MESYUARAT PENGURUSAN BENCANA PUSAT (JPBP) BILANGAN 3 TAHUN 2022 BERSAMA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI, DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
13 DISEMBER 2022 - Petang ini YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 3 bagi tahun 2022.
Secara amnya, YAB Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan mekanisme pengurusan bencana yang dilihat telah berjalan dengan baik diperingkat daerah dan juga negeri. Mengambil iktibar daripada kejadian banjir sebelum ini, keberkesanan operasi, tindakan proaktif dan penyelarasan berkesan daripada JPBN dan JPBD adalah amat penting bagi memastikan tindakan menguruskan bencana dapat dilaksanakan dengan cepat, teratur dan berkesan.
YAB TPM berharap Pengerusi JPBN dan JPBD tekal merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui dasar, pelan tindakan, program, serta projek yang bermanfaat dan sesuai dengan risiko bencana di negeri masing-masing. Kerjasama serta komitmen daripada semua pihak yang terlibat, pengurusan dan pengurangan risiko bencana akan dapat dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan negara.
LAWATAN KERJA RASMI YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (SABAH, SARAWAK DAN TUGAS-TUGAS KHAS) KE NADMA MALAYSIA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
8 Disember 2022 – Lawatan Kerja Rasmi YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) ke NADMA Malaysia.
Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas pengurusan bencana negara, YB Armizan diberi taklimat khas berkaitan peranan dan tanggungjawab NADMA sebagai penyelaras pengurusan bencana.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah situasi terkini MTL 2022/2023 serta koordinasi dan kerjasama baik semua pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana negara.
Ketibaan YB Menteri disambut mesra pengurusan tertinggi NADMA yang diketuai oleh Datuk Khairul Shahril, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana).
Bengkel Pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Zon Sabah
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
KOTA KINABALU, 5 Disember 2022 - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah merasmikan Bengkel Pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Zon Sabah.
Bengkel ini diadakan bagi menyelaras peranan dan tanggungjawab agensi responder dan agensi pengurusan bencana daerah. Turut serta ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Operasi), Tuan Meor Ismail bin Meor Akim, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Ag Shahminan bin Ag Sahari serta Pengarah JBPM Sabah, YS PPKjB Abdul Razak bin Muda.
Objektif utama bengkel adalah untuk memastikan kefahaman agensi-agensi terlibat terhadap fungsi dan peranan masing-masing sepertimana Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 (MKN20).
Platform ini juga akan dapat membantu agensi-agensi berkaitan menambah baik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK). Kunci kepada kejayaan sesuatu operasi bencana adalah bergantung kepada koordinasi yang cekap, menyeluruh dan pantas. Kesiapsiagaan terhadap bencana perlu melibatkan kerjasama bersepadu di antara agensi kerajaan, bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuklah orang perseorangan.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi-agensi kerajaan di Istana Negara
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
16 November 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi-agensi kerajaan di Istana Negara, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Dato’ Ir. Dr. Haji Md. Nasir Md. Noh, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dato’ Sri Ts Mohammad Hamdan Haji Wahid dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Pada sesi persembahan taklimat itu, Seri Paduka Baginda bertitah semua agensi menitikberatkan koordinasi bantuan dan operasi menyelamatkan mangsa banjir bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan, tepat dan cepat.
Seri Paduka Baginda turut bertitah koordinasi yang baik antara semua agensi adalah amat penting dan juga bagi memastikan tidak berlaku pertindihan tugas ketika pelaksanaan operasi menyelamatkan mangsa banjir dan misi bantuan kepada mangsa banjir.