KUALA LUMPUR - Pasukan sukarelawan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh telah digerakkan bagi menghulurkan bantuan kepada penduduk di Taman Seri Alam, Saujana Utama yang terkesan akibat banjir kilat, susulan insiden benteng takungan air pecah petang semalam.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, berdasarkan maklumat, lebih 50 rumah terjejas akibat insiden itu, dan beliau telah mengarahkan pasukan sukarelawan itu untuk turun padang meninjau situasi terkini dan membantu penduduk yang memerlukan bantuan segera.
"Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan penduduk terjaga dan langkah susulan diambil bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang selepas perbincangan dengan pemimpin komuniti dan agensi berkaitan.
"Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran itu, Ramanan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang berkaitan atas tindakan pantas mereka dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk terjejas.
Semalam Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 5.15 petang.
Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama
KOTA BHARU - Fenomena banjir yang melanda Kelantan sejak semalam terus membawa cabaran besar apabila berlaku dua kejadian tanah runtuh dan dua jalan utama terputus di jajahan Machang.
Insiden ini bukan sahaja melumpuhkan pergerakan penduduk setempat, tetapi juga meningkatkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub berkata, dua jalan yang terputus ialah jalan Persekutuan di FT 479 Jalan Kemuning-Bukit Belah dan jalan Negeri D16 Jalan Batu 30-Temangan akibat dinaiki air.
Beliau berkata, kesemua jalan yang terputus itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan berat dan ringan kerana kedalaman air kira-kira 0.8 meter.
"Dua kejadian tanah runtuh pula berlaku di jalan masuk ke stesen VHF Bukit Bakar dan FT 008 jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan dengan Dataran Bukit Belah.
"JKR telah meletakkan papan tanda amaran dan penghadang di kawasan terlibat supaya pengguna berhati-hati serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Nik Soh berkata, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dan melayari laman web https://bencana.jkr.gov.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai situasi semasa, seperti jalan tutup dan tanah runtuh yang berlaku di kawasan terlibat. - Bernama
KOTA BHARU - Mangsa banjir gelombang ketiga di Kelantan terus meningkat kepada 882 orang daripada 267 keluarga di tiga daerah iaitu Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai pada pagi Isnin.
Jumlah itu meningkat berbanding 71 mangsa daripada 22 keluarga pada petang Ahad.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa-mangsa ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan paling tinggi dibuka di Tanah Merah iaitu 13 PPS, Kuala Krai (4) dan Machang (2).
Dalam pada itu berdasarkan laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sehingga 8 pagi Isnin, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah mencatatkan paras melebihi tahap amaran dengan bacaan 23.16 meter (m) menurun berbanding 23.32m pada Ahad serta menunjukkan trend menurun.
Satu lagi sungai di daerah itu, Sungai Sokor di Kampung Sokor mencatat aras air 22.49m juga melebihi tahap amaran.
Terkini, Sungai Golok di Rantau Panjang Pasir Mas merekodkan bacaan 9.11m melebihi tahap bahaya dengan trend menaik.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, operasi pemindahan mangsa banjir di ketiga-tiga daerah terlibat berakhir kira-kira jam 10 malam, Ahad.
“Pihak kami bersama bomba dan polis turut berjaga-jaga serta memantau keadaan cuaca pada waktu tengah malam tadi, bagaimanapun mendapati keadaan hujan beransur pulih selain tidak selebat pada Ahad.
“Kami juga berwaspada dengan keadaan di Pasir Mas disebabkan trend Sungai Golok yang menaik tetapi setakat ini terkawal kerana cuaca tidak hujan di daerah itu,” katanya.
KUALA TERENGGANU: Tiga daerah di negeri ini dilanda banjir gelombang ketiga menyebabkan seramai 651 daripada 177 keluarga dipindahkan setakat jam 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kemaman menjadikan keseluruhan 17 di tiga daerah termasuk Besut dan Hulu Terengganu.
Sebanyak 11 PPS di Hulu Terengganu menempatkan 111 keluarga membabitkan mangsa 412 orang.
"Di Besut, lima PPS menempatkan 228 orang daripada 61 keluarga manakala di Kemaman satu PPS dibuka menempatkan 11 mangsa daripada satu keluarga.
Sementara itu, laman web public InfoBanjir banjir menunjukkan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu melepasi paras bahaya iaitu 20.92 meter berbanding 19.70 meter.
Kuala Berang: Hujan berterusan sejak kelmarin mengakibatkan banjir sedalam 1.5 hingga dua meter (m) di perkarangan Madrasah Addinniah Azzakiah (MAA) Kampung Lubuk Periuk, dekat sini.
Pengasasnya, Zaki Masur, 48, berkata, air mula memenuhi perkarangan madrasah itu kira-kira 10 pagi, sebelum semua pelajar melakukan persiapan untuk berpindah.
Zaki berkata, berikutan kejadian itu, 50 pelajar berusia antara 13 hingga 70 tahun dipindahkan ke sebuah bangunan tinggi di madrasah berkenaan.
Menurutnya, hujan lebat sejak kelmarin mengakibatkan berlakunya limpahan air Sungai Peneh, yang hampir memasuki 50 pondok dihuni pelajar dan tenaga pengajar madrasah.
"Alhamdulillah, semua pelajar akan diarahkan berpindah sekiranya berlaku banjir dan mereka ditempatkan di tingkat atas bangunan dewan makan.
"Apabila mereka berlindung di dewan makan, ia memudahkan pihak pengurusan untuk menyediakan hidangan kepada semua pelajar kerana kesemua peralatan dan bahan memasak sudah tersedia," katanya.
Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, banjir semakin kerap berikutan Sungai Peneh yang terletak hanya dua m daripada madrasah, semakin cetek.
Katanya, berikutan sering dilanda banjir, pihaknya sentiasa membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana itu terutamanya dalam aspek keselamatan pelajar.
Tambahnya, langkah berpindah awal sekiranya banjir akan menjimatkan masa serta tenaga berbanding berpindah selepas paras air meningkat tinggi.
"Apabila berlaku banjir, biasanya kayu-kayu yang digunakan untuk pembinaan pondok-pondok tambahan akan hanyut dan itu yang menjadi sedikit kerugian buat kami.
"Bagaimanapun, bukan semua yang dihanyutkan air kerana sebahagian kayu sudah dialihkan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelak kerugian yang lebih besar," katanya.