PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Penduduk Lahad Datu rasai gegaran gempa bumi

LAHAD DATU: Gempa bumi lemah berukuran 3.6 pada skala Richter yang berlaku di perairan timur Sabah pada 2.11 petang tadi turut dirasai gegarannya oleh penduduk di daerah ini.

Seorang guru, Noor Faradzilla Iswana Ommar, 30, berkata beliau dapat merasai gegaran itu lebih kurang seminit ketika berada di rumahnya di tingkat empat sebuah kuarters di tengah bandar di sini.

"Ketika itu saya sedang mengayun buaian untuk menidurkan anak, tapi tiba-tiba saya rasa seperti ada gegaran ingatkan kerana buaian, yang menyebabkan saya pening," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di kuarters sama, sukarelawan polis, Bibi Sharmiezza Mohd Rafi Khan, 31, turut merasai gegaran itu ketika sedang mengemas rumah. 

"Gegaran itu lemah sahaja tetapi menyebabkan saya rasa pening," katanya yang tinggal di tingkat satu kuarters terbabit.

 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata pihaknya setakat ini belum menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung gegaran akibat gempa bumi tersebut. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memberitahu pusat gempa itu terletak di 6.2 darjah utara dan 118.4 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer iaitu 57 kilometer timur laut dari Sandakan.

Sementara itu di Sandakan, penduduk yang ditemu bual tidak merasakan gegaran berhubung kejadian gempa itu.

Lahad Datu dan Sandakan merupakan daerah di pantai barat Sabah terletak 168 kilometer antara satu sama lain.

– BERNAMA

Dua jasad terakhir ditemui, kelima-lima mangsa disahkan maut

CAMERON HIGHLANDS - Jasad mangsa keempat dan kelima tragedi runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley dekat sini telah dijumpai petang Sabtu.

Penemuan itu menjadikan kesemua lima mangsa merupakan pekerja kebun sayur warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, kedua-dua mangsa ditemui di kedudukan antara sektor C dan D dengan jarak lima meter antara satu sama lain.

"Mangsa keempat dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada jam 6.10 petang disusuli mangsa terakhir seorang wanita, Om Myu, 37, jam 6.50 petang," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.

Operasi digerakkan pada sebelah pagi berjaya menemui mangsa ketiga pada jam 12.15 tengah hari.Mayat Thang Moung, 25, itu dijumpai di sektor D pada kedalaman 1.5 meter tidak jauh dari lokasi penemuan mangsa pertama.Pada Jumaat, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan berjaya menemui dua mangsa dikenalpasti sebagai Law Ha Phey, 36, di sektor C dan Ki Shing Om, 48, di sektor B.Sementara itu, Azri turut mengesahkan, tiada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan terbabit. 

Beliau berkata, kematian dan identiti semua lima mangsa itu telah dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Myanmar.

Katanya, proses bedah siasat semua mangsa akan dijalankan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk tindakan selanjutnya.

"Dengan penemuan semua mangsa ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan dan PKTK ditutup pada jam 9 malam," katanya.

Seramai 220 anggota daripada 17 agensi telah menyertai operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam.

Operasi turut dibantu khidmat dua Anjing Pengesan (K9), Frankie dan Pop.

Kejadian itu telah dilaporkan kepada polis pada jam 2.10 pagi membabitkan dua rumah pekerja didiami lima warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa sedang tidur dan hanya disedari rakan sekerja yang tinggal di rumah pekerja berhampiran selepas mendengar bunyi dentuman kuat.

Tiga daripada mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan sebagai suami isteri dan bapa sementara dua lagi merupakan rakan sekerja.

Sempurnakan projek tangani banjir demi kebaikan rakyat - Agong

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah projek menangani banjir perlu disempurnakan segera demi kebaikan rakyat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ini termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dirancang, merujuk kepada projek yang disembah maklum kepada baginda bagi menangani masalah bencana itu di Sungai Lembing di sini.

"Kita harap ini dapat disegerakan," titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing pada Sabtu.

 Turut berangkat paduka anakanda yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah turut mencadangkan agar infrastruktur di Sungai Lembing dikaji semula kerana kawasan itu merupakan lokasi bersejarah dan masih didiami penduduk. Seri Paduka menzahirkan rasa simpati kepada penduduk di kawasan itu yang terpaksa berdepan dengan bencana banjir bukan sahaja pada musim tengkujuh tetapi juga semasa hujan lebat di luar monsun timur laut."Jalan untuk sampai di sini sudah mendap, sungai mungkin dah cetek. Cari kaedah supaya banjir ini dapat kita atasi. 

"Mungkin sudah sampai masa kena kaji. Tengok sungai kita, kaji infrastruktur yang ada dengan lebih serius dan terperinci (untuk mengurangkan risiko banjir)," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah mencadangkan agar Sungai Kenau diperdalam bagi mengurangkan implikasi banjir di kawasan terlibat.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.

Sewaktu lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan dan bantuan makanan daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada lebih 200 ketua isi rumah di PPS tersebut selain menyantuni mangsa banjir di dewan makan. - Bernama

Gempa bumi lemah dikesan di perairan timur Sabah

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi lemah berukuran 3.6 pada skala Richter dikesan berlaku di perairan timur Sabah pada 2.11 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu terletak di 6.2 darjah utara dan 118.4 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer iaitu 57 kilometer timur laut dari Sandakan, Sabah.

 

"Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu. - Bernama

SAR mangsa tanah runtuh Cameron Highlands diteruskan pagi ini

CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, di sini disambung semula pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata operasi bermula pada 8.30 pagi dengan melibatkan 158 anggota serta pegawai dari Pahang, Perak dan Selangor.

"SAR turut disertai pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya," katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Bomba di lokasi insiden itu hari ini.

Beliau berkata dua anjing pengesan (K9) JBPM turut digerakkan bagi membantu operasi yang menumpukan sektor tengah runtuhan berhampiran lokasi dua mayat mangsa ditemukan semalam, dalam radius 50 meter. 

Menurut Md Gezani pemantauan oleh pihak JMG di lokasi setakat ini mendapati tiada pergerakan tanah baharu, namun operasi menyelamat terpaksa dihentikan sekiranya berlaku hujan lebat.

 

Tinjauan BERNAMA mendapati pasukan SAR dilihat membawa pelbagai peralatan menggali seperti cangkul, kit barangan asas serta pengusung dalam keadaan gerimis.

Mereka perlu berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk menuju ke lokasi runtuhan berikutan lokasi berkenaan tidak dapat diakses menggunakan kenderaan akibat berbukit.

Semalam, dua daripada lima mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.

Pada kira-kira 2.40 pagi semalam, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa ditimbus dalam insiden tanah runtuh itu.

– BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search