PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Pemaju LRT3 diarah kemuka cadangan selesai masalah kekerapan banjir

SHAH ALAM: Pemaju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diarah mengkaji punca dan mengemukakan cadangan bagi mengatasi banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa lokasi di Selangor termasuk di depan Pasar Borong Meru dan Sekolah Tinggi Klang, dekat sini, susulan pelaksanaan projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han, berkata antara perkara perlu diteliti dan diambil kira pihak LRT3 ialah melakukan kerja pembersihan parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga Sungai Klang dan menyemak pembinaan serta mengubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota.

"Masalah air bertakung juga terjadi apabila berlaku hujan lebat yang melampau pada ketika air laut pasang besar.

"Ia akan mengakibatkan berlaku aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnya menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan air bertakung," katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) mengenai punca air bertakung di perparitan sepanjang LRT3 terutama di depan Pasar Borong Meru dan padang Sekolah Tinggi Klang, setiap kali hujan lebat.

 

Sze Han berkata, antara punca utama dikenal pasti penyumbang berlaku air bertakung ialah sekatan di hilir perparitan ke sungai, terdapat mendapan dan sampah sarap serta halangan utiliti yang menyekat aliran perparitan. 

"Dalam hal ini, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sudah berbincang dengan pihak LRT3 dan pemaju diarah membuat semakan, mengkaji punca kekerapan banjir, seterusnya mengemukakan langkah penyelesaian kepada masalah terbabit," katanya.

Sementara itu, Sze Han berkata, status kemajuan keseluruhan projek LRT3 mencapai kadar 93.88 peratus setakat Januari lalu dengan status kemajuan infra di Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan ialah 99.24 peratus, dan status kemajuan Bandar Baru Klang bagi pembinaan stesen sebanyak 91.03 peratus.

Beliau berkata, projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025. – BERNAMA

Cuaca panas: Paras air 7 empangan di Selangor masih stabil - EXCO

SHAH ALAM: Paras air tujuh empangan di Selangor masih stabil walaupun negara sedang mengalami fenomena cuaca panas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim. 

Beliau berkata, air di tiga empangan terbabit mencatat paras lebih 90 peratus, manakala empat lagi pada tahap 85 peratus ke atas.

"Kita (Selangor) masih bertahan lagi buat masa ini. Paras air tujuh empangan di Selangor berada pada tahap 85 peratus dan ke atas.

"Tiada yang kritikal... biasanya kalau (paras air empangan) bawah 70 peratus, kita akan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya kepada pemberita di Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Izham berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat atau aduan kesan cuaca panas, setakat ini.

"Tiada apa-apa isu susulan cuaca panas atau kemarau, setakat ini... Selangor masih stabil. Saya menjangka kesan El Nino ini hanya mula terasa pada suku kedua, iaitu Jun nanti.

Ribut petir di Perak, Selangor, N Sembilan

KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda kebanyakan kawasan di lapan negeri, selain Putrajaya sehingga jam 7 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran memaklumkan cuaca itu di ramal di seluruh Pulau Pinang, selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.

Di Kedah, katanya, cuaca itu diramal di kawasan Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu manakala Perak membabitkan daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

"Di Selangor, cuaca itu diramal di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang; Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin); serta Johor (Muar, Batu Pahat dan Pontian). 

"Di Sarawak pula, cuaca sama diramal di Sibu (Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang, manakala Sabah membabitkan mawasan pedalaman (Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar) dan Sandakan (Tongod)," kata hantaran itu.

METMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) bagi setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. 

"Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Susulan itu, orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Pulau Pinang pertimbang laksana pusingan kedua pembenihan awan

GEORGE TOWN - Pulau Pinang mempertimbangkan untuk melaksanakan pusingan kedua pembenihan awan setelah operasi yang dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang baru-baru ini, gagal merekodkan sebarang hujan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menguruskan perkara yang diperlukan bagi proses pembenihan awan. 

"Kita akan terus memantau, namun setakat ini, kapasiti efektif di Empangan Air Itam tidak lagi merosot berbanding sebelumnya sejak PBAPP mengumumkan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) minggu lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan We Are Site Manager International Symposium di sini pada Jumaat, yang berlangsung selama lima hari hingga 5 Mac dan mengumpulkan 160 pengurus tapak warisan dunia dari 37 negara. "Menerusi pelan itu, PBAPP telah mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam selain mengepam air terawat dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan pengguna di kawasan terbabit,” katanya. 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan dalam kenyataan memaklumkan tiada hujan direkodkan daripada dua operasi pembenihan awan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang dijalankan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 27 dan 28 Februari lepas.

Beliau berkata, ia berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa itu. Oleh sebab itu, Pathmanathan berkata, kapasiti efektif di kedua-dua empangan berkenaan juga tidak dapat ditingkatkan buat masa ini. - Bernama

KKM rekod 13 kes strok haba dan kelesuan haba

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 13 kes berkaitan cuaca panas sejak minggu pertama hingga kesembilan tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak empat kes membabitkan strok haba dan sembilan kerana kelesuan haba. 

"Kesemua kes disebabkan oleh aktiviti fizikal di luar bangunan semasa cuaca terik. Terdapat satu kes strok haba dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes kelesuan haba dirawat di wad biasa, Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah.

"Manakala 11 kes lain telah mendapatkan rawatan dan sembuh," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 Beliau berkata, bilangan kes berkaitan cuaca panas mengikut negeri adalah tujuh di Perak, Kedah (lima), dan satu di Sabah.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba, iaitu merujuk kepada suhu maksium harian 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. Lokasi lain Kuala Kangsar (Perak), Petaling dan Sepang (Selangor), Kuala Lumpur serta kawasan Beaufort di Sabah dan Limbang, Sarawak. 

Sementara itu, Muhammad Radzi mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan ketika cuaca panas terutama pada Ramadan ini seperti merancang aktiviti di luar rumah dengan mengelak waktu puncak cuaca panas antara 11 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. 

"Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, dan rasa mual. Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan, dan koma.

"Awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari," katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal lasak dan tempoh berada di luar bangunan.

Orang ramai diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan jika mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas, katanya. - Bernama

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search