PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pembenihan awan stabil paras 2 empangan di utara

Pembenihan awan stabil paras 2 empangan di utara

Subang Jaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) melaksanakan operasi pembenihan awan, bagi menstabilkan paras dua empangan di utara Semenanjung.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA, Meor Ismail Meor Akim, berkata dua empangan yang menjadi sasaran pada operasi itu ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dan Empangan Bukit Merah di Perak.

“Ini hari kedua operasi pembenihan awan ini dijalankan. Tujuannya untuk pembenihan awan dan menjadikan hujan. Cabaran kita ialah (memastikan) hujan itu menjadi, tetapi tiupan angin yang membuatkan awan terpesong dari sasaran kita. Jadi, kita harap operasi ini akan berjaya,” katanya ditemui pemberita di Pangkalan Tentera Udara semalam.

Operasi pembenihan awan semalam, diketuai oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Khairil Azhar Ariffin bersama lapan anggota TUDM, selain masing-masing 15 petugas NADMA dan Metmalaysia.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atmosfera dan Pembenihan Awan Metmalaysia, Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin, berkata untuk operasi pembenihan awan, pihaknya menggunakan empat tangki yang diisi 1,000 liter larutan garam,

“Kita menjangka pada waktu petang akan ada awan terbentuk serba sedikit di utara Semenanjung. Selain kita kena memastikan awan itu ada dan kelembapan atmosfera yang sesuai untuk membentuk awan yang terbaik,” katanya.

Ahmad Fairudz berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan paras empangan di negara ini dalam keadaan stabil. BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search