JOHOR BAHRU: Asap daripada kebakaran di selatan Sumatera, Indonesia dipercayai menyumbang kepada jerebu yang menyelubungi Johor, dengan tiupan angin membawa asap rentas sempadan merentasi Selat Melaka ke selatan Semenanjung Malaysia.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) melaporkan bahawa kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di selatan Sumatera, manakala jerebu dari wilayah itu turut dikesan bergerak ke arah Singapura dan selatan Semenanjung Malaysia.
Corak ini menunjukkan jerebu beralih ke arah selatan Semenanjung Malaysia, dengan asap rentas sempadan dari selatan Sumatera berkemungkinan menjadi penyumbang utama.
ASMC berfungsi sebagai pusat serantau bagi pemantauan cuaca, iklim dan jerebu, serta menilai risiko jerebu rentas sempadan berdasarkan faktor-faktor termasuk aktiviti titik panas, ketumpatan asap, taburan hujan dan corak angin semasa.
Hujan lebat di beberapa kawasan di Johor semalam membawa sedikit peningkatan kualiti udara, dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menunjukkan penurunan di beberapa stesen pemantauan.
Sementara itu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura turut melaporkan semalam bahawa kepulan asap dikesan berpunca daripada kebakaran di selatan Sumatera, manakala angin diramalkan bertiup dari arah tenggara atau barat daya.
Bulan lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menyatakan bahawa jerebu dijangka berterusan selagi aktiviti pembakaran terbuka masih berlaku di Sumatera dan Kalimantan semasa musim Monsun Barat Daya.
Beliau dilaporkan berkata bahawa asap daripada kebakaran di Sumatera menyumbang kepada keadaan jerebu, dengan angin Monsun Barat Daya secara konsisten membawa asap dari Indonesia ke arah Malaysia.
PETALING JAYA: Perancangan pembangunan pesat terutama di Lembah Klang perlu mengambil kira perubahan corak hujan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang dalam tempoh singkat.
Pakar Perancangan Bandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohamad Fadhli Rashid berkata, penilaian terhadap perubahan corak hujan penting bagi memastikan sistem perparitan dan infrastruktur sedia ada mampu menampung jumlah tadahan air ketika hujan lebat.
Katanya, pelbagai kemungkinan perlu diberi perhatian termasuk perkembangan pembangunan negara serta ketidakstabilan corak hujan akibat perubahan cuaca.
“Negara perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan susulan perubahan pembangunan serta kadar hujan yang berlaku akibat perubahan cuaca.
“Antara punca banjir kilat sering berulang adalah disebabkan infrastruktur dan sistem perparitan yang tidak lagi dapat menampung tadahan air hujan di sesuatu kawasan,” katanya.
Tambah Fadhli, walaupun pembangunan Kuala Lumpur sebagai ibu negara telah dirancang sejak sekian lama, masalah banjir kilat masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya setiap kali hujan lebat berterusan.
Menurutnya, pembangunan pesat turut menyebabkan kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai kawasan tadahan air semakin berkurangan.
“Banyak kawasan hilang sumber tadahan akibat pembangunan pesat. Apabila hujan turun, air tidak dapat diserap ke dalam tanah dan akhirnya kekal di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan banjir kilat,” katanya.
Beliau berkata, aspek saliran dan kawasan tadahan perlu diberi perhatian seiring dengan pembangunan bagi mengurangkan risiko banjir, terutama di kawasan yang mengalami pertambahan pembangunan dan permukaan berturap.
Ahad lalu, empat kejadian kecemasan dilaporkan susulan banjir kilat di sekitar ibu negara dan Ampang akibat hujan lebat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan beberapa panggilan kecemasan diterima sebelum mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Titiwangsa ke lokasi terlibat. – UTUSAN
Lembah Klang bebas jerebu
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Lembah Klang bebas jerebu selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mendapati tiada kawasan merekodkan bacaan tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) setakat pukul 8 pagi, kebanyakkan kawasan seperti Petaling Jaya, Putrajaya dan Kuala Lumpur serta Cheras mencatatkan bacaan sederhana.
Bagaimanapun APIMS) menunjukkan kesemua 13 kawasan yang mencatat bacaan tidak sihat berada di Sarawak.
Sri Aman merekodkan bacaan tertinggi iaitu 182, diikuti IPD Serian (177), Sibu (174), Kuching (173), Sarikei (169), Bintulu (168) dan Samarahan (167).
Mukah pula merekodkan bacaan 162, manakala Samalaju (158), Miri (157), ILP Miri (155), Limbang (152) dan Kapit (107).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada kesihatan, khususnya golongan sensitif.
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu jerebu merentas sempadan.
