PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

JBPM tumpu tiga kawasan dijangka jadi punca kebakaran ketika musim kering

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menumpukan kepada tiga kawasan yang dijangka menjadi punca kebakaran ketika negara berdepan musim kering.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata kawasan itu membabitkan tanah gambut, pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan sampah pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Beliau berkata, JBPM mengesan lebih 400 kawasan titik panas di seluruh negara, setakat ini dan menjangkakan negara berdepan musim kering lebih teruk berbanding tiga tahun sebelum ini.

Katanya, perkara ini akan menyebabkan berlaku lonjakan kebakaran kepada beberapa lokasi utama dan menjadi kerisauan kepada JBPM.

"Lokasi dijangka berlaku kebakaran adalah di kawasan tanah gambut membabitkan Selangor, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Datuk Ahmad Izram Osman dan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Nordin Pauzi.

Nor Hisham berkata, jumlah pembakaran ini akan berlaku lonjakan sekiranya orang ramai memulakan aktiviti pembakaran membabitkan pencari sampah di kawasan pembuang sampah haram dan domestik PBT.

Katanya, cabaran dihadapi pasukan JBPM adalah ia sukar dipadamkan dan mengambil masa yang lama serta memerlukan kos tinggi.

Pada 2023, katanya, sebanyak 100 kes pendakwaan sudah dibawa ke mahkamah dan berjaya memperoleh RM518,300 bayaran denda atas pelanggaran Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Nor Hisham berkata, sebanyak 96 kes telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dengan jumlah 221 pertuduhan manakala empat kes pendakwaan (12 pertuduhan) membabitkan orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan akan menjalani proses perbicaraan.

 
 

Sekolah terjejas banjir dibenar ambil cuti bencana

DUNGUN: Tujuh buah sekolah yang terjejas banjir di daerah ini dibenarkan mengambil cuti bencana sehingga operasi pembersihan selesai dilaksanakan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dan SK Kampung Shukor terjejas teruk dan dilitupi lumpur tebal.

“Banjir kali ini dianggap terburuk yang pernah dialami di daerah ini, iaitu lebih teruk berbanding 2014.

“Kesemua sekolah yang terlibat dibenarkan untuk mengambil cuti bencana sehinggalah operasi pembersihan selesai sepenuhnya demi keselesaan semua pelajar,” katanya ketika turut menyertai kerja-kerja pembersihan di SK Pasir Raja, bersama lebih 100 sukarelawan, di sini.

Shafruddin berkata, lima sekolah lain yang turut terjejas ialah SK Tepus, SK Kuala Jengal, SK Jongok Batu, SK Dendang, SK Kuala Abang, SK Minda Talong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai.

Mengenai kerugian yang dialami, Shafruddin berkata, pihaknya sedang membuat penilaian kerugian ekoran kerosakan peralatan di kesemua sekolah terlibat.

“Pegawai pendidikan daerah telah diminta untuk menyenaraikan dan menilai kerosakkan yang dialami untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di SK Pasir Raja dan Kampung Shukor mendapati banjir setinggi lebih tiga meter menyebabkan seluruh sekolah dilitupi lumpur tebal dan banyak perabot termasuk kerusi dan meja murid serta barangan pejabat seperti komputer juga turut mengalami kerosakan dan terpaksa dibuang.

Selain peralatan sekolah, keseluruhan kuarters guru juga turut terjejas dan kebanyakan barangan tidak dapat diselamatkan berikutan banjir luar jangka yang berlaku. – UTUSAN

Mangsa banjir di Dungun turun 782 orang

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Dungun, Terengganu berkurang kepada 782 orang daripada 228 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Jumlah itu menurun berbanding 923 orang daripada 275 keluarga seperti yang direkodkan pada 8 malam Ahad.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dungun merupakan satu-satumya daerah di negeri ini yang masih terjejas akibat bencana tersebut.

Menurut kenyataan itu, enam PPS yang dibuka di Dungun ialah Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Masjid Jamek Kampung Jongok Batu.

Tambah kenyaatan tersebut, PPS yang turut dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut dan Dewan Masjid Serdang.

Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.

Terengganu rekod mangsa tertinggi

Sebanyak 1,684 mangsa banjir masih berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat 6 pagi semalam.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa tertinggi masih direkodkan di Terengganu dengan 1,378 orang ditempatkan di 14 PPS di Dungun.

Johor merekodkan 235 mangsa dengan ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi dan Mersing; Kelantan (43 mangsa, satu PPS di Tanah Merah) serta Pahang (28 mangsa, dua PPS di Rompin).

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran

mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Endau di Mersing, Sungai Punggai dan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 34 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.

Pesawah dakwa rugi RM100,000 kerana banjir termenung

KOTA BHARU: Kumpulan pesawah dari Kampung Teras, Binjai, di sini, mendakwa kerugian hampir RM100,000 selepas sawah mereka seluas 28 hektar ditenggelami banjir termenung sejak hampir seminggu lalu.

Yaacob Abdul Majid, 54, berkata ia kali pertama keadaan itu berlaku susulan masalah laluan tersumbat yang menyebabkan air bertakung di sawah tidak dapat mengalir.

Katanya, anak benih berusia dua minggu musnah sepenuhnya apabila digenangi air sehingga mencecah 1.5 meter (m) dan merugikan pesawah yang sepatutnya menuai hasil padi pada April ini.

"Padi hanya boleh dituai dua kali setahun, namun disebabkan masalah ini berkemungkinan besar kami dapat menuai sekali sahaja pada hujung tahun, sekali gus menjejaskan pendapatan pesawah di sini. 

"Saya kerugian kira-kira RM16,000 selepas sawah seluas 6.4 hektar ditenggelami sepenuhnya. Penat lelah menabur benih sia-sia selain menanggung kerugian benih, racun dan upah membajak.

"Justeru, saya memohon pihak berkenaan membina laluan air agar masalah sebegini tidak berulang lagi," katanya. 

Che Mazlan Mohd Noor, 57, berkata situasi sawah digenangi air adalah perkara biasa, tetapi dengan paras air semasa pasti mengambil masa lama untuk surut.

"Kami menjangkakan ia mungkin mengambil lebih sebulan untuk surut sepenuhnya. Benih padi boleh diselamatkan jika hanya tenggelam kurang 10 hari tetapi jika selebihnya, tiada dapat diselamatkan.

"Bantulah kami kerana bersawah adalah satu-satunya punca pendapatan kami dan masalah ini akan berulang jika isu laluan air tidak diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, masalah itu turut menyebabkan beberapa kawasan banjir seperti Kampung Teras, Kampung Chepa, Kampung Wakaf Tanjung, Kampung Saraf dan Kampung Mentuan, di sini.

Beberapa jalan utama di kawasan kampung dinaiki air separas 0.5m sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search