PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kebakaran di Sandakan: PM arah bantuan segera

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan asas dan penempatan sementara dengan segera bagi penduduk di Kampung Bahagia, Sandakan yang terlibat dalam kebakaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan.

“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan yang telah memusnahkan ratusan buah rumah penduduk kampung. Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan. 

“Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan asas dan penempatan sementara sesegera mungkin,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam kejadian pada awal pagi tadi, kira-kira 200 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.32 pagi dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.

“Bomba menghadapi kesukaran ke lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sekali gus menghalang pergerakan jentera.

“Faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat selain laut surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya. – 19 April, 2026

Kebakaran Kampung Bahagia: Jawatankuasa selaras bantuan mangsa

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan menyelaras usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah dari segi keperluan asas, penempatan sementara serta kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan keselamatan mangsa dan penyaluran bantuan segera di lapangan.

"Saya berasa sedih melihat insiden kebakaran besar yang membabitkan ratusan rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan. Saya menzahirkan simpati yang mendalam kepada semua yang terkesan.

"Kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata pastinya satu ujian yang amat berat buat mangsa dan keluarga," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, memaklumkan jentera parti berkenaan di Batu Sapi sudah digerakkan bagi membantu mangsa di lokasi.

 

Beliau berkata, bantuan itu merangkumi urusan pendaftaran di pusat pemindahan sementara (PPS) dan penyaluran bantuan awal bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

"Sama-sama kita mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Semoga segala urusan dipermudah," katanya.

Lebih 9,000 penduduk terjejas dalam insiden kebakaran pada awal pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.30 pagi sebelum lokasi berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan bencana padajam 4 pagi.

Suhu lebih 30 darjah Celsius hampir seluruh negara hari ini

PETALING JAYA –  Cuaca panas terus mencengkam hampir seluruh negara apabila kebanyakan stesen meteorologi utama merekodkan suhu maksimum melebihi 30 darjah Celsius pada hari ini.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu hantaran berkata, keadaan  cuaca di negara pada hari ini adalah panas dan lembap dengan cuaca pagi yang agak cerah dan panas.

“Itu diikuti pembentukan awan ribut petir pada sebelah petang yang menghasilkan hujan lebat bersifat setempat, selari dengan ciri fasa peralihan monsun.

“Suhu maksimum harian berada pada julat 30 darjah Celcius hingga 35 darjah Celcius di kebanyakan kawasan,” katanya di sini hari ini.

Melalui gambar rajah yang dilampirkan antara yang paling mencuri perhatian ialah di Chuping, Perlis dengan suhu mencecah 35.8 darjah Celsius, diikuti Kuala Krai, Kelantan (36.0 darjah Celsius) serta Mersing, Johor yang turut mencatat suhu tinggi sehingga 34.8 darjah Celsius.

Di negeri-negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, suhu maksimum berada dalam lingkungan 31 darjah Celsius hingga 34 36.0 darjah Celsius.

Sementara itu, bagi kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Kuala Lumpur juga tidak terkecuali dengan suhu sekitar 33 darjah Celsius namun mencatatkan jumlah hujan yang agak tinggi berbanding negeri lain.

Walau bagaimanapun, beberapa kawasan seperti Selangor, Perak dan Pahang menunjukkan taburan hujan sederhana, dengan Petaling Jaya mencatat jumlah tertinggi iaitu 39.8 milimeter. – KOSMO! ONLINE

Kedah catat kes kebakaran belukar tertinggi

ALOR SETAR – Kedah menjadi negeri tertinggi merekodkan kes kebakaran belukar pada tahun ini termasuk semasa musim kemarau iaitu sebanyak 2,524 kes sehingga bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir. Ts. Ahmad Izram Osman berkata, ia diikuti Johor sebanyak 1,886 kes, Melaka (1,010), Kelantan (937) dan Perak (759).

Katanya, bagi kebakaran hutan pula, Selangor mencatatkan kes paling banyak iaitu 337 kes, diikuti Kelantan (123), Pulau Pinang (121), Sabah (113) dan Kedah (102).

“Kebakaran ladang pula dilaporkan banyak berlaku di Johor sebanyak 359 kes, diikuti Selangor (165), Perak (54), Kelantan (25) dan Melaka (23),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ahmad Izram berkata, kes kebakaran terbuka di Kedah meningkat seiring dengan keadaan cuaca panas sehingga mencecah 38 darjah Celsius sebelum ini.

“Lima balai yang mencatatkan kes tertinggi ialah Sungai Petani sebanyak 558 kes, Alor Setar (452), Amanjaya (317), Baling (316) dan Jitra (310),” jelasnya.

Katanya, antara cabaran anggota bomba dalam berdepan musim kemarau dan kes kebakaran terbuka termasuk keterbatasan sumber air untuk pembanjiran kawasan di lokasi, terutama membabitkan operasi berskala besar.

“Selain itu, kebakaran berulang di lokasi sama akibat pembakaran terbuka secara haram juga menjadi cabaran kepada kami. Pasukan Bomba Sukarela turut memainkan peranan yang amat penting sebagai sokongan kepada operasi jabatan dalam menangani pelbagai insiden kecemasan di lapangan,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurutnya, kes kebakaran terbuka menurun pada bulan ini susulan peningkatan jumlah hujan iaitu hanya 180 kes sehingga Selasa lalu, berbanding 1,246 kes pada bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

JBPM nasihat hentikan panggilan palsu, bazir kos minyak

SEBERANG PERAI – Ketidaktentuan di Asia Barat yang menyumbang kepada peningkatan kos bahan api ketika ini memberi cabaran kepada operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, pihaknya kini mempertingkatkan langkah pengurusan bahan api secara berhemah bagi menghadapi situasi tersebut, sambil memastikan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kita sebagai salah satu pasukan kecemasan, kita mengutamakan keselamatan dan kecemasan. Jadi, jabatan tidak akan kompromi untuk kita pergi bagi tujuan kecemasan.

“Tetapi kita akan mengurangkan, mengoptimumkan penggunaan utiliti  kenderaan namun untuk kes, kita mengutamakan keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 JBPM Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak menyalahgunakan talian kecemasan dengan membuat panggilan palsu yang boleh menjejaskan kecekapan operasi jabatan.

“Kita risau jika ada panggilan palsu dan kita pergi, kemudian (tempat lain) ada betul-betul berlaku kebakaran yangmelibatkan mangsa,” katanya.

Tambahnya, JBPM Pulau Pinang merekodkan sebanyak 11 panggilan palsu sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sekali gus memberi kesan kepada kecekapan operasi serta pembaziran sumber kewangan. -KOSMO! ONLINE

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search