PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Program dan Aktiviti

RMK13: Keluasan tanah, sumber air Sarawak pacu pertanian skala besar

KUCHING, 5 Ogos: Keluasan tanah yang sebahagian besarnya masih belum diterokai, sumber air semula jadi melalui jaringan sungai serta taburan hujan sekata sepanjang tahun menjadikan Sarawak lokasi berpotensi tinggi untuk pertanian berskala besar.

Pengarah Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Prof Dr Shahrul Razid Sarbini berkata faktor itu meletakkan negeri berkenaan di kedudukan baik untuk membangunkan pertanian berskala besar berbanding negeri-negeri lain.

Beliau berkata sokongan polisi serta agenda daripada kerajaan negeri melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang meletakkan pertanian dan sekuriti makanan sebagai satu daripada tonggak utama juga mampu menjayakan inisiatif berkenaan.

“Sarawak juga berada di lokasi strategik di Borneo. Ini membolehkan produk dan hasil pertanian dieksport terus ke Brunei dan Kalimantan di Indonesia,” katanya kepada Bernama.

Melalui RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lepas, Kerajaan Persekutuan bercadang membangunkan pertanian berskala besar di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Usaha itu diambil bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber makanan import yang masih tinggi.

Mengulas mengenai tanaman sesuai mengikut kawasan-kawasan di Sarawak, Shahrul Razid berkata Lundu, Simanggang serta Gedong sesuai untuk tanaman padi, manakala Kuching, Samarahan serta Sarikei sesuai untuk tanaman lada.

“Saya juga lihat kawasan di Sebuyau, Simunjan dan Tanjung Manis sesuai untuk tanaman jagung, kelapa dan nanas. Di Limbang dan Lawas pula sesuai untuk ternakan ruminan seperti kerbau dan produk tenusu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek pertanian berskala besar di Sarawak adalah isu kekurangan tenaga kerja serta infrastruktur seperti kemudahan pemprosesan produk pertanian yang masih terhad.

Beliau berkata cabaran logistik seperti akses ke kawasan pedalaman juga akan menyukarkan pergerakan produk pertanian ke kawasan tertentu.

“Selain itu, penggunaan teknologi di Sarawak juga belum meluas. Sebahagian besar aktiviti pertanian dilaksanakan oleh pekebun kecil iaitu perusahaan keluarga dan turun-temurun yang masih mengamalkan penanaman secara tradisional serta kurang produktif… aktiviti mekanisasi dan digitalisasi pertanian buat masa ini masih terlalu rendah,” katanya.

Mengulas mengenai peranan UPMS dalam menyokong usaha pertanian berskala besar di Sarawak, beliau berkata selain menawarkan program pendidikan tinggi, universiti itu juga bertanggungjawab melaksanakan penyelidikan, mengaplikasikan dan memindahkan ilmu pengetahuan pertanian kepada industri serta masyarakat.

“Dari segi penyelidikan, pelbagai inisiatif yang kami lakukan termasuk penambahbaikan baka tumbuhan serta ternakan dan teknologi pertanian tepat untuk peningkatan produktiviti pertanian secara lestari.

“Kami juga ada latihan dan pemindahan teknologi kepada petani, usahawan belia dan komuniti melalui kursus jangka pendek. Selain itu, kami juga laksanakan khidmat nasihat teknikal terutamanya dalam pengurusan tanaman, kesuburan tanah dan kawalan penyakit,” katanya.-TVS

Bekalan air Sibu terganggu 12 jam mulai malam Selasa

SIBU, 5 Ogos: Beberapa kawasan di sekitar bandar ini bakal mengalami gangguan bekalan air mulai jam 10 malam ini susulan kebocoran paip utama di hadapan Ngu Chung Beng dan Lorong Salim 19.

Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira 12 jam sebelum bekalan dipulihkan secara berperingkat.

Antara kawasan terjejas termasuk sepanjang Jalan Stabau dan Jalan Kong Yit Khim hingga ke Jalan Nibong Tada dan Durin; Jalan Salim hingga ke Jalan Pedada dan Jalan Dr Wong Soon Kai; serta Jalan Ling Kai Cheng sehingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Ling Kai Cheng dan Ulu Sungai Merah.

Turut terkesan ialah Jalan Lada hingga ke pusat bandar termasuk kawasan perkampungan, Jalan Brooke Drive hingga Jalan Teng Chin Hua, Jalan Quarry hingga Jalan Pasai Siong, Jalan Wawasan hingga Bawang Assan, serta Jalan Teku Lama hingga Jalan Ding Lik Kong.

SWSB menasihatkan pengguna supaya menyimpan bekalan air secukupnya sepanjang tempoh pembaikan dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul.

“Pihak kami akan memastikan kerja pembaikan diselesaikan secepat mungkin dan bekalan air dipulihkan secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui Talian Talikhidmat SWSB di 013-8106311. – TVS

Keupayaan loji air Simunjan dinilai semula

SIMUNJAN, 5 OGOS: Keupayaan Loji Rawatan Air Simunjan dalam menampung permintaan bekalan air bersih bagi kawasan sekitar kini sedang dinilai semula berikutan peningkatan keperluan penduduk serta isu gangguan bekalan yang masih berlarutan di beberapa kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, lawatan kerja yang diadakan ke loji tersebut pagi ini bertujuan mendapatkan gambaran sebenar terhadap kecekapan operasi sistem rawatan dan agihan air yang sedang beroperasi.

