PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Previous Next

Pensijilan INSARAG External Classification (IEC) Pasukan GEO-01 Georgia | 4 hingga 8 November 2025
 
Pasukan GEO-01 Search and Rescue (SAR) Georgia telah berjaya melaksanakan Pensijilan INSARAG External Classification (IEC) yang berlangsung di Tbilisi, Georgia. Pensijilan ini dilaksanakan bagi mengesahkan keupayaan operasi pasukan GEO-01 dalam kategori “Light Urban Search and Rescue (USAR)”, selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
Proses penilaian ini melibatkan 10 orang penilai antarabangsa termasuk wakil dari Malaysia, iaitu Encik Rosli Shaari yang berperanan sebagai Penilai Logistik (Logistics Classifier). Latihan pensijilan ini dijalankan dalam bentuk simulasi operasi mencari dan menyelamat antarabangsa dalam situasi sebenar selepas berlakunya bencana gempa bumi berskala besar.
 
Sepanjang tempoh simulasi, pelbagai komponen operasi telah diuji, antaranya:
• Keupayaan pasukan dalam pencarian dan pengenalpastian mangsa di kawasan runtuhan;
• Pengendalian peralatan teknikal serta pelaksanaan teknik menyelamat;
• Pengeluaran mangsa menggunakan peralatan khas;
• Pemberian rawatan perubatan kecemasan di lokasi operasi;
• Pengukuhan struktur bangunan yang lemah; dan
• Pengurusan operasi di kawasan berisiko tinggi, termasuk ruang sempit dan runtuhan kompleks.
 
Selain menilai tahap profesionalisme, kecekapan dan kesiapsiagaan anggota pasukan, penilaian ini turut memberi penekanan kepada aspek logistik dan keberkesanan sistem sokongan operasi termasuk keupayaan pengurusan sumber serta penyelenggaraan peralatan teknikal.
 
Tahniah dan setinggi penghargaan diucapkan kepada Pasukan GEO-01 Georgia atas kejayaan memperoleh Pensijilan INSARAG dalam kategori “Light USAR” dengan keputusan yang cemerlang. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memperkukuh keupayaan operasi serta mempertingkatkan standard profesionalisme dalam bidang mencari dan menyelamat di peringkat antarabangsa.
Previous Next

Latih Amal (Table Top Exercise) Pengurusan Bencana Banjir (Kesihatan) Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur dan Putrajaya Tahun 2025 | 6 November 2025
 
Telah berlangsung Latih Amal (Table Top Exercise) Pengurusan Bencana Banjir (Kesihatan) Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur dan Putrajaya Tahun 2025 anjuran Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
Tujuan latih amal ini dilaksanakan adalah untuk memperkasakan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November 2025 hingga Mac 2026. Dr Ajantha A/P Segarmurthy telah dijemput untuk menyampaikan taklimat yang bertajuk "Arahan NADMA No. 1".
Previous Next

Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri | 5 November 2025 | Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur
 
NADMA yang terlibat dalam Sesi Perbahasan RUU Perbekalan 2026 Peringkat Jawatankuasa di bawah B06 dan P06 telah bersama-sama dalam penyediaan input penggulungan perbahasan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat. YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) telah selesai menggulungkan perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh lima (5) YB bagi RUU Perbekalan 2026 yang berkaitan dengan NADMA.
 
Sesi perbahasan ini turut disertai oleh YBrs. Encik Rusli Ibrahim, Pengarah Seksyen Dasar NADMA dan pegawai-pegawai NADMA daripada Seksyen Mitigasi, Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial, Seksyen Teknikal dan Infrastruktur serta Seksyen Dasar dan Perancangan. Terima kasih diucapkan kepada semua Seksyen atas input dalam menjayakan sesi perbahasan ini.
Previous Next

Mentoring Support and Usar Joint Exercise between Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART MAS01) & Far-Eastern Search and Rescue Team of Emercom of Russia (RUS-03) | 28 Oktober hingga 4 November 2025 | Khabarovsk, Persekutuan Rusia

Telah berlangsung Program Sokongan Mentor dan Latihan bersama antara Pasukan MAS01 dan RUS-03 yang merupakan salah satu aktiviti yang dilaksanakan di bawah Perjanjian Kerjasama Malaysia-Persekutuan Rusia dalam Pengurusan Bencana yang sedang dalam proses untuk dimeterai dan program latihan luar negara yang dirancang di bawah peruntukan Program Khusus IER 2025.

