NADMA SELARAS OPERASI PEMBENIHAN AWAN DI LEMBAH KLANG ATASI MASALAH JEREBU
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
NADMA SELARAS OPERASI PEMBENIHAN AWAN DI LEMBAH KLANG ATASI MASALAH JEREBU | 20 SEPTEMBER 2026
Susulan keadaan jerebu dan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini menyelaras pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi membantu menghasilkan hujan di kawasan sasaran.
Operasi tumpuan pada hari ini melibatkan kawasan Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta No. 20 Skuadron, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
OPA siri ke-14 bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan membawa empat tangki larutan garam untuk proses pembenihan awan di kawasan yang mempunyai potensi pembentukan awan sesuai.
Pelaksanaan operasi ini mengambil kira keadaan semasa jerebu, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) PM2.5 yang melebihi 150 dalam tempoh lebih 24 jam, selain keadaan cuaca panas dan pengurangan taburan hujan yang dialami ketika Monsun Barat Daya (MBD).
Usaha ini merupakan antara langkah segera yang dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kesan jerebu serta meningkatkan potensi hujan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai keadaan atmosfera yang sesuai untuk pembenihan awan.
Operasi berakhir pada jam 1.57 petang.
Turut hadir dalam pelaksanaan operasi ialah Encik Yuzaimi bin Mahat, Pengarah Bahagian Sains, Atmosfera dan Pembenihan Awan, MET Malaysia, manakala NADMA diwakili oleh PPj. (PA) Mulliadi Al-Hamdi bin Ladin, Timbalan Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi.
