Sesi Perbincangan Antara Pihak Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC) dengan NADMA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
6 Januari 2025 - Telah berlangsung sesi perbincangan antara pihak Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia – Japan International Institute of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA yang bertujuan untuk membincangkan mengenai kerjasama teknikal antarabangsa dalam bidang pengurusan dan pengurangan risiko bencana di Malaysia. Antara lain, bagi membincangkan syor pengukuhan kerjasama peringkat antarabangsa dalam bidang pengurusan risiko bencana dan daya tahan bersama negara Taiwan, Rwanda dan Jepun.
Perbincangan ini telah dihadiri oleh Dr. Khamarrul Azahari Razak, Pengarah DPPC, MJIIT, UTM; YBhg. Dato’ Zakaria Mohamd, Adjunct Professor UTM & Pengerusi Geo – Resilience; Prof Dr Azlan Adnan, Penyelidik DPPC UTM; Dr. Norhafifi Ismail, Penyelidik DPPC MJIIT; Dr. Fitri Yakub, Full member of DPPC (MJIIT, UTM), Dr. Nurul Zainab Along, Full member of DPPC (MJIIT, UTM) dan Encik Roslan Ghani, DPPC Associate Member / Pengerusi Persatuan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADIM).
Turut hadir ke sesi perbincangan ini adalah pegawai-pegawai kanan Seksyen Dasar dan Perancangan, Seksyen Mitigasi dan Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA.
Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2025
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
3 Januari 2025 - Pengurusan tertinggi dan warga NADMA telah menghadiri ke Perjumpaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari Tahun 2025 di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Presint 10, Putrajaya.
Sesi Libat Urus Permohonan Pewujudan Jawatan Baharu bagi Pengoperasian Fasiliti Baharu di NADMA dan Lawatan ke Tapak Pusat Latihan Simulasi Bencana Negara
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
SESI LIBAT URUS PERMOHONAN PEWUJUDAN JAWATAN BAHARU BAGI PENGOPERASIAN FASILITI BAHARU DI AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA (NADMA) DAN LAWATAN KE TAPAK PUSAT LATIHAN SIMULASI BENCANA NEGARA
2 Januari 2025 - Telah berlangsung satu Sesi Libat Urus Permohonan Pewujudan Jawatan Baharu bagi Pengoperasian Fasiliti Baharu di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus.
Sesi Libat Urus ini bertujuan untuk memperkukuh lagi fungsi NADMA dalam pengurusan bencana dengan pembinaan fasiliti baharu iaitu Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bencana Malaysia (MyCEDM) yang dijangka siap sepenuhnya pada 8 Februari 2025.
Sesi libat urus ini turut melibatkan lawatan tapak ke Pusat Latihan Simulasi Bencana Negara untuk meninjau perkembangan semasa projek. Pusat ini telah siap pembinaan dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada bulan Mac 2025. Lawatan ini turut memberi pendedahan awal mengenai kemudahan yang akan disediakan bagi latihan simulasi bencana masa hadapan.
Turut hadir dari NADMA adalah YBrs. Encik Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana), Encik Meor Hijdayat bin Ismail, Pengarah BKP, wakil Seksyen Penyelarasan Operasi iaitu Puan Che Siti Noor binti Koh Poh Lee@Che Mamat dan Encik Shanmugam A/L Gopalan, wakil daripada Seksyen Teknikal dan Infrastruktur iaitu Encik Mohd Yusri bin Yusof@Jusoh dan Sr. Nizam Amri bin Ibrahim dan Komander SMART, Tuan PgKB I Mohd Khairul bin Jamil.
Sesi libat urus ini telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Pengarah Bahagian Perjawatan dan Organisasi dan wakil-wakil Jabatan Perkhidmatan Awam serta Setiausaha Bahagian, Timbalan Setiausaha Bahagian dan wakil-wakil Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri.
Sesi Perbincangan dan Semakan Semula Draf Klasifikasi Fail NADMA bersama Arkib Negara Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
SESI PERBINCANGAN DAN SEMAKAN SEMULA DRAF KLASIFIKASI FAIL AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA BERSAMA ARKIB NEGARA MALAYSIA | 20 Disember 2024 | Ibu Pejabat NADMA
Telah berlangsung Sesi Perbincangan dan Semakan Semula Draf Klasifikasi Fail (KF) bagi Urusan Am dan Fungsian yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA dan dihadiri oleh YBrs. Encik Meor Ismail bin Meor Akim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Pengarah serta Pegawai dari setiap seksyen.
Sesi perbincangan ini diadakan bersama wakil daripada Arkib Negara Malaysia yang diketuai oleh Encik Zaidin bin Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Arkib Negara, Puan Gowri a/p P.S. Thangaya, Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod Kerajaan, Puan Hapiza binti Osman, Ketua Seksyen Pengurusan Rekod Elektronik dan Puan Fadzlette Azra binti Fesal, Pegawai Arkib Seksyen Pengurusan Rekod Elektronik.
Tujuan sesi perbincangan ini adalah untuk memastikan penyelarasan templat Klasifikasi dan Diskripsi Fail bagi Urusan Am dan Fungsian selaras dengan hala tuju NADMA ke arah pembangunan Digital Document Management System (DDMS) 2.0. Wakil daripada Arkib Negara Malaysia turut berpeluang melawat Kaunter Mel, Unit Pengurusan Rekod, Bahagian Khidmat Pengurusan di Aras B1 bagi melihat keperluan dan memberikan khidmat nasihat yang sewajarnya.
Kursus Latihan Pemantapan Penggunaan Aplikasi Epasca (Pentadbir) | 17 & 18 Disember 2024 | Cosmo Hotel, Kuala Lumpur
Kursus ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana NADMA. Beliau juga turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir (Gelombang 1&2) Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 pada 19 Disember 2024 untuk meninjau kerja-kerja pasca yang telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi persekutuan dan negeri serta keadaan wabak penyakit berjangkit bawaan air akibat banjir.
NADMA turut menerima sumbangan tabung bantuan banjir daripada pelbagai pihak termasuk masjid dan Railway Asset Cooperation. Wakil NADMA turut meneruskan program CBDRM Seminar Komuniti Berdaya Tahan Bencana Menghadapi MTL Majlis Bandaraya Subang Jaya 2024 yang melibatkan seramai 150 peserta. Selain itu, siri-siri koordinasi bantuan-bantuan NGO Rakan NADMA dan sumbangan barangan daripada pelbagai pihak turut diteruskan.