OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

JAS aktifkan pelan tindakan atasi jerebu, pembakaran terbuka

Kuala Lumpur: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

Menurutnya, mereka juga perlu mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

"JAS melalui PTJK sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan PTJK yang membabitkan agensi berkaitan.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam; menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100; sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.

"Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.

"Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JAS bersama kementerian dan setiap agensi yang tebabit dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam PTJK.

"Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

"Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Di samping itu, kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus denda maksimum boleh dikenakan atas setiap kesalahan," katanya.

Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

IPU di Nilai 'meroket' naik

Seremban: Setakat jam 3.30 petang tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat direkodkan di Nilai iaitu 162, yang tertinggi di kawasan terbabit jerebu di negeri pantai barat semenanjung.

Manakala menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), bacaan IPU di Port Dickson menurun dari tahap tidak sihat ke 93 manakala Seremban mencatatkan bacaan 84.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, kerajaan negeri meminta jabatan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah yang perlu.

"Merujuk kepada bacaan IPU yang direkodkan pada jam 8 pagi ini bagi kawasan Nilai dan Port Dickson, masing-masing mencatatkan bacaan 154 dan 155, iaitu berada dalam kategori tidak sihat.

"Seremban pula mencatat paras sederhana, namun masih perlu diberi perhatian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana paras IPU yang tinggi membawa risiko kepada kesihatan awam, khususnya kepada kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mengidap penyakit pernafasan.

"Saya menyeru supaya pihak berkuasa memantau rapi, termasuk sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang akan menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

"Kerajaan negeri komited untuk memantau isu ini secara berterusan dan akan berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta PBT berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta tindakan susulan yang wajar," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk meminimumkan aktiviti luar rumah, terutamanya pada waktu pagi dan petang.

 

Jerebu rentas sempadan: Malaysia berpeluang pimpin amalan perladangan bertanggungjawab - Greenpeace

KUALA LUMPUR: Greenpeace Malaysia menyeru kerajaan Malaysia mengambil peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk memimpin usaha serantau dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan menggalakkan amalan perladangan yang bertanggungjawab.

Ketua Jurukempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata jika jerebu berulang, ia boleh menjejaskan kredibiliti Malaysia ketika negara sepatutnya menunjukkan kepimpinan serantau dalam tindakan iklim dan kelestarian perniagaan.

Perkara itu disuarakan beliau dalam satu surat terbuka kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
 
"Ini peluang untuk sektor perladangan Malaysia membuktikan mereka tidak lagi bertolak ansur dengan penebangan hutan atau kemusnahan tanah gambut.
 
"Jika tidak, syarikat milik Malaysia di Indonesia berisiko dipersalahkan kerana menyumbang kepada jerebu, seperti yang berlaku pada krisis 2015 dan 2019," katanya dalam surat berkenaan pada Ahad.
 
Menurut Kiah Chun, jerebu bukan hanya isu alam sekitar tetapi juga membabitkan tadbir urus dan tanggungjawab perniagaan, memandangkan hubungan rapat antara industri perladangan Malaysia dan Indonesia.
 
Beliau turut mencadangkan tiga langkah utama untuk memulihkan reputasi sektor perladangan negara.
 
Ia antaranya menghentikan kemusnahan tanah gambut yang mencetuskan kebakaran, menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam rantaian bekalan, dan membuktikan kepada dunia bahawa syarikat Malaysia adalah bersih serta bertanggungjawab.
 
Greenpeace Malaysia juga menyarankan agar kerajaan menggubal undang-undang komprehensif bagi menangani isu jerebu rentas sempadan seperti Akta Udara Bersih seperti yang pernah dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
 
“Undang-undang ini akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap warganegara atau syarikat Malaysia yang menyumbang kepada jerebu, walaupun operasi mereka berlaku di luar negara,” kata Kiah Chun.
 
Dalam pada itu, beliau menambah walaupun Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Rentas Sempadan telah lama dimeterai, tetapi ia masih belum cukup berkesan untuk menamatkan krisis ini.
 
"Malaysia boleh menggunakan Pengerusinya dalam ASEAN untuk memperjuangkan Hak Alam Sekitar ASEAN, selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru-baru ini mengiktiraf hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat, dan lestari," katanya.

Bomba bertindak pantas padam kebakaran belukar

MIRI, 20 Julai: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran belukar di kawasan Taman RBA, Lutong Baru di sini dalam tempoh kurang 20 minit sekali gus mengelakkan risiko lebih besar.

Jurucakap JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5:20 petang sebelum menggerakkan jentera FRT SCANIA bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.

“Pasukan tiba jam 5:31 petang dan segera melaksanakan pemadaman. Kebakaran melibatkan belukar kering yang berisiko merebak jika tidak dikawal,” katanya.

Tiada struktur berhampiran dan kenderaan terjejas dalam kebakaran tersebut.-TVS

Melaka, Pahang lokasi baharu catat IPU tidak sihat

PETALING JAYA – Melaka dan Pahang menjadi dua lokasi terbaharu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, menjadikan jumlah keseluruhan enam kawasan setakat pukul 10 malam tadi.

Berdasarkan maklumat terkini di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Nilai, Negeri Sembilan kekal mencatatkan IPU tertinggi dengan bacaan 161.

Lima lagi kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat ialah Banting, Selangor (155), Alor Gajah, Melaka (154), Putrajaya (148), Temerloh, Pahang (128) dan Cheras, Kuala Lumpur (116).

Sementara itu, sebanyak 57 kawasan lain merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana iaitu antara 51 hingga 100.

Antaranya termasuk Bukit Rambai, Melaka (98), Petaling Jaya, Selangor (80), Tangkak, Johor (74) dan Taiping, Perak (78).

Bagaimanapun, hanya dua kawasan direkodkan pada tahap IPU baik iaitu Kimanis, Sabah (49) dan Sarikei, Sarawak (48). – KOSMO! ONLINE

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search