OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tangguh acara di luar bilik darjah jika cuaca panas

Pengurusan sekolah diminta menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah jika cuaca panas melebihi 35 darjah Celsius bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan musim panas ketika ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong, berkata pihak sekolah juga diminta memaklumkan kepada ibu bapa supaya membekalkan minuman secukupnya kepada murid dalam keadaan cuaca sedemikian.

“Selain itu, pengetua dan guru besar diminta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dikeluarkan Jabatan Meteorologi (Metmalaysia),” katanya kepada media ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Wakaf Tapai, di sini, semalam.

Jelani yang turut menyantuni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, memaklumkan seramai 256,869 pelajar rendah dan menengah memulakan sesi sesi akademik 2025/2026 di 506 sekolah seluruh negeri, semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 149,314 adalah murid sekolah rendah, 107,555 pelajar sekolah menengah. Jumlah murid Tahun Satu sesi akademik 2025/2026 juga meningkat kepada 23,254 berbanding 22,126 pada sesi lalu.

“Tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) selama satu minggu bermula hari ini (semalam), hanya sesi orientasi atau takruf untuk memastikan proses penyesuaian murid kepada persekitaran sekolah,” katanya.

Di Kota Bharu, Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah), Mat Lazim Mohammad menasihatkan murid memakai pelitup muka dan minum air mencukupi sepanjang musim panas ini.

Galak pakai pelitup muka

Beliau yang ditemui media ketika hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1 sempena hari pertama sesi 2025/2026, berkata pihaknya sentiasa akan merujuk Metmalaysia bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi musim panas.

“Sekarang sudah mula cuaca panas dan kami galakkan murid memakai pelitup muka dan bawa air mencukupi. Walaupun tidak diwajibkan, pemakaian pelitup muka digalakkan kerana cuaca panas boleh mengakibatkan demam, batuk dan selesema.

“Sebarang perkembangan dari semasa ke semasa akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa melalui siaran atau saluran yang ada,” katanya menambah aktiviti luar bilik darjah akan dikurangkan dengan fokus kepada pembelajaran dalam kelas.

Katanya, jika cuaca panas semakin serius, pihak kementerian mempunyai kit kesihatan, termasuk mengandungi pelitup muka yang akan diagihkan kepada sekolah terjejas.

Lelap lepas makan ubat, terkejut rumah dinaiki air

JOHOR BAHRU: "Saya terlena seketika selepas makan ubat tekanan darah tinggi sebelum dikejutkan oleh anak yang memberitahu rumah kami dimasuki air."

 

Suri rumah, Ros Fariza Mustafa, 48, menceritakan insiden banjir kilat yang menenggelami kediamannya di Jalan Attar, Kampung Setanggi di sini, kira-kira jam 5 petang tadi selepas kawasan itu dilanda hujan lebat hampir sejam.

Beliau berkata, kejadian tidak disangka itu kali kedua berlaku dalam tempoh kurang setahun, sehingga mengakibatkan pelbagai barangan elektrik dan perabot di rumahnya mengalami kerosakan.

"Tahun lalu, kejadian berlaku selepas hujan lebat selama beberapa hari tetapi pada kali ini, baru sejam hujan lebat sudah menyebabkan rumah penduduk dilanda banjir kilat.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama dua anak berusia enam dan 11 tahun, manakala suami keluar bekerja. Mujur anak mengejutkan saya, dan air kali ini naik hingga 0.5 meter.

"Saya terpaksa meminta suami pulang untuk melakukan kerja pembersihan rumah kerana saya mengalami 'slipped disc'," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Farhan Akhtar, 56, berkata kira-kira 20 keluarga terjejas akibat banjir kali ini.

"Air naik secara mendadak dan juga surut dengan cepat.

"Kerajaan negeri harus melihat cara untuk mengatasi masalah banjir kilat di sini yang bukan saja menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian setiap kali bencana itu berulang, malah mengganggu keselesaan ramai.

"Kami tidak menolak kemungkinan permasalahan ini berpunca daripada masalah sistem saliran. Diharapkan tindakan sesuai dapat diambil segera," katanya ketika dihubungi

 

NADMA sumbang set barang keperluan asas kepada JPBB untuk mangsa banjir Bintulu

BINTULU: Sejumlah 2,500 set barang keperluan asas telah disumbangkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBB) untuk mangsa banjir di Bintulu pada semalam.

Sumbangan kotak Misi Bantuan Bencana GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) Sarawak melalui NADMA itu telah diterima oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey yang mewakili Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi JPBB Datu Nyurak Keti di Naim Paragon Bintulu.

Turut menyaksikan penerimaan sumbangan itu ialah Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammad Nizam Awang Ali Borhan; Ketua Pengarah Eksekutif -RED A Humanitarian Development Global, Datin Azura Ibrahim; Ketua Komuniti dan Pembangunan Negara Yayasan TM, Datin Noorul Syifa Mohd Isa; Ketua Perkongsian Yayasan Hasanah, Raja Nor Dianna Raja Harun; Pengurus GDRN Yayasan Hasanah, Aizuddin Arshad dan Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu.

