Majlis Sambutan Peringatan Peristiwa Tahun Ke-20 Bencana Tsunami Lautan Hindi Peringkat Asean di Malaysia
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
MAJLIS SAMBUTAN PERINGATAN PERISTIWA TAHUN KE-20 BENCANA TSUNAMI LAUTAN HINDI PERINGKAT ASEAN DI MALAYSIA | 5 NOVEMBER 2024 | St. Giles Wembley Penang Hotel, George Town, Pulau Pinang
Pada 26 Disember 2004 telah berlaku gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter di Lautan Hindi yang mencetuskan kejadian bencana tsunami besar dan memberikan impak secara global, termasuk beberapa negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia. Lanjutan kejadian bencana tsunami tersebut, negara-negara anggota ASEAN termasuk Malaysia telah menandatangani ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) pada 26 Julai 2005, iaitu suatu perjanjian yang mengikat secara sah di sisi undang-undang.
Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku national focal point pengurusan bencana di peringkat ASEAN mempunyai obligasi untuk melaksanakan perkara-perkara di bawah perjanjian AADMER. Dalam hal ini, bersempena 20 tahun peristiwa bencana tsunami Lautan Hindi di peringkat ASEAN, Malaysia bersama dengan Thailand dan Indonesia telah dipilih sebagai tuan rumah bagi melaksanakan program peringatan di negara masing-masing.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Puan Lim Siew Khim, EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Negeri Pulau Pinang serta tetamu kenamaan terdiri daripada YBhg. Datuk Khairul Shahril bin Idrus, Ketua Pengarah NADMA, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YM Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Brunei Darussalam dan Pengarah Eksekutif ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre). Majlis ini telah disertai oleh seramai 23 orang peserta dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan AHA Centre serta 250 orang peserta daripada pelbagai agensi Kerajaan yang terlibat sebagai peserta, pempamer dan sekretariat.
Pada sesi petang, semua peserta antarabangsa telah dibawa melawat ke kawasan yang pernah terjejas akibat bencana tsunami di Kota Kuala Muda, Kedah bagi melihat sendiri usaha pemulihan dan pembangunan semula yang telah dilaksanakan. Para peserta telah diberikan taklimat oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin, Mantan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) dan sesi bergambar di hadapan Tugu Peringatan Tsunami Kota Kuala Muda.
Sesi Lawatan dan Taklimat kepada Pihak Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
SESI LAWATAN DAN TAKLIMAT KEPADA PIHAK UNIVERSITI TENAGA NASIONAL (UNITEN), KAMPUS PUTRAJAYA | 6 NOVEMBER 2024 | PUSAT KAWALAN BENCANA NEGARA (NDCC)
Sesi lawatan ini telah disertai oleh 33 orang pelajar dari UNITEN Business School (UBS) dan diketuai oleh Pn. Fatini Hanim bt Mohamed Taufek, Pensyarah UNITEN Business School. Sesi lawatan ini bertujuan untuk memberikan pelajar pandangan praktikal mengenai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pengurusan bencana, respons kecemasan dan usaha kemanusiaan. Ia membolehkan pelajar melihat pelaksanaan strategi kesiapsiagaan bencana dan memahami kepentingan etika serta kemanusiaan dalam misi keselamatan dan penyelamatan negara.
Selain itu, sesi lawatan ini juga dapat memperkenalkan pelajar kepada sistem respons kecemasan bencana di negara ini dengan memberi fokus kepada bagaimana sesuatu keadaan kecemasan dipantau, diurus dan dikoordinasikan di peringkat nasional. Lawatan ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari tentang sistem dan teknologi yang digunakan dalam pengurusan bencana di negara ini. Di samping itu, ia dapat memberikan mereka gambaran dengan lebih dekat tentang peranan kritikal yang dimainkan oleh NDCC dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) semasa berlakunya bencana.
Taklimat berkenaan pengoperasian NDCC telah disampaikan oleh En. Nazaruddin bin Sharaai, Pengarah NDCC manakala taklimat berkaitan pengoperasian Pasukan SMART telah disampaikan oleh Insp Abdullah bin Ahmad Sobri. Turut bersama dalam sesi taklimat ini ialah PgKB I Mohd Khairul bin Jamil, Komander Pasukan SMART.
