PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

NAS berupaya jana ekonomi RM2 bilion, cipta 2,000 pekerjaan - Fahmi

KUALA LUMPUR: Sistem Alamat Nasional (NAS) berpotensi menjana limpahan ekonomi sebanyak RM2 bilion dan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata NAS yang sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertujuan memastikan setiap alamat di Malaysia dapat dikenal pasti dan ditetapkan secara sahih menggunakan piawaian tepat, selain dimanfaatkan oleh pelbagai agensi, perkhidmatan dan perniagaan.

“Walaupun Malaysia dianggarkan mempunyai sekitar 12 juta alamat, tiada satu pun entiti yang mempunyai liputan data alamat secara menyeluruh. Kebanyakan agensi penyimpan data pula memiliki maklumat yang tidak berpiawai, tidak sahih dan tidak berpusat,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata pelaksanaan NAS diyakini akan membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, antaranya mempercepat dan memperkemas tindak balas kecemasan dalam situasi seperti banjir atau kebakaran, apabila pasukan penyelamat dapat mengenal pasti lokasi mangsa dengan lebih tepat.

“NAS juga akan memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier. Dengan penggunaan alamat dan koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilakukan dengan lebih pantas, cekap dan mengurangkan risiko kesilapan,” katanya.

Fahmi berkata NAS bukan sekadar menyelesaikan cabaran sedia ada, malah dijangka memberi impak sosioekonomi yang besar melalui peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan dan pengukuhan daya saing negara.

“NAS ialah sistem alamat yang autoritatif, berpiawai dan berpusat, disusun mengikut piawaian Jabatan Standard Malaysia. Setiap alamat akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik bagi menjamin keseragaman, ketepatan serta keserasian data,” katanya.

Beliau berkata sistem ini akan membantu agensi dan jabatan kerajaan mengurangkan pertindihan maklumat serta memudahkan pengesahan alamat, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

“Walaupun anggaran semasa adalah 12 juta alamat, jumlah itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Fahmi turut menjelaskan bahawa ketiadaan data alamat yang berpusat dan menyeluruh ketika ini menjejaskan kemajuan negara dalam membangunkan ekosistem digital yang kompetitif.

“Ia memberi kesan ketara terhadap urusan harian, termasuk penghantaran yang tertangguh atau tidak sampai, kelewatan tindak balas kecemasan, cabaran dalam perancangan utiliti dan infrastruktur, serta halangan kepada pertumbuhan sektor e-dagang dan kurier,” katanya.

Menurut beliau, NAS turut dikenal pasti sebagai ‘Needle Mover’ di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan pendigitalan.

 

Program Kampung Siaga perkukuh daya tahan komuniti luar bandar tangani bencana

SPAOH, 17 Julai: Penganjuran Program Program Kampung Siaga 221: “Komuniti Berdaya Tahan Bencana” merupakan salah satu inisiatif berterusan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti luar bandar menghadapi pelbagai risiko bencana.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri berkata, program tersebut memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kecekapan masyarakat luar bandar melalui pelbagai pendekatan seperti latihan lapangan, ceramah serta simulasi bencana.

“Melalui pendekatan latihan lapangan, sesi ceramah, dan simulasi, program ini dirangka untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk kampung, memperkasakan pengetahuan serta kemahiran dalam menghadapi sebarang bentuk kecemasan.

“Di samping itu, dalam masa sama ianya juga sebagai salah satu platform dalam merapatkan hubungan dua hala antara agensi keselamatan dengan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penangguhan Penangguhan Program Kampung Siaga 221: “Komuniti Berdaya Tahan Bencana” anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong di Rumah Panjang Lawrence Ludan, Luban Ulu, Spaoh pada Khamis.

Sebagai Ahli Parlimen Betong tambahnya, adalah menjadi harapan beliau agar program seumpamanya diadakan secara berterusan di Betong sebagai wadah penting dalam menyemai budaya kesiapsiagaan di peringkat akar umbi.

“Semoga program seumpama ini menjadi platform penting dan berterusan dalam menyemai budaya kesiapsiagaan di peringkat akar umbi.

“Sejajar dengan prinsip keselamatan awam yang inklusif, responsif dan menyeluruh. Komuniti yang kuat adalah komuniti yang sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan terburuk dengan ilmu, latihan dan semangat perpaduan.

“Keselamatan bermula dari akar umbi. Bersedia hari ini, selamat masa hadapan,” ujar beliau.

Turut hadir, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim, Pegawai APM Daerah Betong Kapt. (PA) Siti Huzaimah Ibrahim serta yang lain.-TVS

Paras air Kolam Bukit Merah menyusut, pesawah rayu jadual bekalan air disemak semula

BAGAN SERAI – Keadaan semasa di Empangan Kolam Bukit Merah di sini terus membimbangkan apabila paras air dilaporkan menyusut dengan ketara susulan cuaca kering berpanjangan yang melanda sejak Mei lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis di Kampung Selamat, Semanggol mendapati permukaan air kolam semakin surut sehingga menampakkan dasar yang retak dan merekah.

Cuaca panas tanpa hujan konsisten sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadikan kawasan sekitar empangan tersebut kelihatan tandus dan membeku.

 

Menurut makluman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Kolam Bukit Merah kini telah berada pada Aras Kritikal Pengairan Tahap 2.

Paras air semasa mencatat bacaan di bawah 23.00 kaki, iaitu tahap yang mewajibkan pelaksanaan langkah pencatuan bekalan air ke kawasan sawah padi secara serta-merta.

