SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengakui, ada lokasi di negeri ini mengalami banjir kilat susulan pelaksanaan projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT3)
"Kalau kata seluruh jajaran (LRT3) itu mengalami masalah banjir kilat, saya tidak setuju tetapi saya setuju ada sesetengah bahagian yang memang mengalami masalah banjir kilat selepas pembinaan (LRT3) dimulakan.
"Sebenarnya, bagi setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semasa mereka (kontraktor) memohon kebenaran merancang, PBT akan meletakkan syarat-syarat kepada kontraktor untuk mereka mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh setiap PBT.
"PBT akan menyemak adakah syarat-syarat dipatuhi sebelum memberi sokongan kepada permohonan itu," katanya menjawab soalan tambahan dari Muhammad Hilman Isham (PN-Gombak Setia) berhubung isu banjir kilat di kawasan berhampiran jajaran LRT3.
Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor hari ini.
Mengulas lanjut mengenai isu air bertakung di perparitan sepanjang LRT3 di kawasan Klang katanya, keseluruhan kerja perparitan dan longkang siap sepenuhnya mengikut reka bentuk konsultan dan mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
"Beberapa siri kejadian banjir berlaku di Jalan Meru iaitu di hadapan kompleks Pasar Jalan Meru dan di hadapan Sekolah Tinggi Klang semasa di peringkat pembinaan pembangunan LRT3 dan selepas penyiapan kerja.
"Susulan daripada beberapa siri kejadian banjir, MBDK mengarahkan pihak LRT3 membuat semakan dan mengkaji punca kejadian banjir dan cadangan untuk mengatasi perkara itu," katanya.
Jelas Sze Han, beberapa perkara yang perlu di teliti dan diambil kira oleh pihak LRT3 termasuk menyemak keperluan dan keberkesanan parit erong (scuper drain).
"Pihak LRT3 perlu membuat kerja pembersihan parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga ke Sungai Klang.
"Begitu juga menyemak pembinaan dan ubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota; dan mengkaji semula punca kejadian serta membuat cadangan untuk mengatasi masalah kejadian banjir ini," katanya.
Katanya, pihak perunding LRT3 kini sedang membuat kajian semula lokasi-lokasi kejadian banjir tempatan.
"Antara punca utama yang dikenal pasti menyumbang berlakunya air bertakung ketika hujan lebat adalah berlaku sekatan di hilir perparitan ke sungai, terdapat mendapan dan sampah sarap serta halangan utiliti yang menyekat aliran perparitan.
"Masalah air bertakung juga berlaku apabila berlakunya hujan lebat melampau ketika air laut pasang besar. Ia akan mengakibatkan berlakunya aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnya menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan air bertakung.
"Pada tahun ini, MBDK akan menaik taraf perparitan di kawasan Lorong Nuri berhadapan Sekolah Tinggi Klang, yang sering kali mengalami kejadian banjir apabila berlaku hujan lebat," katanya.
Dalam pada itu katanya, status kemajuan keseluruhan projek LRT3 sehingga Januari 2024 adalah pada kadar 93.88 peratus.
"Status kemajuan infra Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan adalah 99.24 peratus dan status kemajuan Bandar Baru Klang bagi pembinaan stesen adalah 91.03 peratus.
"Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025," katanya menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru) berhubung status terkini landasan dan stesen LRT.
Tiada hujan selepas operasi pembenihan awan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang
- Admin UKK
- Berita
Georgetown: Tiada hujan direkodkan semasa atau selepas dua operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, dekat sini, kelmarin dan Selasa lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, perkara itu berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa itu.
“Jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan, pembenihan awan mungkin tidak merangsang sebarang hujan.
“Pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pathmanathan berkata, oleh kerana tiada hujan direkodkan, dua operasi pembenihan awan itu tidak meningkatkan kapasiti efektif kedua-dua empangan buat masa ini.
Justeru, PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan.
Beliau memaklumkan kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam semalam mencatatkan 37 peratus manakala Empangan Teluk Bahang, 79.1 peratus.
Katanya, pada 1 Januari lalu, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam adalah 68.9 peratus berbanding 37 peratus dicatatkan semalam dengan perbezaan sebanyak 31.9 peratus.
“Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif pada 1 Januari adalah 95.4 peratus berbanding hari ini (semalam) iaitu 79.1 peratus iaitu menunjukkan perbezaan sebanyak 16.3 peratus.
Beliau berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang, 18,240 JL.
Daripada segi isi padu air, penurunan sebanyak satu peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang (182.4 ML) secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.
“Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Februari lalu namun ia meningkat sebanyak 4.2 peratus menjadikannya daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus
“Walaupun terdapat hanya 45 milimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan cuaca panas, peningkatan ini adalah kerana pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024),” katanya.
Beliau berkata, di bawah AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus menyaksikan pengeluaran air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga menurun sebanyak 66 peratus.
Katanya, dalam usaha memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam. pada hari ini (semalam).
Subang Jaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) melaksanakan operasi pembenihan awan, bagi menstabilkan paras dua empangan di utara Semenanjung.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA, Meor Ismail Meor Akim, berkata dua empangan yang menjadi sasaran pada operasi itu ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dan Empangan Bukit Merah di Perak.
“Ini hari kedua operasi pembenihan awan ini dijalankan. Tujuannya untuk pembenihan awan dan menjadikan hujan. Cabaran kita ialah (memastikan) hujan itu menjadi, tetapi tiupan angin yang membuatkan awan terpesong dari sasaran kita. Jadi, kita harap operasi ini akan berjaya,” katanya ditemui pemberita di Pangkalan Tentera Udara semalam.
Operasi pembenihan awan semalam, diketuai oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Khairil Azhar Ariffin bersama lapan anggota TUDM, selain masing-masing 15 petugas NADMA dan Metmalaysia.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Atmosfera dan Pembenihan Awan Metmalaysia, Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin, berkata untuk operasi pembenihan awan, pihaknya menggunakan empat tangki yang diisi 1,000 liter larutan garam,
“Kita menjangka pada waktu petang akan ada awan terbentuk serba sedikit di utara Semenanjung. Selain kita kena memastikan awan itu ada dan kelembapan atmosfera yang sesuai untuk membentuk awan yang terbaik,” katanya.
Ahmad Fairudz berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan paras empangan di negara ini dalam keadaan stabil. BERNAMA
Subang Jaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi menstabilkan paras dua empangan di utara Semenanjung Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA Meor Ismail Meor Akim berkata dua empangan yang menjadi sasaran pada operasi itu ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dan Empangan Bukit Merah di Perak.
“Ini adalah hari kedua OPA dijalankan, tujuannya untuk pembenihan awan dan menjadikan hujan. Menjadi cabaran buat kita ialah (memastikan) hujan itu menjadi, tetapi tiupan angin yang membuatkan awan tersasar daripada sasaran kita, jadi kita harap operasi ini akan berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Tentera Udara di sini semalam.
Operasi pembenihan awan pada hari ini, diketuai oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Khairil Azhar Ariffin bersama lapan anggota TUDM, selain masing-masing 15 petugas Nadma dan MetMalaysia.
Sementara itu, Pengarah
Bahagian Atmosfera dan Pembenihan Awan MetMalaysia Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin berkata untuk OPA, pihaknya menggunakan empat tangki yang diisi 1,000 liter larutan air garam dan penerbangan operasi bermula pada 2.30 petang semalam.
“Kita menjangkakan pada waktu itu, (2.30 petang) akan ada awan terbentuk serba sedikit di utara Semenanjung, selain kita kena pastikan awan itu ada dan kelembapan atmosfera yang sesuai untuk membentuk awan yang terbaik,” katanya.
Ahmad Fairudz berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan paras empangan di negara ini dalam keadaan stabil.
Cecah 40 darjah Celsius!
- Admin UKK
- Berita
Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan amaran gelombang haba tahap dua di daerah Pokok Sena dengan meramalkan suhu boleh mencecah 40 darjah Celsius.
Selain itu, enam daerah lain termasuk Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star, dan Langkawi, sudah menerima amaran tahap satu, dengan suhu dijangka mencecah maksimum 37 darjah Celsius semalam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan suhu pada waktu siang hari di Pokok Sena boleh turun naik antara 37 darjah hingga 40 darjah Celsius dalam tempoh tiga hari akan datang.
“Bagi Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang, Kota Star dan
Langkawi pula suhu diramalkan antara 35 darjah hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh yang sama,” katanya. Sementara itu, Pengarah MetMalaysia negeri, Muhammad Khalil Abd Aziz menasihatkan penduduk di negeri ini supaya berhati-hati ketika cuaca panas melampau.
Beliau menasihatkan supaya mengehadkan aktiviti luar bagi mengelakkan terkena cuaca panas.
“Jika anda perlu keluar, pilih pakaian berwarna terang, pakai topi dan gunakan payung.
“Selain itu, jika berada dalam rumah, gunakan pendingin hawa dan kipas angin dan yang paling penting, kekalkan terhidrasi dengan minum banyak air dan meminimumkan pengambilan minuman berkafein,” katanya.
