahan NADMA No.1 jadi panduan utama pengurusan bencana - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1 akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata menerusi arahan tersebut, kerajaan menekankan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh dan inklusif.

 

 
"Saya juga menekankan bahawa persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut ini tidak hanya mengenai kesiapsiagaan semasa, tetapi juga melibatkan langkah-langkah berterusan untuk memantau kawasan hotspot banjir, memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi, serta menyelaraskan bantuan untuk semua yang terjejas oleh bencana," katanya.
 
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook yang mengulas mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dipengerusikannya di Kota Tinggi, Johor hari ini.
Menurut Ahmad Zahid seluruh Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah juga telah diarahkan untuk mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu bagi memastikan kesiapsiagaan penduduk dan pihak berkuasa setempat berada pada tahap optimum.
 
"Koordinasi awal antara agensi kerajaan, Majlis Daerah, badan sukarela serta komuniti setempat amat penting untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku bencana. Orang ramai juga diingatkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui portal bencana rasmi di www.portalbencana.nadma.gov.my.
"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga," katanya.
-- BERNAMA

Mangsa banjir Perak meningkat, tiga PPS baharu dibuka

IPOH: Jumlah mangsa banjir di Daerah Kerian dan Larut Matang Selama di Perak meningkat sekali ganda kepada 200 orang dari 67 keluarga, setakat jam 8 pagi ini, berbanding 79 orang dari 29 keluarga malam tadi.
Jurucakap Sekretarian Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) - satu di Kerian dan dua di Larut Matang Selama.
Menurutnya, 39 mangsa dari 11 keluarga dari Kampung Matang Tengah di Daerah Kerian ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak yabg dibuka dua hari lalu.
Katanya, tiga PPS baharu dibuka malam tadi di Taiping dalam Daerah Larut Matang Selama iaitu di Masjid Nurul Hidayah, Sungai Bemban, Kuala Trong; Masjid Al-Wusta, Batu 8 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor, Matang.
Ujarnya, PPS Masjid Nurul Hidayah menempatkan 81 mangsa dari 31 keluarga, kesemuanya dari Kampung Batu 9, Changkat Jering.
Tambahnya, PPS Masjid Al-Wusta pula menempatkan 30 mangsa dari 11 keluarga, masing-masing dari Kampung Kuala Trong dan Kampung Sungai Punggor.
Katanya, PPS SK Matang pula menempatkan 50 mangsa dari 11 keluarga dari Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir dan Kampung Jebong Kiri.
Sementara itu, mengikut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Jalan Bagan Serai - Changkat Lobak di Daerah Kerian ditutup kerana berlaku tanah runtuh.
Penduduk di kawasan yang terlibat dan kawasan sekitar dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan.
Pihak JKR Daerah dan syarikat konsesi melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
Menurut laporan itu lagi, jalan alternatif Alor Pongsu - Bukit Merah dibuka kepada semua kenderaan berat kerana paras air pada 0.42 meter.
 

Banjir di Kedah pulih sepenuhnya, PPS terakhir ditutup

ALOR SETAR: Banjir di Kedah pulih sepenuhnya dan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup hari ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah di daerah Kota Setar yang dibuka pada 29 Sept lepas ditutup pada pukul 9.30 pagi tadi.

 

"PPS itu sebelum ini menempatkan 89 orang daripada 25 keluarga setakat 8 pagi tadi, ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air telah surut sepenuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 

Amaran ribut petir, hujan lebat di 12 negeri petang ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 negeri termasuk Sabah dan Putrajaya dijangka berdepan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 4 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, cuaca itu dijangka membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya dan Kuala Krai serta Gua Musang, Kelantan.

“Di Pahang, ia akan membabitkan Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan, Selangor di Hulu Langat dan Sepang, manakala di Negeri Sembilan membabitkan kawasan Jelebu dan Seremban.

“Selain itu Jasin, Melaka danTangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Kluang di Johor, manakala di Sabah ia dijangka membabitkan Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau dan Sandakan (Kinabatangan),” katanya.

Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu keluaran,” katanya.

 

16,000 anggota JBPM siap siaga hadapi banjir lebih awal

 

GENTING HIGHLANDS: Lebih 16,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diletakkan dalam mod bersiap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut lebih awal, susulan kejadian hujan lebat serta banjir yang melanda beberapa kawasan seluruh negara baru-baru ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata terdapat sedikit perbezaan pada trend taburan hujan yang lebat pada tahun ini sehingga menyebabkan kejadian banjir di Kedah dan beberapa kawasan lain dan pihaknya terpaksa meletakkan semua anggotanya serta 8,000 anggota bomba sukarela dalam mod berjaga-jaga lebih awal.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengarahkan semua JBPM di peringkat negeri dan daerah untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perincian tindakan serta perancangan yang akan diambil jika berlaku bencana susulan Monsun Timur Laut.

Aset-aset marin dan logistik juga berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan ke lokasi berlaku banjir jika diperlukan, yang melibatkan lebih 500 aset marin dan 450 lori pengangkut, katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di sini hari ini.

“Pada tahun ini, kita berada pada fasa yang lebih selesa untuk beroperasi kerana telah melakukan penyusunan peruntukan yang lebih baik dan pembaikan jentera serta lori angkut sedang giat dilaksanakan di peringkat negeri.

Apabila semua ini siap, saya percaya persiapan kita akan berada dalam keadaan yang lebih baik,” kata Nor Hisham.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia Ambun Dindang dilaporkan sebagai berkata Monsun Timur Laut 2024/2025 dijangka bermula pada November ini dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Episod hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember ini manakala hujan lebat dijangka lebih tertumpu di negeri Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember ini hingga Januari 2025.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata pihaknya akan menempatkan sebuah helikopter milik jabatan berkenaan di Wakaf Tapai, Terengganu sebagai persiapan banjir di negeri Pantai Timur manakala, penempatan aset-aset lain akan dilakukan bergantung kepada tahap keterukan banjir yang berlaku.

Beliau berkata JBPM juga bersiap-sedia untuk menggerakkan semua anggotanya termasuk anggota bomba sukarela ke mana-mana lokasi kejadian sekiranya diperlukan.

Menurutnya cuti akan dibekukan bagi anggota yang bertugas di daerah yang mengalami bencana, di samping penjadualan semua waktu kerja daripada 12 jam sehari kepada 24 jam bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat.

Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan percutian di kawasan-kawasan peranginan air menjelang musim Monsun Timur Laut ini.

Katanya orang ramai perlu lebih cakna dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan agar dapat mengelak daripada terperangkap dalam sebarang bencana seperti tanah runtuh atau kepala air ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun atau di lereng-lereng bukit. – BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search