PUTRAJAYA - Malaysia telah berpeluang belajar pelbagai aspek pengurusan bencana daripada negara ASEAN termasuk China, Jepun dan Korea, menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 yang diadakan di Brunei, bermula semalam hingga esok (25 Oktober).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai perkongsian daripada negara-negara berkenaan, amat bermanfaat kepada Malaysia walaupun negara tidak berhadapan dengan bencana besar seperti gempa bumi.
"Kita harus pelajari tentang pengurusan untuk menangani bencana terutamanya daripada Jepun dan China yang sering mengalami bencana sama ada banjir, salji, pergerakan cerun dan malapetaka alam yang lain.
"Ini yang harus kita pelajari bagi melengkapkan dari segi kesiapsiagaan (ini penting),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pengalaman daripada negara-negara berkenaan juga, memberi kesedaran kepada Malaysia bahawa tidak hanya kudrat manusia diperlukan semasa bencana sebaliknya memerlukan peralatan moden, teknologi baharu serta sistem amaran awal.
"Kita telah laksanakan (peralatan moden, teknologi baharu serta sistem amaran awal) tetapi mereka lebih maju daripada kita,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut komited untuk mencontohi negara-negara berkenaan yang bersiap sedia lebih awal dan kemas, apabila ditimpa bencana.
Beliau turut berkongsi mengenai komitmen yang ditunjukkan oleh negara ASEAN, apabila Malaysia menawarkan untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk.
"Semua negara ASEAN telah memperlihatkan komitmen masing-masing terhadap tawaran ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengenal pasti sekolah yang bersesuaian, untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan kekal bagi menggantikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan digunakan ketika bencana.
"Nadma telah bekerjasama dengan pihak sekolah dan telah kenal pasti sekolah yang sering dijadikan PPS, untuk kita wujudkan pusat pemindahan kekal yang dilengkapi kemudahan bilik air, tandas dan tempat penginapan yang lebih selesa berbanding PPS,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu adalah sebagai memanfaatkan sebahagian peruntukan yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober.
"Sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan kepada Nadma dan tentunya Perdana Menteri mengharapkan pelbagai langkah produktif dilakukan, bukan sahaja oleh Nadma yang merupakan badan koordinasi menangani bencana tetapi melibatkan penyertaan Jawatankuasa Bencana Negeri dan peringkat daerah,” katanya.
Dengan peruntukan itu juga, beliau berkata, Nadma akan meningkatkan jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk beberapa persatuan radio amatur serta persatuan kenderaan pacuan empat roda.
"Ini penting terutama apabila sistem telekomunikasi terputus kerana sebelum ini kita guna GERN (rangkaian radio bersepadu kerajaan), tetapi kali ini kita akan kerjasama dengan persatuan-persatuan ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk khidmat sukarelawan,” katanya.
Ahmad Zahid kini berada di Brunei bagi mewakili Malaysia pada AMMDM yang bertemakan ‘Membangunkan ASEAN yang Berdaya Tahan melalui Pemulihan Bencana yang Inklusif dan Mampan’, yang menekankan kepentingan usaha bersama dalam menghadapi peningkatan kekerapan dan kesan bencana alam. - Bernama
SHAH ALAM: Laporan penuh kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, Hulu Klang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau masih meneliti dapatan laporan berhubung punca bencana itu sebelum dibentang dan dibincangkan untuk tindakan lanjut MTES.
“Laporan itu sudah diterima dan akan dimaklumkan kepada MTES... sekarang saya nak teliti dahulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiga khemah khas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata kawasan kejadian disahkan selamat dan penduduk terkesan serta dipindahkan sementara juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menjalankan siasatan terperinci di kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati sebelum laporan penuh berhubung kejadian dikeluarkan.
Dalam kejadian 15 Okt lepas, polis terpaksa mengarahkan penduduk di 20 rumah berhampiran berpindah dari kediaman mereka ke pusat pemindahan sementara atas faktor keselamatan susulan kejadian tanah runtuh itu.
Mengenai sumbangan khemah PKTK, Amirudin berkata kemudahan disediakan menerusi Dana Selangor Prihatin itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan menangani bencana di negeri itu, khususnya menjelang musim Monsun Timur Laut yang bakal tiba.
Beliau berkata khemah bernilai RM300,000 dan dilengkapi teknologi terkini itu akan berfungsi sebagai pusat koordinasi yang efisien dalam operasi mencari dan menyelamat, serta membantu dalam penyelarasan logistik dan komunikasi di kawasan bencana.
“Penyerahan khemah ini satu daripada langkah proaktif kerajaan negeri untuk memastikan agensi keselamatan mempunyai peralatan dan sumber keperluan asas mencukupi bagi menghadapi situasi bencana selaras arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memandang serius ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa negeri itu dijangka menerima hujan lebat bermula November 2024 hingga Februari 2025.
Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kesemua fasiliti kini berada dalam keadaan siap sedia membabitkan kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, genset dan peralatan-lain berada dalam keadaan siap sedia untuk digunakan.
Menurutnya, sebanyak 19,619 kemudahan berkenaan disediakan berbanding 17,147 tahun lalu.
