Selangor perkemas persediaan hadapi Senyar
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM - Ribut Tropika Senyar yang pertama kali dijangka melanda Selangor memaksa seluruh aset kerajaan negeri digerakkan bagi menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir dan kenaikan paras air secara mendadak.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua jentera di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diaktifkan selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) petang Khamis mengesahkan ribut tropika itu sedang merentasi Selat Melaka menuju ke pesisir Pantai Barat antara sempadan Selangor dan Perak.
“Saya telah mengarahkan semua agensi memastikan setiap kenderaan dan bot diperiksa bagi memastikan ia boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Amirudin, terdapat 45 stesen amaran siren di seluruh negeri yang akan diaktifkan sekiranya paras air dijangka mencapai tahap bahaya.
“Saya menyeru rakyat Selangor supaya berwaspada dan peka dengan setiap amaran serta arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Sekiranya siren di kawasan anda dibunyikan dan arahan pemindahan dikeluarkan, patuhi segera dan daftarkan diri di PPS terdekat,” jelas beliau.
Beliau berkata, sebanyak 1,173 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri yang mampu menempatkan sehingga 244,000 penduduk kini berada dalam mod siap siaga melibatkan sekolah, masjid, dewan dan balai raya yang turut dilengkapi keperluan asas.
Amirudin memberitahu, ribut yang dikesan di Sumatera mampu mencapai kelajuan sehingga 50 km/j dan dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini.
Amirudin berkata, Selangor tidak pernah berdepan ribut tropika sebelum ini dan persiapan menyeluruh dilakukan bagi memastikan keselamatan rakyat.
“Keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan keselamatan semua warga Selangor ketika menghadapi ancaman ribut tropika itu.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan MetMalaysia melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.
Sebarang perkembangan situasi cuaca akan dimaklumkan melalui platform rasmi MetMalaysia serta laman web met.gov.my.
