KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 11.15 malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam memaklumkan gempa bumi itu berpusat pada koordinat enam darjah selatan dan 102.4 darjah timur dengan kedalaman 78 kilometer (km).
Menurut kenyataan itu, lokasi berkenaan terletak pada jarak 239 km barat daya dari Pagar Alam, Indonesia. Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menutup akses ke sebuah taman negara di Pulau Jawa ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang telah berlaku selama hampir seminggu.
Kebakaran itu telah memusnahkan kawasan seluas 176 hektar sejak tercetus pada Isnin di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, berhampiran destinasi pelancongan popular Gunung Bromo di Jawa Timur, kata seorang pegawai bencana.
Pihak berkuasa melarang kemasukan pelawat mulai lewat Sabtu sehingga diberitahu kelak.
Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan, kata jurucakap Agensi Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari.
Dua helikopter pengebom air telah dikerahkan untuk memadam kebakaran di kawasan yang sukar dimasuki anggota bomba berikutan cerun curam dan angin kencang, katanya dalam kenyataan pada Ahad.
“Keadaan ini menjadikan operasi udara penting untuk mencapai kawasan yang tidak dapat diakses dengan sempurna melalui jalan darat,” kata pegawai itu.
Indonesia dijangka mengalami musim kering yang lebih sengit dan berpanjangan tahun ini, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan serta kemarau, sebahagiannya disebabkan fenomena cuaca El Nino, menurut agensi cuaca BMKG.
Lebih 107,000 hektar kawasan di Indonesia terbakar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu lebih dua kali ganda keluasan kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan pada 2023.
El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan pada angin, tekanan udara dan corak taburan hujan di seluruh dunia. Fenomena itu biasanya menyebabkan keadaan lebih kering di Asia Tenggara dan India. – AFP
PETALING JAYA – Cuaca panas yang dirasai penduduk sekitar Klang semalam berubah dalam tempoh tidak sampai 24 jam apabila beberapa kawasan dilanda hujan lebat berserta angin kencang hari ini.
Perubahan cuaca secara mendadak itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang sebelum ini mengeluh mengenai bahang panas di daerah berkenaan.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang pengguna @_whosdeejis memuat naik rakaman menikmati makanan bersama beberapa individu di sebuah premis makan.
Bagaimanapun, suasana bertukar kecoh apabila angin kencang melanda kawasan itu menyebabkan mereka terpaksa memegang payung besar bagi mengelak daripada diterbangkan angin.
“Siapa yang marah Klang panas semalam? hari ini dah ribut,” tulisnya berseloroh.
Rakaman itu meraih lebih 12,000 tontonan setakat petang ini selain mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna yang turut berkongsi cuaca terkini di sekitar Klang.
Bagaimanapun seorang pengguna, @whoistyr4 berkata, cuaca hujan lebat itu hanya berlaku dalam tempoh singkat sebelum kembali panas.
“Kejap sahaja ribut, selepas itu panas semula,” katanya.
Sementara itu, @zaty.la berkata, hujan lebat itu dianggap satu rahmat kerana dia tidak perlu menyiram pokok hari ini.
“Tak lama (kejadian) ribut dan hujan lebat, selepas itu panas terik. Jimat masa tak perlu siram pokok hari ini sebab tadi hujan lebat,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @lizaliez_ memberitahu, angin kuat berserta hujan turut dirasai di sekitar Kampung Jawa, Klang.
“Memang angin kuat tadi siap (sekali) hujan, alhamdulillah buat ‘rasa-rasa’ kawasan Kampung Jawa, Klang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Gunung Bromo ditutup sepenuhnya kepada pelancong susulan kebakaran hutan makin merebak
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: Indonesia menutup semua akses ke Gunung Bromo kepada pengunjung serta menghentikan aktiviti pelancongan sehingga diberitahu kelak susulan kebakaran hutan yang terus merebak di kawasan Kaldera Bromo, Jawa Timur.
Pengurusan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS) memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa pada 10 malam Sabtu bagi memudahkan operasi pemadaman serta memastikan keselamatan pengunjung.
Penutupan itu membabitkan pintu masuk di Cemorolawang, Kabupaten Probolinggo; Wonokitri, Kabupaten Pasuruan; Jemplang dan Coban Trisula, Kabupaten Malang; serta Senduro, Kabupaten Lumajang.
"Bagi pengunjung yang sudah membeli tiket masuk menerusi aplikasi tempahan dalam talian untuk lawatan sepanjang tempoh penutupan, mereka akan diberi pilihan untuk menjadualkan semula lawatan atau mendapatkan bayaran balik," menurut pihak pengurusan dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, kebakaran hutan sejak Isnin lalu, memusnahkan kawasan dianggarkan seluas 176.20 hektar di Kabupaten Probolinggo dan Malang.
"Satu titik panas masih mengeluarkan asap setakat malam Sabtu, manakala pasukan terus memantau keadaan ketika angin bertiup sederhana," katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini.
Beliau berkata, dua helikopter yang masing-masing mampu membawa 1,000 liter air dikerahkan bagi membantu operasi pemadaman.
Selain itu, Abdul Muhari berkata, kebakaran hutan dan tanah membabitkan kawasan dianggarkan seluas 30 hektar di Resort Sembalun, Taman Nasional Gunung Rinjani di Kabupaten Lombok Timur berjaya dikawal kira-kira jam 1.30 pagi semalam selepas tercetus sekitar 8 malam kelmarin.
Punca kebakaran di Bromo dan Rinjani masih dalam siasatan.
– BERNAMA
KUCHING, 8 Ogos: Sebanyak 19 kawasan di Sarawak dijangka terjejas akibat jerebu rentas sempadan dalam tempoh beberapa hari akan datang susulan pergerakan angin yang membawa asap dari negara jiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya kini memantau rapat perkembangan situasi jerebu susulan laporan pergerakan asap jerebu terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.
“Berdasarkan penilaian terkini, jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari akan datang, bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Antara kawasan dikenal pasti ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata keadaan kualiti udara dijangka merosot di beberapa kawasan dengan kepekatan partikel terampai, PM2.5 pada tahap tidak sihat diramalkan berlaku di Miri dan Serian hari ini, diikuti Betong pada 9 Ogos.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini serta mengikuti nasihat rasmi pihak berkuasa.
Beliau turut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti di luar, khususnya aktiviti fizikal lasak apabila kualiti udara merosot di samping memastikan pintu dan tingkap ditutup ketika tahap jerebu tinggi.
“Golongan kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan jgua dinasihatkan untuk memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar dan memastikan pengambilan air sentiasa mencukupi,” katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam yang melihat sebarang aktiviti pembakaran terbuka diminta melaporkannya kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menerusi talian 082-447 488 atau 082-319 500.
“JPBN menegaskan bahawa pihaknya bersama MetMalaysia, NREB, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan menyelaras tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kesihatan awam terus terpelihara.
“Orang ramai juga dinasihatkan kekal tenang, mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat terkini hanya menerusi saluran rasmi,” ujarnya. – TVS
