Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 476 mangsa pagi ini.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa membabitkan 135 keluarga itu ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga kini, hanya satu daerah saja masih dilanda banjir iaitu Tanah Merah, manakala Kuala Krai dan Machang sudah kembali pulih sepenuhnya.
Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 10.4 meter.
KUALA TERENGGANU: Banjir di negeri ini pulih sepenuhnya selepas semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang malam tadi.
Dua PPS terakhir yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Terbuka Kampung Belaoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Besut ditutup pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS Dewan Terbuka Kampung Belaoh yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga dan PPS SK Kampung La (sembilan keluarga membabitkan 32 mangsa) ditutup jam 9 pagi tadi.
Banjir gelombang ketiga membabitkan beberapa kampung yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai di tiga daerah, Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman dengan bilangan tertinggi keseluruhan mangsa yang dipindahkan adalah seramai 673 orang daripada 182 keluarga.
Secara keseluruhan sebanyak 18 PPS dibuka sepanjang tempoh tiga hari daerah terbabit dilanda banjir. Ia membabitkan 12 di Hulu Terengganu, Besut (lima) dan satu di Kemaman.
Banjir berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak Ahad lalu menyebabkan beberapa kampung berhampiran sungai dan yang berada di kawasan rendah dinaiki air.
Hulu Terengganu paling tinggi merekodkan mangsa yang dipindahkan iaitu 424 mangsa daripada 114 keluarga diikuti Besut (238 mangsa, 63 keluarga) dan Kemaman, satu keluarga membabitkan 11 mangsa.
KUALA LUMPUR - Mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit meningkat pagi ini, di Kelantan pula situasi bencana itu bertambah baik manakala jumlah mangsa di Terengganu kekal.
Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 52 orang daripada 14 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 26 orang daripada tujuh keluarga yang dilaporkan semalam dan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS di daerah Kota Tinggi.
Beliau berkata, PPS berkenaan adalah di Dewan Kampung Baru Sungai Mas melibatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga manakala di Sekolah Kebangsaan Gambut menempatkan 39 mangsa daripada 11 keluarga.
"Sementara itu, lima sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 19.31 meter; Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang pada paras 13.93 meter dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili, Kota Tinggi dengan 8.39 meter.
"Dua lagi sungai adalah di daerah Mersing, iaitu Sungai Tenglu Kecil di Kampung Tenglu Kecil dengan bacaan 1.22 meter dan Sungai Paya Dato’ 1.35 meter. Tiga daerah dilaporkan mendung pada pagi ini iaitu Mersing, Batu Pahat dan Kota Tinggi manakala lain-lain daerah diramal cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Tanah Merah terus susut kepada 476 orang daripada 135 keluarga pagi ini berbanding 573 orang daripada 178 keluarga semalam.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan kesemua mangsa berlindung di tujuh PPS.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri memaklumkan situasi banjir pada pagi ini tidak berubah apabila jumlah mangsa kekal 44 orang daripada 12 keluarga seperti malam tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Besut.
Berdasarkan laman web rasmi publicinfobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu melepasi paras amaran manakala Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia di Kuala Terengganu melebihi paras waspada. - Bernama
KOTA BHARU - Laluan utama untuk ke pekan Rantau Panjang di Pintu Dua Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dinaiki air kira-kira 0.5 meter (m).
Penduduk, Sabri Mohamad, 55, berkata, keadaan itu berlaku disebabkan oleh limpahan Sungai Golok bermula jam 9 malam pada Isnin.
“Air sungai melimpah dan kemudian memenuhi kawasan di Pintu Dua untuk ke pekan Rantau Panjang menyebabkan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
“Pintu Satu dan Tiga tidak dinaiki air dan ada peniaga di pekan itu masih berniaga,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, air dari Sungai Golok ini naik perlahan-lahan dan tidak secara mendadak. "Diharap air cepat surut dan keadaan cuaca di Rantau Panjang ketika ini juga tidak hujan,” katanya.
Sabri juga kontraktor itu memberitahu, pekarangan rumahnya di Tersang, Rantau Panjang juga dinaiki air kira-kira 0.5m serta beberapa kampung berdekatan.
“Keadaan ini masih lagi biasa bagi penduduk namun mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia.
“Ada sesetengah tempat dinaiki air 0.5 meter di Kampung To’ Deh, Lubuk Gong, Kedap, Kampung Danga dan Kedai Lama,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan banjir di Kelantan, Tanah Merah menjadi satu-satunya daerah yang masih terdapat mangsa berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Jumlah itu bagaimanapun menurun kepada 475 daripada 134 keluarga pada Selasa berbanding 882 mangsa daripada 267 keluarga di sembilan PPS sehari sebelumnya.
Menurut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, sehingga jam 8.45 pagi, Selasa, aras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatat bacaan 10.42m melebihi tahap bahaya namun menunjukkan trend menurun.