PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 jadi rujukan utama - NADMA

PUTRAJAYA: Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 bakal menjadi rujukan utama dalam menyediakan panduan pengurusan risiko bencana di peringkat nasional, tempatan serta merentasi sektor secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, dasar berkenaan menggariskan empat prinsip, lima teras strategik, enam sasaran utama dan tindakan untuk diguna pakai pihak berkepentingan.
 
Dasar yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Okt itu boleh diguna pakai antaranya oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan masyarakat sebagai panduan serta rujukan utama supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan serta berkesan.
 
"Matlamat utama dasar ini menjadikan Malaysia sebuah negara selamat dan berdaya tahan bencana dengan mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana yang komprehensif dan inklusif ke arah kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang mampan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 digubal selari dengan instrumen global iaitu Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.
 
"Ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memenuhi agenda global untuk mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana dan sekali gus membentuk Malaysia yang selamat dan berdaya tahan bencana melalui pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas dan pembinaan semula.
"Dasar ini juga menerapkan aplikasi sains dan teknologi kerana ia amat penting dalam menyokong proses membuat keputusan," katanya.
Khairul Shahril berharap semua pihak berkepentingan merangka Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana peringkat masing-masing dengan memperincikan aktiviti yang akan dilaksanakan, anggaran belanjawan dan sasaran khusus berdasarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
"Pelan tindakan ini harus disemak semula dan dikemas kini secara berkala untuk memantau kemajuan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.
"Platform Nasional Pengurangan Risiko Bencana (MyDRR) akan menjadi medium untuk semua pihak berkepentingan melaporkan aktiviti DRR mengikut skop dan tanggungjawab masing-masing," katanya. - BERNAMA

Kerajaan Negeri Sembilan siap siaga bencana banjir

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh yang diramalkan berlaku pada bulan depan berikutan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka lebih awal.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim telah mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi lain bagi mendapatkan maklumat berkaitan dan persiapan menghadapi bencana itu.

 

 "Saya dimaklumkan bahawa pihak SUK telah bersedia, Mohd Zafir sebagai Pengerusi Bencana Negeri telah bermesyuarat mengenai persiapan menghadapi banjir dan apa juga berlaku kita harus bersedia dari sekarang.
 
"Agensi bersama perlu digerakkan dengan penyediaan maklumat yang perlu dikongsikan bagi memudahkan semua pihak. Kita juga telah minta supaya bilik gerakan dapat digerakkan dengan segera apabila diperlukan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pasca Mesyuarat Exco di sini semalam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin dilaporkan meminta masyarakat berwaspada dan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir kerana MTL dijangka lebih awal iaitu minggu keempat bulan ini susulan perubahan cuaca.
 
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Jabatan Pengairan Dan Saliran telah mengenal pasti kawasan berisiko khususnya banjir termenung dan mobilisasi melalui kerjasama jawatankuasa bencana negeri dan daerah perlu dilaksanakan.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap peruntukan lebih tinggi dapat diberikan kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan nanti.
Beliau berkata ini kerana tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah memberikan infrastruktur yang lebih baik kepada rakyat, sekali gus mempercepatkan proses pembangunan seperti yang dirancang bersama kerajaan negeri dan Persekutuan.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini.
-- BERNAMA

Monsun Timur Laut: 660 PPS di seluruh Sarawak sedia digunakan - Uggah

KUCHING: Sebanyak 660 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak yang boleh menempatkan seramai 160,719 mangsa bencana siap sedia untuk digunakan dan dibuka pada bila-bila masa bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata MTL dijangka bermula pada awal bulan depan hingga Mac 2025.
 
Justeru, katanya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sentiasa bersedia menghadapi musim MTL dengan kekuatan 9,817 sumber manusia dibantu 295 aset darat, 211 aset laut atau sungai, 20 aset udara dan 269 aset sokongan lain.
 
Unggah, yang juga Pengerusi JPBNS, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia dengan bekalan bantuan bencana dalam memastikan kapasiti mencukupi di semua depoh simpnanan, setor pejabat dan di pangkalan hadapan.
Beliau berkata, semasa MTL, hujan berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan juga kawasan yang kerap berlaku banjir.
 
"Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, kejadian banjir akan menjadi lebih buruk," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Katanya, menurut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan lebat bagi Sarawak dijangka akan bermula pada Disember 2024 hingga Februari 2025 dan dijangka mengalami taburan hujan paling tinggi pada bulan Januari 2025.
"Selain itu, Residen Bahagian dan Pegawai Daerah turut diarahkan agar bilik gerakan banjir di semua bahagian dan daerah dapat diaktifkan pada bila-bila masa diperlukan bagi memastikan respons yang cekap dan efisien diberikan kepada masyarakat dalam menghadapi situasi banjir," katanya.
Beliau meminta masyarakat perlu membuat persediaan awal sekiranya diarahkan untuk berpindah ke tempat yang selamat semasa berlaku kejadian bencana dan menyimpan semua dokumen penting dengan selamat daripada hilang dan musnah akibat bencana. - BERNAMA

Penduduk Ijok letih hadap banjir setiap tahun, rugi ribuan ringgit

KUALA SELANGOR – Masalah banjir yang tidak pernah selesai sejak sedekad lalu membuatkan penduduk Kampung Batu 7, Ijok di sini berasa lelah dan mahu tindakan segera dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ini ditambah dengan kerosakan perabot dan barangan elektronik yang mencecah ribuan ringgit setiap kali berlakunya fenomena itu.

Seorang penduduk, Mohd. Rozi Basir,45, mengakui berasa bimbang setiap kali hujan lebat susulan rumahnya yang berada di kawasan tanah rendah kampung tersebut.

“Keadaan banjir bukan sahaja disebabkan hujan di daerah ini tetapi turut disebabkan limpahan air dari Hulu Selangor sekiranya berlaku situasi sama di situ,” katanya ketika ditemui pada program gotong-royong penduduk kampung yang diketuai Ketua Kampung (Persekutuan), Mohd. Afandy Dahlan.

Seorang warga emas, Abdul Rahim Miswandi, 66, berkata, kudrat sudah tidak berdaya untuk membersihkan rumah akibat banjir yang disifatkan sebagai ‘sambutan’ wajib setiap tahun.

Justeru, dia berharap agar ada solusi terbaik bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa banjir terutama pada Monsun Timur Laut nanti.

Sementara itu, Norlida Ghani,60, memaklumkan banyak perabot dan barangan lain rosak selepas rumahnya dimasuki air setinggi satu meter. – KOSMO! ONLINE

Tabika Kemas siap sedia hadapi musim tengkujuh di Terengganu

Kuala Terengganu: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sudah mengeluarkan arahan dan garis panduan kepada kakitangan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarah Kemas Terengganu Dr Faridah Mat berkata, kelas-kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) antara paling terkesan apabila berlaku banjir.

Menurutnya, dianggarkan antara 100 hingga 125 kelas Tabika Kemas mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir hingga menjejaskan antara 2,500 hingga 3,125 murid pada MTL, tahun lalu.

Katanya, Tabika Kemas yang sering terjejas akibat banjir di Terengganu adalah di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.

"Ia membabitkan kawasan-kawasan pedalaman yang sering dilanda banjir besar hingga ada tabika yang hanya kelihatan bumbung sahaja akibat ditenggelami air.

 "Justeru, kita meminta semua guru dan kakitangan Kemas terutama di kawasan berisiko membuat persiapan awal dengan mengalihkan dokumen penting, barangan elektrik dan berharga ke tempat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan BGL Kemas Negeri Terengganu, di Kalang Warisan, Pulau Manis, Serada, di sini, hari ini.

Menurutnya, terdapat sebanyak 856 tabika dengan bilangan kanak-kanak seramai 18,000 orang di negeri ini.

"Ada tabika yang mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir dan ia akan dibaiki bagi menjamin pembelajaran kanak-kanak tidak terjejas.

"Justeru, persiapan awal sudah dilakukan bagi mengurangkan impak kerosakan terhadap dokumen dan peralatan yang digunakan dalam sesi pembelajaran," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search