OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Saya ketakutan, hanya mampu laung azan' - Mangsa ribut, 73 rumah peneroka FELDA rosak

DUNGUN: "Angin kencang melanda secara tiba-tiba sehingga menerbangkan atap rumah. Saya yang ketakutan hanya mampu melaungkan azan dan terus berlari keluar untuk menyelamatkan cucu. Syukur, kedua-dua cucu sudah diselamatkan oleh anak saya."

Detik cemas itu dikongsikan Nordin Sulong, 72, antara mangsa insiden ribut yang merosakkan 73 rumah di FELDA Kerteh Dua dan FELDA Kerteh Tiga, dekat sini, semalam.

Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 petang ketika beliau sedang membaca al-Quran di dalam sebuah bilik, manakala dua anak dan dua cucunya berada di ruang tamu.

"Ketika itu, hujan renyai-renyai sebelum bumbung rumah tiba-tiba bergegar diikuti beberapa keping atap tercabut diterbangkan angin kencang," katanya ketika ditemui di kediaman beliau di FELDA Kerteh Dua.

Seorang lagi mangsa, Roshaida Mat, 38, berkata beliau bersama dua anak, bapa, dua anak saudara, seorang adik serta dua rakan anaknya sedang berada di dalam rumah ketika ribut melanda.

Beliau berkata, mereka sangat cemas dan takut apabila sebahagian atap rumahnya diterbangkan angin.

"Kejadian berlaku dengan sangat pantas. Kami semua berlari masuk ke dalam bilik dan tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu Pengarah FELDA Wilayah Terengganu, Shahruddin Ab Rahman, berkata badai ribut itu menyebabkan 68 rumah rosak di FELDA Kerteh 2, selain tiga lagi di FELDA Kerteh 3.

Beliau berkata, kebanyakan kerosakan dilapor membabitkan atap kediaman penduduk.

"Pihak kami sedang membuat bancian untuk menilai kerosakan dialami rumah peneroka terbabit sebelum tindakan baik pulih dilakukan.

"Mangsa akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan maksimum RM10,000 untuk membaiki kediaman bergantung pada tahap kerosakan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Yayasan Felda turut menyalurkan sumbangan bakul makanan serta bantuan persekolahan kepada anak dan cucu peneroka yang terjejas.

"Peneroka yang mencarum pelan Takaful MyFire Plus juga layak menerima pampasan," katanya.

Kerajaan kaji hukuman lebih berat kes pencemaran marin

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meminda perundangan maritim negara, termasuk mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap kesalahan pencemaran marin menerusi semakan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata jawatankuasa itu akan menyemak keberkesanan perundangan maritim sedia ada serta mengenal pasti keperluan pindaan dan penambahbaikan berkaitan keselamatan pelayaran, perlindungan alam sekitar marin serta pencemaran yang berpunca daripada kapal.

Beliau berkata semakan itu penting bagi memastikan rangka kerja perundangan maritim negara kekal relevan, responsif dan selaras dengan perkembangan semasa serta obligasi Malaysia di bawah konvensyen antarabangsa.

“Hasil kajian MLRRC akan menjadi asas kepada kerajaan dalam mempertimbangkan cadangan pindaan terhadap perundangan berkaitan, termasuk bagi memperkukuh aspek pencegahan pencemaran marin, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap insiden, serta mekanisme liabiliti dan pampasan bagi memastikan perlindungan alam sekitar marin negara terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin mengetahui keberkesanan pelan tindakan serta penguatkuasaan kawalan pencemaran marin negara.

Hasbi berkata selain aspek perundangan, kerajaan turut memperkukuh mekanisme pengurusan pencemaran marin melalui semakan berkala terhadap Pelan Kontingensi Tumpahan Minyak Malaysia, pemantapan prosedur operasi, peningkatan koordinasi antara agensi, pelaksanaan latihan dan simulasi secara berterusan serta pengukuhan keupayaan tindak balas negara terhadap insiden pencemaran marin.

Beliau berkata kerajaan akan terus menilai keperluan penambahbaikan dasar, perundangan dan mekanisme pelaksanaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan pencemaran marin negara sentiasa berkesan, cekap dan selaras dengan perkembangan sektor maritim serta amalan antarabangsa. TVS

PRN JOHOR: Anwar dakwa selesai masalah banjir di Johor

BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa masalah banjir di Batu Pahat, Muar dan Segamat telah berjaya diselesaikan selepas mengambil alih kerajaan pada 2022 lalu.

Menurut Anwar, masalah yang telah berlarutan sejak puluhan tahun itu berjaya diselesaikan melalui bantuan yang memerlukan kos agak besar, sebagai usaha untuk memastikan rakyat tidak lagi terkesan dengan bencana alam tersebut.

Katanya, walaupun sebelum ini Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional, namun bantuan seperti ini perlu diutamakan demi kesejahteraan rakyat.

