OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

KKDW lulus RM1.6 juta baiki kerosakan kediaman dilanda banjir

KKDW lulus RM1.6 juta baiki kerosakan kediaman dilanda banjir

Dungun: Pasangan suami isteri bersama lima anak berusia antara tiga dan 21 tahun yang terpaksa menghuni pondok berdindingkan kanvas dan berlantaikan kertas tebal bakal berpindah ke kediaman baharu, Ogos ini.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, berkata surat setuju terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik untuk kerja-kerja pembinaan kediaman baharu kepada pasangan suami isteri itu sudah dikeluarkan.

Katanya, kerja tapak untuk pembinaan kediaman baharu kepada pasangan itu sudah dimulakan dan rumah itu dijangka siap serta boleh didiami dalam tempoh 14 minggu iaitu pada pertengahan Ogos depan.

"KKDW sudah meluluskan peruntukan di bawah kategori baik pulih program perumahan rakyat sejahtera (PPRS) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk kerja baik pulih kediaman kepada pasangan suami isteri itu pada April tahun lalu.

"Tetapi siasatan mendapati rumah asal yang rosak ditenggelami banjir pada akhir 2023 lalu tidak ekonomik dan melebihi kos diluluskan untuk dibaik pulih," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sepasang suami isteri dan lima anak berusia antara tiga dan 21 tahun hidup daif di pondok buruk berdindingkan kanvas dan zink serta berlantaikan kertas tebal sejak dua tahun lalu, selepas kediamannya di Kampung Shukur, Pasir Raja, Hulu Dungun rosak dilanda banjir besar pada Disember 2023 lalu.

Tengku Nor Shahida Tengku Hashim, 41, dan suami, Tengku Hassan Tengku Jaafar, 48, terpaksa tinggal dalam pondok buruk yang berpendapatan hanya RM50 sehari tidak mampu untuk membayar rumah sewa selepas kediaman rosak dilanda banjir.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Nadzri berkata, KKDW sudah meluluskan peruntukan di bawah kategori projek pembinaan kediaman baharu kepada pasangan berkenaan.

Katanya, kediaman baharu untuk Tengku Nor Shahida dan Tengku Hassan akan dibina di atas tapak milikan keluarga pasangan berkenaan dan didirikan di lokasi bebas daripada bencana banjir.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 84 kediaman penduduk di kampung berkenaan mengalami kerosakan selepas dilanda banjir besar pada akhir Disember 2023 lalu.

Katanya, KKDW meluluskan peruntukan keseluruhan kira-kira RM1.6 juta untuk kerja membaikpulih 76 kediaman yang rosak dan membina lapan rumah baharu yang rosak dilanda banjir.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search