OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

KADA laksana penggiliran salur air ke sawah

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memandang serius masalah bekalan air dihadapi pesawah susulan kemarau yang melanda kawasan penanaman padi di bawah seliaan agensi terbabit.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad, berkata buat masa ini hanya empat pam di Stesen Pam Kemubu 2 berfungsi dengan kemampuan bekalan air sebanyak 350 liter padu air persaat.

Katanya, bekalan air berkenaan untuk diagihkan kepada sawah seliaan KADA di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Bachok dan Pasir Puteh.

"Jumlah bekalan air ini adalah separuh daripada keperluan sebenar air bagi kawasan terbabit menyebabkan ada kawasan tidak menerima bekalan air.

"Hanya pam di Stesen Pam Kemubu 2 yang boleh digunakan untuk membekalkan air ke sawah disebabkan paras air sungai sudah menurun memandangkan tiada hujan," katanya ketika dihubungi.

Justeru Khalid berkata, sistem penggiliran kini dibuat bagi mengimbangi bekalan air ke sawah.

"Kawasan KADA menghadapi kekangan sumber bekalan air. Bagi menangani masalah ini KADA juga menyediakan 10,000 liter diesel secara percuma untuk fasa pertama di setiap Pejabat KADA Jajahan bagi membantu petani menggunakan pam mudah alih dan telaga tiub yang sedia ada.

"Sehingga kini sebanyak 800 telaga tiub sudah dibina KADA sejak 2019. Dengan pemberian diesel ini petani boleh mendapatkan bekalan diesel itu di Pejabat KADA Jajahan masing-masing untuk kegunaan pam," katanya.

Terdahulu media melaporkan, lebih 2,000 pesawah mendakwa tanaman padi seluas 4,000 hektar terputus bekalan air sejak seminggu lalu dan dikhuatiri tanaman akan musnah tidak lama lagi.

Padi yang kini berusia 50 hingga 60 hari dijangka hanya mampu bertahan seminggu dan sekiranya tidak mendapat bekalan air, tanaman akan rosak dan pesawah akan mengalami kerugian.

Kawasan yang terjejas membabitkan beberapa lokasi di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan termasuk Kampung Aur Duri, Pangkal Pisang, Padang Halban, Badak Mati, Machang Bubuk, Limbat dan Tembesu.

Pengerusi Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan, Zuha Ismail, berkata kesemua kawasan sawah berkenaan bergantung kepada air dari Rumah Pam Kemubu KADA.

 

9 negeri berdepan hujan lebat, ribut petir hingga lewat petang

PETALING JAYA – Sebanyak sembilan negeri dijangka berdepan cuaca buruk di sebelah petang hari ini terutama sekitar selatan Semenanjung.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda negeri Perak membabitkan daerah Kampar, Batang Padang dan Muallim.

“Selain itu, di Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron dan Rompin serta beberapa daerah di Selangor, antaranya Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” kata MetMalaysia.

Dalam laporan sama, MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat pada petang ini juga berisiko melanda Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah).

“Bagi negeri Johor pula, kawasan yang diramal berdepan cuaca buruk petang ini adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Keadaan sama juga berlaku sekitar Sarawak meliputi bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song).

“Di Sabah melibatkan Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

702 pesawah Perak terima bantuan bencana RM813,081

BAGAN SERAI – Sebanyak RM813,081 telah diperuntukkan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk membantu 702 pesawah di Perak yang terkesan akibat kemarau dan banjir yang melanda pada musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan pesawah serta memastikan rantaian bekalan makanan negara terus stabil.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan di bawah Tabung Bencana Pertanian (TBP) kepada tiga penerima di Kerian dengan jumlah keseluruhan RM6,000.

“Kemarau yang melanda telah menjejaskan kawasan tanaman seluas 778.15 hektar di seluruh Perak, termasuk 470.93 hektar di daerah Kerian. Selain itu, 0.70 hektar kawasan tanaman lain turut terjejas akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, kerajaan negeri dan persekutuan telah meluluskan bantuan berjumlah RM812,081.28 di bawah TBTP kepada 702 pesawah yang terkesan.

