Tiga sekolah terjejas banjir di Dungun dibuka Ahad ini
- Admin UKK
- Berita
Kuala Nerus: Tiga sekolah yang masih ditutup akibat banjir di Dungun akan kembali dibuka untuk sesi persekolahan selewat-lewatnya Ahad ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong, berkata ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kampung Shukor dan SK Minda Talong.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan masih dijalankan di tiga sekolah berkenaan dengan usaha Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.
"Semua sekolah di seluruh negeri sudah kembali dibuka untuk sesi persekolahan kecuali tiga sekolah di Dungun yang masih diberi kelonggaran cuti bencana.
"PPD sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mencari kelengkapan sementara seperti kerusi dan meja untuk kegunaan murid.
"Kita jangka ia boleh dibuka selewat-lewatnya Ahad ini dan kita juga masih mengenal pasti kerosakan di semua sekolah yang terjejas akibat banjir sebelum dirujuk kepada kementerian bagi kerja-kerja pembaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau hari pertama SPM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Nerus di sini hari ini.
Jelani berkata, tiada sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut di Dungun yang dijadikan PPS ditutup petang semalam.
Beliau berkata, seramai 34 mangsa banjir sebelum ini berada di sekolah berkenaan.
Pada tahun ini, seramai 18,494 termasuk 105 Calon Berkeperluan Khas (CBK) menduduki peperiksaan SPM di 176 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu bermula pagi ini.
Daripada jumlah itu, seramai 3,420 calon di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).
Selain itu, seramai 1,742 calon di Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.
