OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Saya ketakutan, hanya mampu laung azan' - Mangsa ribut, 73 rumah peneroka FELDA rosak

'Saya ketakutan, hanya mampu laung azan' - Mangsa ribut, 73 rumah peneroka FELDA rosak

DUNGUN: "Angin kencang melanda secara tiba-tiba sehingga menerbangkan atap rumah. Saya yang ketakutan hanya mampu melaungkan azan dan terus berlari keluar untuk menyelamatkan cucu. Syukur, kedua-dua cucu sudah diselamatkan oleh anak saya."

Detik cemas itu dikongsikan Nordin Sulong, 72, antara mangsa insiden ribut yang merosakkan 73 rumah di FELDA Kerteh Dua dan FELDA Kerteh Tiga, dekat sini, semalam.

Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.50 petang ketika beliau sedang membaca al-Quran di dalam sebuah bilik, manakala dua anak dan dua cucunya berada di ruang tamu.

"Ketika itu, hujan renyai-renyai sebelum bumbung rumah tiba-tiba bergegar diikuti beberapa keping atap tercabut diterbangkan angin kencang," katanya ketika ditemui di kediaman beliau di FELDA Kerteh Dua.

Seorang lagi mangsa, Roshaida Mat, 38, berkata beliau bersama dua anak, bapa, dua anak saudara, seorang adik serta dua rakan anaknya sedang berada di dalam rumah ketika ribut melanda.

Beliau berkata, mereka sangat cemas dan takut apabila sebahagian atap rumahnya diterbangkan angin.

"Kejadian berlaku dengan sangat pantas. Kami semua berlari masuk ke dalam bilik dan tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu Pengarah FELDA Wilayah Terengganu, Shahruddin Ab Rahman, berkata badai ribut itu menyebabkan 68 rumah rosak di FELDA Kerteh 2, selain tiga lagi di FELDA Kerteh 3.

Beliau berkata, kebanyakan kerosakan dilapor membabitkan atap kediaman penduduk.

"Pihak kami sedang membuat bancian untuk menilai kerosakan dialami rumah peneroka terbabit sebelum tindakan baik pulih dilakukan.

"Mangsa akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan maksimum RM10,000 untuk membaiki kediaman bergantung pada tahap kerosakan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Yayasan Felda turut menyalurkan sumbangan bakul makanan serta bantuan persekolahan kepada anak dan cucu peneroka yang terjejas.

"Peneroka yang mencarum pelan Takaful MyFire Plus juga layak menerima pampasan," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search