PPS dibuka di Sibu, APM bertindak pantas lindungi penduduk terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
SIBU, 11 Jan: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kedua di daerah Sibu telah mula beroperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek, susulan situasi banjir yang melanda, menempatkan mangsa yang terjejas dari kawasan Jerwit.
PPS tersebut yang beroperasi di Dewan Mutiara Ilmu sekolah tersebut dibuka secara rasmi pada 2.30 petang, bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas banjir terus terpelihara.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan hari ini berkata, seramai enam mangsa daripada satu Ketua Isi Rumah (KIR) telah berdaftar di PPS berkenaan, dengan proses pendaftaran mangsa bermula seawal 3.20 petang.
“Pembukaan PPS ini adalah susulan keadaan semasa banjir di kawasan terjejas bagi menempatkan penduduk terlibat serta memudahkan penyelarasan bantuan oleh agensi berkaitan,” kata kenyataan itu.
APM turut menasihatkan penduduk di kawasan terjejas agar segera berpindah ke PPS yang disediakan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.
Maklumat berkaitan operasi PPS akan terus dikemas kini dan disalurkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Sementara itu, PPAD Sibu Mejar (PA) Mohd Reduan Aini bersama PDRM dan ATM telah menjalankan tinjauan lapangan di Kampung Jeriah bagi menilai paras air, keselamatan penduduk, keadaan infrastruktur serta keperluan bantuan susulan.
Penilaian tersebut menjadi rujukan bagi memperkukuh koordinasi antara agensi terlibat dan memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan.-TVS