Pendekatan Diplomasi Sains itu antara lain membolehkan negara ASEAN menggunakan data, penyelidikan dan kepakaran saintifik secara bersama bagi merangka tindakan lebih berkesan menangani jerebu rentas sempadan, manakala Dana Jerebu Mampan itu pula merujuk kepada usaha menyediakan sumber pembiayaan berterusan bagi pemantauan, pencegahan kebakaran, penyelidikan dan tindakan menangani jerebu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata cadangan itu dikemukakan pada Mesyuarat ke-27 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG Ke-27) dan Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (MSC) di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu bersetuju supaya Sekretariat ASEAN meneroka dan menilai kebolehlaksanaan Diplomasi Sains serta peluasan sumbangan dan penggunaan Dana Jerebu ASEAN dalam kerangka AATHP.
"Pendekatan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama serantau, menyokong dasar dan pembuatan keputusan yang berasaskan sains serta bukti.
"Penyelesaian jangka panjang bagi isu ini memerlukan kerjasama dan komitmen negara anggota, selaras AATHP ditandatangani sejak 24 tahun lalu," katanya.
Arthur berkata, pendekatan pelaksanaan AATHP bukan berbentuk hukuman, tetapi berteraskan semangat kerjasama ASEAN dengan mengambil kira prinsip saling menghormati, kedaulatan negara dan pembuatan keputusan secara konsensus.
"Oleh itu, setiap negara anggota perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komitmen khasnya bagi mencegah dan mengawal kebakaran serta pencemaran jerebu di negara masing-masing supaya tidak menjejaskan negara anggota yang lain," katanya.
ACC THPC akan ditubuh
Arthur berkata, Malaysia akan mengemukakan pendirian lebih signifikan berhubung isu jerebu merentas sempadan pada Mesyuarat Jawatankuasa (COM) dan Persidangan Negara-Negara Pihak (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai AATHP di Vietnam pada November ini.
"Mesyuarat ini diadakan setiap tahun yang dihadiri Menteri Alam Sekitar dan pegawai kanan daripada 11 negara anggota ASEAN bagi membincangkan situasi jerebu merentas sempadan serta langkah pencegahan," katanya.
Sementara itu, Arthur berkata, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) akan ditubuhkan bagi membantu kerjasama dan koordinasi antara negara ASEAN dalam mengurus impak kebakaran tanah gambut serta hutan yang menyebabkan pencemaran jerebu.
Beliau berkata, perkara itu termaktub mengikut Artikel 5 Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
Katanya, semua 11 negara anggota ASEAN bersetuju ASEAN perlu memiliki satu pusat koordinasi serantau bagi menyelaras jerebu rentas sempadan.
"Indonesia sebagai tuan rumah sedang membuat persiapan ke arah pengoperasian ACC THPC," katanya.
"Ia membabitkan penyediaan Perjanjian Negara Tuan Rumah (HCA), prosedur operasi standard (SOP), mekanisme pelantikan pengarah eksekutif dan ketua bahagian, peraturan serta tatacara dan pelan perniagaan serta program kerja," katanya.
Arthur berkata, Indonesia sudah mengemukakan cadangan untuk menerajui kepimpinan awal ACC THPC bagi memastikan proses penubuhan pusat ini berjalan lancar, termasuk melalui pelantikan seorang rakyat Indonesia sebagai Pengarah Eksekutif pertama ACC THPC.
"Cadangan ini mengambil kira peranan Indonesia sebagai negara tuan rumah dan pengalaman Indonesia dalam pengurusan pencemaran jerebu dan kebakaran hutan serta tanah gambut.
"Pengoperasian ACC THPC ini nanti akan memastikan pelaksanaan penuh AATHP, selain memudahkan koordinasi berkaitan kejadian jerebu merentas sempadan," katanya.
KUCHING, 23 Sept: Kerajaan Sarawak memiliki kaedah baharu untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang berlaku di Bintulu, khususnya di Batang Kemena.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keadaan muka bumi di kawasan itu yang merendah menyebabkan Batang Kemena mudah dilanda banjir kilat.
“Hari ini, insyaAllah, penyelesaian kita sudah ada dan akan dilaksanakan pada suatu ketika nanti. Maksudnya kita boleh menyelesaikan, sekurang-kurangnya masalah banjir di Bintulu,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian pada Makan Malam Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dah Survei (HIITS) 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan sama turut diberi perhatian dalam pembangunan bandar Sibu bagi memastikan isu berkaitan banjir dan perubahan iklim dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Tambah beliau, Sarawak memerlukan lebih ramai pakar pembangunan bandar bagi merancang bandar yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim.
“Risiko banjir, hakisan, kenaikan paras air dan cuaca melampau perlu diambil kira dalam proses membuat keputusan mengenai dengan pembangunan,” kata beliau.
Kata beliau, Sarawak kini terpaksa mendapatkan khidmat pakar pembangunan bandar dari luar negeri bagi membantu menangani isu perubahan iklim dalam perancangan pembangunan bandar. -TVS
