PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Hujan, ribut petir di KL, Putrajaya hingga 10 malam ini

KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir serta angin kencang diramal melanda ibu kota, Putrajaya selain beberapa daerah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah sehingga jam 10 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata di Perak, cuaca itu diramal di kawasan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim manakala Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Di Negeri Sembilan, katanya, cuaca itu diramal di daerah Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol.

"Ramalan cuaca sama dikeluarkan bagi Sarawak iaitu di kawasan Sri Aman (Lubok Antu), Sarikei Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau) dan Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) manakala Sabah membabitkan Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Tongod).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Empangan Air Itam susut 33.7 peratus, pembenihan awan sedang diusahakan

GEORGETOWN: Kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini, terus mengalami penyusutan membimbangkan dengan bacaan sehingga jam 2 petang ini merekodkan takungan pada kadar 33.7 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K Pathmanathan, mengesahkan kapasiti empangan itu melampaui Tahap Amaran Dua sejak semalam, dengan pihaknya sudah mengusulkan permohonan untuk dilakukan pembenihan awan.

"Kita sudah mengadakan perbincangan bersama pihak Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

"Cadangan-cadangan lain akan dimuktamadkan selepas kerja 'shutdown' (di Sungai Perai) selesai sepenuhnya," katanya ringkas ketika dihubungi BH.

Sebagai rekod, tahap waspada pertama pada kadar 50 peratus, diikuti tahap kedua 40 peratus manakala tahap ketiga pada paras 30 peratus dan ke bawah.

PBAPP ketika ini sedang memberi tumpuan kepada kerja fizikal pengalihan saluran paip di Sungai Perai, dekat sini yang dijadual bermula 11.30 malam ini yang dijangka selesai jam 2 petang esok.

Empangan Air Itam merekodkan kapasiti efektif 83 peratus pada 1 Disember lalu, namun insiden paip pecah di Sungai Perai bulan lalu menyebabkan penggunaannya ditingkatkan bagi menampung kegunaan penduduk terjejas menyebabkan paras air menyusut kepada 66.7 peratus setakat 5 Januari lalu

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, rekod pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam yang digunakan ketika krisis itu berlaku adalah sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) berbanding 22JLH pada hari biasa.

Penyusutan itu turut didorong cuaca kering ketika ini dengan taburan hujan di kawasan berkenaan rendah dan empangan berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk antaranya meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau.

Dua PPS masih aktif di Dungun

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu menyaksikan daerah Dungun masih terjejas.

Setakat jam 4 petang, seramai 473 mangsa daripada 157 keluarga berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, mangsa berlindung di Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Di Dewan Serbaguna Kampung Shukor, seramai 226 mangsa daripada 61 keluarga berlindung di PPS berkenaan, manakala seramai 247 mangsa daripada 96 keluarga lagi berteduh di 96 PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Sementara itu, laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan hanya satu sungai mencatatkan bacaan melepasi paras amaran.

Sungai Terengganu di Jambatan Kuala Berang, Hulu Terengganu kini melepasi paras amaran dengan bacaan 11.05meter (m) berbanding paras normal 4.5m.Secara keseluruhan, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan walaupun ia masih melepasi paras normal.

Tiga sekolah terjejas banjir di Dungun dibuka Ahad ini

Kuala Nerus: Tiga sekolah yang masih ditutup akibat banjir di Dungun akan kembali dibuka untuk sesi persekolahan selewat-lewatnya Ahad ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong, berkata ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor dan SK Minda Talong.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan masih dijalankan di tiga sekolah berkenaan dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.

"Semua sekolah di seluruh negeri sudah kembali dibuka untuk sesi persekolahan kecuali tiga sekolah di Dungun yang masih diberi kelonggaran cuti bencana.

"PPD sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mencari kelengkapan sementara seperti kerusi dan meja untuk kegunaan murid.

"Kita jangka ia boleh dibuka selewat-lewatnya Ahad ini dan kita juga masih mengenal pasti kerosakan di semua sekolah yang terjejas akibat banjir sebelum dirujuk kepada kementerian bagi kerja-kerja pembaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau hari pertama SPM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Nerus di sini hari ini.

Jelani berkata, tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut di Dungun yang dijadikan PPS ditutup petang semalam.

Beliau berkata, seramai 34 mangsa banjir sebelum ini berada di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini, seramai 18,494 termasuk 105 Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki peperiksaan SPM di 176 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu bermula pagi ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,420 calon di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon di Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.

PPS di Johor tutup, mangsa di Terengganu, Pahang tidak berubah

KUALA LUMPUR: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang menempatkan 29 mangsa banjir daripada sembilan keluarga di Kota Tinggi, Johor ditutup, manakala jumlah mangsa di Terengganu dan Pahang tidak berubah pagi ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa di Terengganu kekal 473 orang daripada 157 keluarga di dua PPS di Dungun, dan keadaan sama turut dicatat di Pahang yang masih menempatkan 22 orang daripada lima keluarga di sebuah PPS di Rompin.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu berada pada tahap bahaya.

Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Rompin dan Sungai Pahang di Bera serta Cameron Highlands dan Rompin di Pahang, Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), dan Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Jalan Sungai Lembing, Pahang dan Jalan Sungai Sok - Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan. – BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search