“Bagi TBP pula, sejumlah RM1,411,842.10 telah diperuntukkan untuk membantu 110 petani dan penternak dalam sub sektor tanaman makanan, ternakan, dan akuakultur,” katanya.- KOSMO! ONLINE

5 sekolah terjejas banjir di Sarawak masih ditutup

KUCHING: Lima sekolah rendah di empat daerah di Sarawak masih belum dibenarkan beroperasi pada hari pertama persekolahan hari ini, akibat banjir yang melanda daerah berkenaan awal bulan ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, walaupun banjir di daerah terbabit semakin pulih, namun operasi di sekolah itu tidak dapat dijalankan, susulan banyak kelengkapan sekolah yang rosak teruk.

Beliau berkata, ketika ini semua sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit dilaksana menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Jelasnya, pembersihan di sekolah terbabit dijangka akan dilakukan dalam minggu ini, bergantung kepada keadaan semasa banjir di kawasan terlibat.

“Kita telah mengenal pasti kerosakan yang telah dilaporkan dan kita juga telah menurunkan peruntukan kepada pihak PPD untuk membantu sekolah membuat perolehan bagi kerosakan yang melibatkan kerusi dan meja.

“Sebenarnya, banyak lagi kerosakan lain, tetapi keutamaan kita adalah kerusi dan meja terlebih dahulu supaya mereka dapat belajar. Pada masa yang sama, kita akan lakukan pembaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau sesi hari pertama persekolahan 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki, Kuching.

Lima sekolah terbabit termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Plid, SK Saint Luke di Dalat, SK Kuala Kenyana di Mukah, SK Kuala Muput di Tatau, dan SK Ulu Kabo di Saratok.

Bagi sesi akademik 2025/2026, seramai 453,804 murid di Sarawak memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang membabitkan murid peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Daripada jumlah itu, 32,765 murid akan memulakan pembelajaran di Tahun Satu di 1,266 buah sekolah rendah di seluruh wilayah berkenaan.

 

Operasi pemadaman stor simpanan bahan kitar semula di Segamat masuk hari ketiga

SEGAMAT: Kerja pemadaman kebakaran sebuah stor simpanan bahan kitar semula di Kampung Usaha Jaya, Labis, di sini yang memasuki hari ketiga hari ini terpaksa menggunakan teknik menimbus bahan yang sedang terbakar dengan tanah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif berkata bahan terbakar itu melibatkan sanga aluminium dan jika menggunakan air ataupun buih, ia boleh menyebabkan tindak balas kimia yang menghasilkan gas hidrogen berbahaya, selain memburukkan lagi kebakaran.
 
 
"Teknik menyelimut bahan yang sedang terbakar (dengan tanah) terpaksa dilakukan kerana tidak boleh menggunakan sumber air serta buih. Sebuah mesin pengorek dan dua jengkaut digunakan dalam operasi hari ini setelah ditangguhkan 7 malam semalam kerana ketiadaan tanah dan pasir," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 8 pagi Jumaat, 25 anggota bersama tiga jentera BBP Labis telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Muhammad Hafifie berkata setibanya di lokasi, pasukannya mendapati kebakaran itu berskala besar melibatkan sanga aluminium di stor kilang yang dipercayai haram itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah meletakkan alat pengukur kualiti udara di Klinik Desa Sungai Karas, di sini yang terletak satu kilometer dari lokasi kebakaran.
 
"Setakat ini normal dan bacaan kualiti udara di lokasi berhampiran juga sentiasa diambil anggota JAS Johor. Pemantauan terus dilakukan dan pemberitahuan akan dibuat dari semasa ke semasa berkaitan kualiti udara di kawasan sekitar," katanya
 
--BERNAMA
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search