Semua pesawah diminta merujuk kepada ketua unit masing-masing bagi mendapatkan jadual terkini berkaitan giliran pembekalan air, bagi memastikan sumber air yang terhad dapat diagihkan secara adil dan cekap ke semua kawasan pertanian terlibat.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Beriah, Mohd Zaini Saarani berkata, rata-rata petani meluahkan keresahan mereka terhadap situasi semasa yang kini mengancam kelangsungan hidup, terutama selepas mengalami beberapa musim kegagalan hasil padi sebelum ini.

Katanya, kawasan perairan mereka kini telah mengalami enam musim berturut-turut tanpa hasil padi yang memuaskan akibat kekurangan bekalan air.

“Sekarang sudah masuk 50 hari padi kami ditanam, tetapi masih terbantut. Biasanya kalau cukup air, waktu seperti ini padi sudah mula berbuah. Sekarang tengoklah, rumput pun naik semula. Padi langsung tak beranak,” katanya.
 

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila kawasan mereka sering menjadi penerima terakhir dalam jadual pengagihan air, menyebabkan kebanyakan air tidak sempat sampai ke sawah.

“Air bukannya tidak dibuka, tetapi apabila sampai, gelung pun belum tenggelam. Maksudnya air itu memang tak sampai ke bendang kami,” jelasnya.

Mohd Zaini turut merayu kepada pihak berwajib agar menyemak semula jadual pelepasan air antara kawasan Semanggol dan kampungnya, dan mencadangkan agar tempoh giliran itu dilanjutkan dari 14 hari kepada sebulan.

“Saya mohon kerajaan semak semula jadual itu. Berilah keutamaan kepada kawasan yang sudah lama tidak mendapat hasil. Kami sudah tidak mampu menanggung kerugian musim demi musim,” katanya.

Empangan Bukit Merah kering, nelayan sungai dan petani terkesan

BAGAN SERAI: Empangan Bukit Merah di sini, mengalami kekeringan akibat kemarau susulan kekurangan hujan di kawasan tadahannya sejak beberapa bulan lalu.

Paras air surut menyulitkan kehidupan nelayan sungai yang selama ini menjadikan empangan tempat mencari rezeki apabila sampan digunakan terkandas di kawasan kering.

Petani sekitar yang selama ini bergantung kepada empangan terbabit sebagai sumber bekalan air untuk kawasan sawah masing-masing turut berdepan masalah apabila tumbesaran padi terbantut.

Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Beriah, Mohd Zaini Saarani, mendakwa, sudah enam musim petani di kawasan terbabit berdepan masalah bekalan air hingga menyebabkan mereka sering kerugian.

"Jika dilihat tumbesaran anak padi di sini, keadaannya seperti baru berusia dua minggu sedangkan hakikatnya sudah lebih 55 hari. Jika diikutkan usianya, padi sepatutnya sudah mulai bunting tetapi keadaan itu kini terganggu.

"Dari mula menabur benih sehingga hari ini, kawasan sawah kami hanya dua kali menerima hujan, manakala air dalam parit masuk ke sini pula tiada kerana Empangan Bukit Merah turut kering," katanya.

Mohd Zaini berkata, pelbagai usaha dibuat petani termasuk menggunakan pam bergerak, namun bekalan air masih tidak memadai.

"Puluhan pam bergerak kami guna selain pam dibekalkan agensi berkaitan, namun masih tidak mencukupi. Air dalam parit juga kering, mana lagi kami nak cari bekalan air.

"Jika keadaan ini berterusan, kami mungkin menanggung kerugian lagi musim ini. Walaupun ada bantuan bencana daripada kerajaan, ia tidak boleh menampung pelbagai kos yang kami keluarkan dari mula penanaman padi," katanya.

Mahu tukar tanam sawit

Pesawah, Mat Noor Mat Isa, 61, berkata sekiranya tiada tindakan penyelesaian dari pihak berkuasa, mereka mungkin menukar tanaman padi diusahakan selama ini kepada tanaman kelapa dan sawit.

"Jika dulu kami mampu peroleh purata 3.5 tan padi bagi sehektar sawah, sekarang nak dapat 500 kilogram pun belum pasti.

"Sekarang kos mengusahakan sawah padi semakin tinggi, dari kos beli benih, racun, upah dan kos jentera, kami tidak mampu lagi terus menanggung kerugian setiap musim," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyegerakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah atau membina sebuah lagi empangan baharu di sini bagi menampung keperluan sawah padi.

 

Bomba puji tindakan berani penduduk bantu padam kebakaran elak api merebak

PUTRAJAYA - Tindakan pantas penduduk membantu memadam kebakaran dalam bilik sebuah unit kediaman kuarters kerajaan di Presint 11 di sini berjaya mengelakkan api daripada terus merebak pada Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 dan BBP Presint 14 dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 3.37 petang.

Menurutnya, pasukan operasi yang tiba mendapati berlaku kebakaran rak baju di dalam bilik.

"Api tersebut telah cuba dipadamkan oleh penghuni bangunan menggunakan sistem 'riser' yang terdapat di bangunan sebagai langkah awal sebelum ketibaan bomba.

 

"Tindakan ini sangat berani, sangat praktikal yang mana ia boleh mengurangkan kebakaran merebak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan dalam insiden ini.

Tambahnya, anggota operasi telah melaksanakan pemadaman dan pencegahan sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.49 petang," ujarnya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search