"Sebanyak 459 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti dapat menampung lebih 186,440 mangsa berbanding hanya 214 PPS tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, sebanyak 17 stor bencana dan lebih 160 pangkalan hadapan di seluruh negeri juga sudah disediakan dan diurus oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menyediakan 108 stesen telemetri hujan dan aras air, 59 siren amaran banjir, 117 buah tolok arus dan lima kamera video.
Tambahnya, turut disediakan ialah 137 pam bergerak selain sebuah empangan pertanian dan empat kolam takungan pemantauan.
"Seramai 7,209 petugas daripada semua anggota keselamatan dan 10 agensi lain bersedia untuk digerakkan. Jumlah tersebut juga telah ditambah berbanding 7,147 orang tahun lalu," katanya.
Beliau turut menggesa semua rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Jika amaran banjir dikeluarkan, segera berpindah ke PPS yang telah dikenal pasti atau ke tempat yang lebih selamat.
"Pastikan tempat menyimpan dokumen penting, ubat-ubatan, dan barangan keperluan asas disimpan dan mudah dicapai.
"Elak daripada cuba menyeberangi jalan yang ditenggelami airf dan sentiasa ikut perkembangan cuaca serta maklumat terkini daripada saluran rasmi," katanya.
KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengambil alih pengurusan bencana dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri jika bencana itu berada pada tahap III.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengurusan bencana tahap III ialah pengendalian bencana yang berlaku lebih daripada satu negeri atau bersifat kompleks di suatu kawasan, sehingga memerlukan penyelarasan dan penggemblengan sumber di peringkat pusat atau dengan bantuan dari luar negara.
Katanya, mekanisme pengurusan bencana itu dikuatkuasakan melalui dasar baharu iaitu arahan NADMA Nombor 1 yang ditambahbaik daripada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 sejak Ogos lalu.
"Di dalam arahan itu, ia tidak hanya spesifik kepada pengurusan dan pengendalian bencana banjir sahaja, malah kepada keseluruhan jenis insiden bencana yang pernah berlaku di negara kita.
"Namun sekiranya sesuatu bencana membabitkan lebih daripada satu negeri, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat negeri masing-masing, ia masih lagi boleh dianggap sebagai bencana tahap II," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan arahan NADMA Nombor 1 akan menjadi panduan utama dalam pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko dan impak bencana di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata menerusi arahan itu, kerajaan menekankan strategi pengurusan risiko yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Pada masa sama, Khairul Shahril berkata pengurusan bencana tahap I ialah pengendalian bencana yang berlaku di sesuatu kawasan dan ia dapat ditangani dengan berkesan oleh agensi terbabit di dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, yang memerlukan penggemblengan sumber di peringkat daerah dengan bantuan terhad daripada peringkat negeri dan Pusat.
Katanya, sementara pengurusan bencana tahap II pula ialah pengendalian kejadian bencana yang berlaku lebih daripada satu daerah di negeri sama atau berlaku di suatu kawasan yang memerlukan penggemblengan
sumber di peringkat negeri dengan bantuan terhad daripada peringkat Pusat.
"Namun, sekiranya sesuatu bencana membabitkan lebih daripada satu daerah, tetapi masih mampu diuruskan di peringkat daerah, ia masih lagi boleh dianggap sebagai bencana tahap I.
"Walaupun NADMA tidak terbabit secara langsung untuk pengurusan bencana tahap I dan tahap II, kita masih menyelaras dari segi penggemblengan aset dan juga tenaga kerja yang membabitkan agensi kerajaan Pusat," katanya.
Mengulas mengenai jangkaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) seawal minggu keempat bulan ini, Khairul Shahril berkata, persediaan NADMA adalah berada dalam posisi terbaik.
Katanya, dalam memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum, NADMA sentiasa mengadakan latihan amal sepanjang tahun membabitkan agensi tindak balas, pengurus bencana serta badan bukan kerajaan (NGO).
"Kejadian bencana atau banjir sememangnya kita tidak boleh membuat jangkaan namun persediaan dalam menghadapi dan menguruskan bencana itu harus berada di tahap terbaik.
"Dalam aspek ini bagi memastikan semua agensi tindak balas dan pihak terbabit dalam pengurusan bencana di pelbagai peringkat, bersedia untuk memainkan peranan masing-masing apabila berlaku bencana.
"Perkara ini penting supaya semua yang terbabit ada pengalaman dalam mengendalikan sesuatu operasi bencana," katanya.
Sebelum ini,Ahmad Zahid menyatakan MTL dijangka bermula seawal minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November.
Khairul Shahril berkata pemantauan mengenai sebarang kebarangkalian berlaku bencana juga sentiasa dilaksanakan secara bersama dengan Sekretariat Bencana Daerah dan Negeri.
Katanya, bagi agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) pula akan membuat pemantauan pada cerun yang kritikal dan berisiko.
"Selain itu, NADMA juga melaksanakan program kesedaran awam Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dengan pelbagai sesi libat urus dijalankan bersama komuniti setempat terutama kepada penduduk yang tinggal di kawasan banjir.
"Ini bagi mempersiapkan mereka supaya mampu untuk bertindak tanpa menunggu bantuan dari agensi tindak balas ketika berlaku banjir," katanya.
Khairul Shahril meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Sentiasa peka dan patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya perlu untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara. Utamakan keselamatan, lindungi diri dan orang tersayang," katanya.