“Bantuan diberikan tanpa mengira samada mereka memberikan sokongan kepada kita atau tidak, termasuk di Kelantan yang berada di bawah pentadbiran Pas.

“Projek mengatasi banjir di Johor sudah pun bermula dan ia dilakukan bagi membolehkan rakyat yang terkesan mendapat pembelaan,” katanya ketika berucap di program Yok! Merahkan Johor, Undi Harapan di Banang Jaya Batu Pahat, malam ini. – KOSMO! ONLINE

Selepas ‘bebas’ banjir, kini mahu bina rumah mampu milik

BATU PAHAT – Sejak tiga tahun lalu, penduduk Senggarang tidak lagi dibelenggu masalah banjir setiap kali musim monsun timur laut selepas kerja-kerja pembersihan Sungai Senggarang dijalankan dengan bantuan kerajaan ­negeri.

Keadaan itu adalah sebahagian kejayaan dibawa penyandang dan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Yusla Ismail selepas diangkat sebagai wakil rakyat bermula 2022.

Selain itu, pemasangan lampu di jalan utama di Senggarang serta pekan menjadi bukti ke­sungguhan dalam memastikan salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Batu Pahat ini membangun seiring pembangunan di bandar.

Mohd. Yusla yang dipertaruhkan BN untuk mempertahankan kerusi dimenangi dengan majoriti 3,912 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022 sekali lagi akan memikul tanggungjawab untuk berhadapan dengan tentangan daripada calon Bersatu dan Pakatan Harapan pada PRN Johor ke 16, Sabtu ini.

Menurutnya, untuk penggal ini, beliau akan memberi tum­puan kepada isu rumah mampu milik sebagai keutamaan selain pembangunan menyeluruh melibatkan pelbagai peringkat umur, kaum dan agama di dalam kawasan N24 ini.

“Di kawasan Senggarang ini, kita juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ). Manifestasi ini perlu diteruskan memandang­kan ramai golongan muda belum mengetahui prosedur permohonan termasuklah projek RMMJ yang kini telah dipermudahkan dengan permohonan secara dalam talian,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Mohd. Yusla, turut dirancang adalah menjadikan kawasan DUN ini sebagai tumpuan bagi sektor pelancongan sekali gus mampu membantu ekonomi penduduk sekitar berkembang.

Ujarnya, beberapa kawasan di sekitar Senggarang ini antaranya Pantai Minyak Beku, Pantai Sungai Lurus mempunyai keunikan tersendiri yang mampu menarik pelancong untuk beriadah bersama keluarga dan kawan-kawan.

“Senggarang akan lebih menjadi tumpuan apabila lapangan terbang milik Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) untuk pesawat kecil sebagai pusat latihan siap dibina pada penghujung 2027 dan bero­perasi sepenuhnya tiga tahun kemudian.

“Untuk itu, pada 11 Julai nanti diharapkan agar semua pengundi di DUN Senggarang ini terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional agar pelbagai pembangunan dapat dibawa untuk manfaat bersama termasuk anak-anak pewaris bangsa,” katanya.

JBPM Perak siap siaga hadapi ancaman Super El Nino

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berada dalam keadaan siap siaga menghadapi fenomena Super El Nino yang berpotensi mencetuskan peningkatan kes kebakaran. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya telah membuat persediaan awal seperti tahun-tahun sebelumnya dengan memastikan kekuatan anggota, logistik dan aset berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik.
 

Katanya, ketika ini seramai 80 peratus anggota bertugas manakala baki 20 peratus dibenarkan bercuti memandangkan situasi semasa masih terkawal dan belum menunjukkan sebarang keadaan kritikal.

“Susun atur anggota masih seperti biasa dan tiada perubahan besar dilakukan. Dari segi logistik pula, semua peralatan serta jentera berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Kita juga tidak membuat penambahan aset atau meminjam jentera daripada negeri lain kerana persediaan sedia ada di peringkat negeri adalah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sayani berkata, JBPM Perak menerima laporan kejadian kebakaran belukar hampir setiap hari, namun kebanyakan insiden masih berskala kecil dan terkawal.

Katanya, keluasan kawasan yang terbakar setakat ini tidak melebihi dua ekar dengan kebanyakan kes melibatkan kawasan kira-kira setengah ekar, sekali gus tidak memerlukan bantuan tambahan dari negeri lain.

“Setakat ini, situasi masih dalam kawalan dan tidak memerlukan bantuan daripada negeri lain,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka kerana api boleh merebak dengan cepat ketika musim panas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan aspek keselamatan di rumah terutama ketika memasak bagi mengelakkan kebakaran akibat kecuaian.

“Pemilik kenderaan juga disaran memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengurangkan risiko kebakaran.

“Statistik menunjukkan terdapat antara satu hingga empat kes kenderaan terbakar dalam sehari. Ada yang berpunca daripada kemalangan dan ada juga disebabkan faktor lain,” katanya. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search