OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

36 lembangan sungai dipantau

36 lembangan sungai dipantau

Kuala Lumpur: Sebanyak 36 lembangan sungai di Semenanjung dipantau oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, bagi memastikan ramalan dan amaran banjir dapat dikeluarkan dengan tepat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib, berkata antara lembangan yang dipantau termasuk Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Kelantan.

“Di Terengganu, Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Paka dan Sungai Kemaman; Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Langat di Selangor; Sungai Muda, Sungai Kedah dan Sungai Melaka di Kedah; serta Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Sungai Perak di Perak,” katanya semalam.

Beliau berkata, lonjakan ketara paras air sungai berlaku akibat hujan lebat berterusan dan menjejaskan penduduk di negeri terbabit.

“Di Kelantan, beberapa sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak berada pada atau melepasi paras bahaya di Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

“Kota Bharu merekodkan 697 milimeter hujan dalam tempoh tiga hari antara 21 hingga 23 November, iaitu 157 peratus lebih tinggi daripada purata hujan bulanan November bagi tempoh 2021 hingga 2023, menunjukkan betapa seriusnya keadaan di negeri itu,” katanya.

Di Terengganu beliau berkata, Setiu menerima hujan sebanyak 284.5 mm dalam tempoh tiga hari dari 21 hingga 23 November.

“Jumlah itu sudah melebihi separuh daripada purata hujan bulanan November bagi negeri itu dalam tempoh 2021 hingga 2023, iaitu 514 mm,” katanya.

Mohamad Radzi berkata, JPS membuat persiapan rapi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula 13 November lalu dan dijangka berlanjutan sehingga Mac 2026.

Katanya, JPS melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir mengoperasi sistem model ramalan menggunakan pendekatan hidrodinamik yang menggabungkan data hidrologi daripada stesen telemetri serta ramalan hujan MET Malaysia berdasarkan teknologi satelit dan radar.

“Sistem ini membolehkan simulasi banjir dijana seawal tujuh hari, manakala hebahan awal kepada agensi berkaitan dan orang awam boleh dibuat dalam tempoh dua hari selepas menerima ramalan cuaca signifikan,” katanya.

Beliau berkata, JPS akan mengeluarkan buletin amaran banjir kepada JPS Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memastikan tindakan penyelamat dapat dijalankan dengan segera.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search