"Setiap penerima akan menerima satu set kotak dengan barangan didalamnya serta satu selimut tebal Narita," kata jurucakap penganjurnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, antara jenis-jenis barangan yang disumbangkan ialah cerek elektrik, periuk nasi, dua selimut, dua tuala, dua sarung untuk setiap penerima.

Sumbangan yang diterima tersebut di bawah Misi Bantuan Bencana GDRN Sarawak itu adalah daripada CIMB Foundation, Khazanah Nasional, KWAP, Tabung Haji, Malaysia Airports, Maskargo, Maskargo Logistics, Maybank, PNB, Yayasan Hasanah, Yayasan PETRONAS, Yayasan Sime Darby, Yayasan TM dan Yayasan UEM dengan kerjasama RED A Humanitarian Development Global.

Lebih 12 jam padam api belukar Ayer Keroh

MELAKA - Pasukan Bomba Melaka terpaksa menempuh masa lebih 12 jam untuk memadamkan kebakaran lalang belukar seluas kira-kira 6.8 hektar yang turut melibatkan puncak bukit di Taman Muzaffar Height, Ayer Keroh di sini pada petang Khamis.

Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Mohd Khairulnizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.50 petang sebelum 29 anggota bomba dan 10 aset memadam kebakaran di gerakan ke lokasi berkenaan.

 

"Empat balai bomba yang terlibat termasuk Ayer Keroh, Bukit Katil, Melaka Tengah dan Tangga Batu.

"Kebakaran belukar dianggarkan berkeluasan 1.2 hektar dan terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Kawasan A di puncak bukit, sebelah Condominium Muzaffar Height (Kawasan B) dan pencawang Tenaga Nasional Berhad (Kawasan C)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jelasnya, jentera dari balai bomba Ayer Keroh melakukan pemadaman dari atas puncak bukit menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki iaitu dianggarkan jarak sepanjang 152 meter dari tangki air jentera dan dibantu oleh jentera balai bomba Tangga Batu.

Ujarnya, manakala bagi kawasan B dan C, jentera bomba mengawal dan memadam api menggunakan dua aliran hos sepanjang 91 meter dari jentera tangki kaedah pemerap api.

Katanya, faktor cuaca kering dan panas menjadi antara punca api merebak begitu pantas dan bomba terpaksa mengambil masa yang lama untuk memadam kebakaran sehingga ia merebak kepada seluas 6.8 hektar.

"Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut memberi bantuan sumber air dengan membuka pintu tangki air yang terdekat sehingga operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam5.28 pagi Jumaat, " katanya lagi.

Tambahnya, bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat dan operasi pemadaman itu juga dibantu 22 anggota dari agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan SAMB.

OCI TerraSus salur sumbangan RM100,000 kepada PPPM Cawangan Sarawak

KUCHING, 14 Feb: Syarikat OCI TerraSus (OCI M) Sdn Bhd menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Pandu Puteri Cawangan Sarawak bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di Bintulu.

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang mewakili Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Yang di-Pertua Persatuan, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, sumbangan tersebut bagi membantu mangsa banjir di Bintulu khususnya anak-anak Pandu Puteri dan pelajar ahli persatuan itu.

“Bersama kita pada hari ini, Pengarah Kanan Ketua Bahagian Kelestarian OCI TerraSus (OCI M) Sdn Bhd, Dr. Kim Soo Yeon yang turut memberi sumbangan sebanyak RM 100,000 kepada Pandu Puteri.

“Sumbangan ini akan disalurkan kepada mangsa banjir di Bintulu khasnya kepada anak-anak Pandu Puteri dan pelajar ahli Pandu Puteri. Sumbangan ini akan kita salurkan nanti pada 26 Februari nanti,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Ketua Bahagian Kelestarian OCI TerraSus (OCI M) Sdn Bhd, Dr. Kim Soo Yeon berkata, syarikatnya sentiasa berusaha memberi impak bermakna kepada masyarakat melalui pendidikan dan sokongan kepada golongan muda, terutamanya kanak-kanak perempuan.

“OCI Terassus sentiasa mengambil berat tentang masa depan yang lestari, baik dalam perniagaan mahupun masa depan kita dengan tenaga bersih dan sains kehidupan. Oleh itu, kami percaya bahawa memberi impak bermakna kepada masyarakat adalah sesuatu yang amat penting bagi kami.

“Kami juga percaya bahawa pendidikan untuk golongan muda, terutamanya kanak-kanak perempuan, merupakan satu bentuk sumbangan yang signifikan. Dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri, inisiatif ini dapat membawa kesan positif kepada masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Cawangan, Ruth Sibat @ Nur Mithali Abdullah, Pesuruhjaya Pandu Puteri Renjer Cawangan Rosnani Abdul Latif, Setiausaha Kehormat Rukayah Dawi, Setiausaha Eksekutif Janet Lim, Pengurus Bahagian Kelestarian, Jang Soo Ah dan Pegawai Bahagian Kelestarian Nurquraishia Shafiqa.- TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search