Delegasi Malaysia seramai 13 orang yang diketuai oleh YBhg. Datuk Dr. Abdul Gapar Hj. Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi NADMA merangkap INSARAG Operational Focal Point for Malaysia. Komposisi 12 orang delegasi Malaysia yang lain terdiri daripada Mentor RUS-03, Supt. Safrizan Suhaini; Puan Che Siti Noor Koh Poh Lee @ Che Mamat sebagai penyelaras program dan penasihat bersama untuk Comprehensive Portfolio of Evidence (CPoE); PBK II Muhamad Hafiezul Abdul Halim selaku Ketua Pasukan Latihan SMART; Dr. Mohd Hafizi daripada Kor Kesihatan Diraja ATM sebagai SME untuk komponen Medical, selebihnya 8 orang penyelia dan anggota SMART yang merupakan SME USAR yang terlibat dalam latihan bersama dan Simulation Exercise (SIMEX).

Aktiviti sepanjang program merangkumi lawatan sekitar fasiliti Far Eastern SAR Team seperti diving training centre, medical-psychology support centre dan fasiliti latihan USAR ; latihan bersama dalam bentuk teori dan praktikal untuk penyelamatan tali, free-decending parachute dengan teknik pendaratan di lokasi pelbagai seperti tempat rata, padang, kawasan berair, hutan dan kuari serta Road Traffic Accident SAR caused by Earthquake yang kemudiannya diaplikasikan dalam 36jam SIMEX yang dijalankan dalam cuaca sejuk mencecah -7 celcius. Program ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta latihan free-descending parachute dan perbincangan tentang perancangan program mentoring dan latihan tahun 2026.

Previous Next

Latihan USAR Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersama Pasukan AFAD Turkiye | 26 Oktober hingga 03 November 2025

Satu (1) latihan bersama Urban Search and Rescue (USAR) antara Pasukan SMART dan AFAD Turkiye telah diadakan di AFAD HQ Ankara dan Pusat Simulasi AFAD Ankara, Turkiye.

Latihan USAR Malaysia-Turkiye 2025 ini telah disertai oleh dua (2) orang pegawai pemerhati/perhubungan operasi daripada NADMA yang diketuai oleh YBrs. Encik Addyhanis Ahamad, Pengarah Seksyen Penyelarasan Operasi (SPeO) dan Encik Shanmugam A/L Gopalan, Penolong Pengarah Kanan SPeO. Manakala dua (2) orang pegawai Pasukan SMART yang mengetuai pasukan dan latihan adalah Mejar Mohd Izzuddin Mat Hassan, Ajutan Pasukan SMART dan Insp. Abdullah Ahmad Sobri, Ketua Seksyen Heavy USAR bersama lapan (8) orang anggota Pasukan SMART yang lain.

Antara modul latihan USAR yang telah dilaksanakan adalah Assessment, Cutting & Breaking, Shoring, Rope Rescue dan perkongsian/pembiasaan peralatan serta situasi menyelamat USAR di Turkiye. Program latihan ini turut merangkumi lawatan ke Ibu Pejabat AFAD, taklimat mengenai Turkish Disaster Management System dan perkongsian pengalaman bencana gempa bumi Turkiye pada 6 Februari 2023 yang lalu.

Turut diadakan sesi kunjungan hormat ke atas TYT Sazali Mustafa Kamal, Duta Besar Malaysia di Republik Turkiye. Pertemuan ini telah membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala Malaysia dan Turkiye dalam bidang pengurusan bencana dan penyelamatan serta pengiktirafan terhadap peningkatan keupayaan operasi kedua-dua negara.

Latihan komprehensif yang dilaksanakan kali ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang gerak kerja operasi pasukan luar negara yang mendapat pengiktiraran INSARAG dan perkongsian pengalaman bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan Pasukan SMART dalam mendepani sebarang insiden dan bencana di peringkat antarabangsa.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search