“Loji ini merupakan nadi utama bekalan air bersih di Simunjan. Penilaian keupayaannya penting bagi memastikan ia mampu menampung permintaan semasa dan akan datang, terutama ketika musim kemarau,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Beliau berkata, gangguan bekalan air yang masih dialami oleh sebahagian penduduk menandakan perlunya penambahbaikan terhadap sistem sedia ada agar bekalan yang disalurkan lebih stabil dan berdaya tahan.

“Masalah gangguan air tidak boleh dianggap remeh. Kita perlukan pendekatan jangka pendek dan panjang yang praktikal serta segera bagi menjamin kesejahteraan penduduk,” katanya lagi.

Dalam taklimat bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Awla dimaklumkan mengenai beberapa perancangan penambahbaikan, termasuk cadangan menaik taraf loji rawatan, penggantian sistem paip lama, dan pembinaan sistem sokongan tambahan bagi memastikan kapasiti bekalan dapat ditingkatkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JBALB, jurutera tapak dan agensi berkaitan yang terus komited dalam usaha memperkukuh sistem bekalan air luar bandar.

“Saya yakin, dengan pelaksanaan yang berkesan dan sokongan teknikal yang kukuh, kualiti hidup rakyat Simunjan akan terus meningkat sejajar dengan kemajuan kawasan luar bandar yang kita sasarkan,” ujar beliau. – TVS

Tapak pelupusan sampah Gua Musang dipindahkan, tangani isu asap tebal

GUA MUSANG, 5 Ogos:  Tapak pelupusan sampah di laluan Gua Musang-Lojing, berhampiran Kampung Kundur akan dipindahkan ke lokasi baharu bagi menyelesaikan masalah pembakaran terbuka yang menyebabkan kejadian asap tebal berterusan sejak lebih dua tahun lepas.

Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Mohd Roshdi Ismail berkata lokasi baharu itu masih dalam kawasan sama, namun di tapak berbeza yang lebih sesuai dan terkawal.

Beliau berkata pemindahan itu membolehkan pihaknya melaksanakan penambahbaikan di tapak asal, termasuk menutup laluan keluar masuk yang sering diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kerja-kerja penimbusan timbunan sampah sedia ada akan dilakukan menggunakan tanah milik kerajaan negeri dan penduduk setempat, dengan persetujuan pemilik atas dasar situasi menang-menang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Roshdi memaklumkan arahan tindakan segera telah dikeluarkan, termasuk pelaksanaan kerja penambahbaikan serta pemasangan pagar di sekeliling tapak bagi menghalang pencerobohan.

“Penduduk dan pengguna jalan raya di laluan Gua Musang-Lojing terpaksa menghidu asap tebal setiap hari, mengakibatkan risiko kesihatan dan gangguan penglihatan ketika memandu,” katanya.

Situasi itu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka oleh individu tidak bertanggungjawab, sekali gus menjejaskan lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar Kuala Betis, Felcra Panggong Lalat, Tanah Tinggi Lojing serta kawasan berdekatan Cameron Highlands, Pahang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Wan Aminordin Wan Kamarudin berkata tapak pelupusan berkenaan adalah di bawah pemantauan dan tindakan MDGM, justeru semua aduan perlu disalurkan terus kepada pihak majlis.

“Setakat ini, JAS tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan pencemaran di lokasi itu,” katanya.

Wan Aminordin bagaimanapun mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak, terutamanya ketika negara kini sedang menghadapi cuaca kering dan panas.

Beliau berkata di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024), mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati asap tebal masih keluar dari timbunan sampah lama, meskipun hujan sejak beberapa hari lepas. Bau busuk turut dihidu dari jarak lebih 200 meter, menunjukkan sisa yang terbakar masih aktif di beberapa kawasan.

Keadaan itu menyebabkan penglihatan menjadi terhad di laluan utama Gua Musang-Lojing, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan jalan raya khususnya pada waktu awal pagi dan lewat petang.

Laluan itu adalah akses penting ke Lojing dan Cameron Highlands yang sering digunakan oleh pelancong dan penduduk setempat.-TVS

Bekalan air ke Rancangan Pengairan Kerian masih terhenti

IPOH – Bekalan air bagi tujuan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula biarpun terdapat peningkatan bacaan paras air Empangan Bukit daripada 6 meter (m) semalam kepada 6.1m setakat pukul 8 pagi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berkata, peningkatan paras empangan itu susulan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang diadakan semalam.

“Hasil daripada operasi ini, sekitar pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, beberapa kawasan tadahan Empangan Bukit Merah telah menerima taburan hujan yang berkesan.

“Kadar aliran masuk ke empangan di Stesen Pondok Tanjung juga menunjukkan peningkatan ketara bermula pukul 3 petang hari yang sama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga pukul 8 pagi tadi, bacaan paras air empangan telah mencatatkan peningkatan daripada 6m kepada 6.1m.

Katanya, kapasiti simpanan empangan turut meningkat daripada 6.65 juta meter padu (12.2 peratus) kepada 7.25 juta meter padu (13.31 peratus).

“Bagaimanapun, status semasa empangan masih berada di tahap Aras Henti Bekalan Pengairan seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Peningkatan simpanan kolam empangan ini sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik, namun bekalan air bagi tujuan pengairan ke Rancangan Pengairan Kerian masih belum dapat dimulakan semula,” katanya.

Kawasan yang teruk terjejas akibat kemarau yang menyebabkan kurangnya hujan turun di kawasan tadahannya adalah di sekitar Empangan Bukit Merah di Bagan Serai.

Hasil daripada penilaian Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Perak sepanjang fenomena itu terjadi, Kolam Tadahan Empangan Bukit Merah telah mencapai aras henti bekalan pengairan pada tahap 6m sejak 22 Julai lalu.

Mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah padi akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search