PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

‘Hujan lebih 30 minit sudah bikin resah’

Keresahan penduduk Taman Muda Fasa 1 di sini setiap kali hujan lebat bukan dibuat-buat, sebaliknya akibat tidak sanggup lagi berdepan banjir kilat yang kerap berlaku.

Implikasi bencana itu bukan hanya pada kerugian harta benda semata, bahkan emosi, mental dan fizikal daripada proses pembersihan sisa banjir.

Normadiah Mat Yet, 68, berkata, dia dan sebahagian penduduk di kawasan perumahan itu sudah berdepan masalah banjir kilat sejak kira-kira 30 tahun lalu.

“Setiap kali hujan lebat lebih setengah jam sahaja, saya jadi resah dan mula mengalihkan barangan kerana bimbang rumah dimasuki air,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, permasalahan itu semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan paras air yang memasuki kawasan rumah lebih tinggi.

“Saya sudah tinggal di sini lebih 40 tahun. Dari dulu lagi, memang ada masalah banjir kilat tetapi tidak seteruk beberapa tahun lalu dengan air di bahagian depan rumah sahaja sehingga paras lutut.

“Pengalaman paling teruk banjir kilat yang saya alami adalah pada awal tahun lalu, apabila tiga kali rumah dimasuki air. Banyak kelengkapan rumah seperti karpet dan almari rosak akibat bencana itu,” katanya.

Menurutnya, banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu memaksa dia melakukan pengubahsuaian rumah dengan meninggikan lantai untuk mengelak air memasuki bahagian dalam.

“Namun, walaupun lantai rumah saya sudah tinggi tetapi air masih boleh masuk melalui dapur sehingga ke ruang tamu.

“Ada juga jiran saya membina tembok kecil di luar rumah untuk menghalang air masuk tetapi tindakan itu sia-sia.

“Air tetap masuk ke dalam rumah, memandangkan hujan terlalu lebat. Hal itu menyebabkan ada di antara penghuni yang berpindah ke tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Muda Fasa 1, Mohd Yusof Abdul Rahman,

67, berkata, banjir kilat yang berlaku di perumahan itu kerana keadaan longkang kecil dan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

“Semua rumah di kawasan perumahan ini adalah rumah teres yang dikelilingi longkang kecil dan ia tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

“Kami dapati kira-kira 20 rumah di kawasan ini mudah dilanda banjir apabila hujan lebat lebih daripada setengah jam,” katanya.

Mohd Yusof berkata, aduan sudah kerap disalur kepada pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.

“Saya harap isu ini dapat diselesaikan segera, dan menghilangkan keresahan penduduk setiap kali ketika hujan lebat melanda,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak

“Semua rumah di kawasan perumahan ini adalah rumah teres yang dikelilingi longkang kecil dan ia tidak dapat menampung jumlah air yang banyak” Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Muda Fasa 1, Mohd Yusof Abdul Rahman

berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Amaran hujan berterusan tahap buruk di Sarawak hingga esok

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak hingga esok.

MetMalaysia menerusi kenyataan pada Ahad memaklumkan ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga esok di Sarawak melibatkan kawasan Sri Aman, Sibu (Kanowit dan Selangau) serta Kapit (Song).

Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Johor melibatkan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, hari ini.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, dan laman media sosial rasmi jabatan berkenaan.

Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 juga boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. - Bernama

Hujan lebat berterusan dijangka landa Sarawak hingga esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Sarawak, yang dijangka berlarutan sehingga esok.

Kawasan yang terlibat adalah Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, dan Mukah. Selain itu, hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di kawasan Sri Aman, Sibu (Kanowit dan Selangau), serta Kapit (Song).

Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka melanda Johor di kawasan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, dan Johor Bahru, hari ini.

Orang ramai digalakkan mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, atau platform media sosial jabatan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui talian hotline 1-300-22-1638.

Mangsa ombak besar, banjir di Terengganu dan Sabah kekal

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Terengganu tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Setakat 9 pagi, seramai 19 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas akibat ombak besar dan air pasang masih berada di PPS di Kemaman dan Dungun.
Dua PPS yang masih aktif adalah Balairaya Kampung Geliga Pantai di Kemaman dan Balairaya JPKK Bandar Paka di Dungun.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan, PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai menempatkan lima mangsa membabitkan satu keluarga.

Di Dungun, PPSBalairaya JPKK Bandar Paka pula menjadi tempat berlindung 14 mangsa daripada lima keluarga.

Ketika ini angin kencang masih berlaku di kebanyakan tempat di Terengganu.
Sementara itu, hanya satu sungai direkodkan melepasi paras amaran, manakala satu lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Sungai Terengganu di Jambatan Angkat (F1), Kuala Terengganu kini melebihi paras amaran dengan bacaan 1.6 meter (m).

Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) Hulu Terengganu (F1), Hulu Terengganu yang mencatatkan bacaan 19.19 m direkodkan melebihi paras waspada.

Sementara itu di Sabah, jumlah mangsa banjir jugakekal 1,054 mangsa daripada 355 keluarga pagi ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan seramai 993 mangsa daripada 338 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Pitas, manakala 61 mangsa daripada 17 keluarga di Paitan kekal berlindung di tiga PPS. “Hanya Jalan Kampung Kusilad yang masih terjejas akibat banjir di kawasan itu,” katanya.

 

Mangsa banjir Sabah terus meningkat 1,054 malam ini

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 1,054 penduduk daripada 355 keluarga, setakat jam 11 malam tadi.

Ia berbanding 845 penduduk daripada 276 keluarga, petang tadi.

Mereka kini ditempatkan di dua daerah di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri menerusi kenyataan memaklumkan, daerah Pitas kekal mencatat angka tertinggi iaitu seramai 993 mangsa daripada 338 keluarga dan kini ditempatkan di tujuh PPS.

“Bagaimanapun, Paitan pula mencatatkan bilangan mangsa banjir sama dengan statistik petang tadi iaitu seramai 61 mangsa daripada 17 keluarga.

“Semua penduduk terjejas di daerah itu ditempatkan di tiga PPS,” katanya.

Sementara itu, APM dalam kenyataan sama turut memaklumkan semua PPS membabitkan daerah Kota Marudu ditutup jam 1.20 tengah hari tadi.

Menurutnya, sebanyak 20 kawasan terbabit banjir di Pitas, manakala daerah Paitan membabitkan tiga kampung secara keseluruhannya.

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search