USAR Coordination Course
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
USAR Coordination Course | 28 Oktober hingga 1 November 2024 | Merseyside Training Academy, Liverpool
Telah berlangsung kursus USAR Coordination yang dianjurkan oleh International Search and Rescue (ISAR) United Kingdom selaku tuan rumah melalui sekretariat International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG).
Penglibatan peserta seramai 20 orang terdiri daripada 7 buah negara termasuk Malaysia yang menghantar penyertaan 2 orang pegawai kanan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam mengukuhkan kerjasama pasukan penyelamat antarabangsa serta mempelajari kaedah pengurusan dan koordinasi pasukan penyelamat apabila melaksanakan operasi di peringkat antarabangsa.
Penglibatan ini telah menzahirkan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan kolektif pengurusan bencana serta kerjasama dan jalinan hubungan baik antara pasukan penyelamat di peringkat asia pasifik mahupun peringkat antarabangsa. Di samping itu, penyertaan wakil daripada Malaysia ini juga seiring dengan keperluan Pasukan SMART yang akan memperbaharui pensijilan standard antarabangsa INSARAG pada tahun 2026.
34th International Conference of the Red Cross and Red Crescent (ICRCRC)
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
34th International Conference of the Red Cross and Red Crescent (ICRCRC) | 28 hingga 31 Oktober 2024 | Geneva International Conference Center (CICG), Switzerland
Persidangan ini telah dianjurkan oleh pihak International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) dan International Committee of the Red Cross (ICRC).
Delegasi daripada pihak Kerajaan Malaysia telah diketuai oleh YBhg. Dato’ Nadzirah binti Osman, Ambassador and Permanent Representative, Permanent Mission of Malaysia to the United Nations (UN), Geneva, Switzerland manakala delegasi daripada pihak Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) diketuai oleh YM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, Pengerusi Kebangsaan BSMM yang merupakan Pengerusi bagi persidangan ICRCRC ini.
Delegasi daripada pihak Kerajaan Malaysia terdiri daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah diwakili oleh YBrs. Encik Hussain bin Moh, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Pasca Bencana selaku Ketua Delegasi Ganti, wakil daripada Jabatan Peguam Negara dan Permanent Mission of Malaysia to the UN, Geneva. Persidangan ini telah diadakan setiap empat (4) tahun sekali bagi mengumpulkan 196 buah Negara Pihak kepada Konvensyen 1949. Tema persidangan pada tahun ini ialah “Navigate Uncertainty, Strengthen Humanity”.
INSARAG Asia Pacific (AP) Regional Meeting 2024 | 28 & 29 Oktober 2024 | Islamabad, Pakistan
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh En Addyhanis bin Ahamad, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi NADMA bersama PgKB I Mohd Khairul bin Jamil, Komander Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta 2 orang pegawai SMART, DSP Safrizan bin Suhaini dan PgKB II Mohamad Hafiezul Abdul Halim.
Mesyuarat kali ini telah meneliti 8 tema perbincangan berkait kepimpinan dan tadbir urus serta global strategy 2025-2030 bagi memastikan rantau AP kekal bersedia dan utuh mendepani cabaran berkaitan bencana. Selain itu, semasa sesi perbincangan INSARAG Strategic Plan 2021-2026 berlangsung, DSP Safrizan Suhaini telah diberi tanggungjawab selaku moderator bagi tajuk Quality Standard manakala PgKB II Mohamad Hafiezul Abdul Halim selaku note taker bagi tajuk Flexible Response.
Nama Malaysia dan Pasukan SMART telah disebut secara khusus mendapat pujian semasa mesyuarat ini atas kecemerlangan dan kepimpinan yang ditunjukkan dalam AP Earthquake Response Exercise yang telah diadakan di Lahore pada 24 hingga 26 Oktober lalu.
Sehubungan dengan itu, keterampilan pegawai dan kepimpinan Pasukan SMART ketika latihan tersebut berlangsung telah dijadikan contoh agar semua negara di rantau AP bersedia sekiranya diangkat selaku USAR Coordination Officer dalam mana-mana operasi yang dihadiri. NADMA yang tidak lagi asing dalam komuniti INSARAG AP diharapkan agar terus memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti dan kecemerlangan INSARAG rantau AP agar setanding dengan rantau Eropah.