Lima letupan kecil di pusat peranginan akibat tumpahan bahan kimia
- Admin UKK
- Berita
ALOR GAJAH: Sebuah pusat peranginan di sini gempar apabila berlaku lima letupan kecil dipercayai berpunca daripada tindak balas bahan kimia dengan air dalam kejadian petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu turut menyebabkan berlaku tumpahan bahan kimia di dalam bilik pam ketika kerja penyelenggaraan kolam renang dijalankan pekerja.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Tc. Zulkhairani Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah digerakkan ke lokasi dengan turut membabitkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT).
"Tumpahan bahan kimia di dalam bilik pam berlaku ketika pekerja sedang menjalankan kerja penyelenggaraan bahan kimia untuk kolam renang.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kehadiran gas klorin sebanyak tiga bahagian per sejuta (ppm), manakala bacaan gas lain seperti oksigen, karbon monoksida dan hidrogen sulfida berada pada paras normal," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bahan kimia yang terbabit ialah 90 peratus trichloroisocyanuric dalam bentuk serbuk yang digunakan bagi tujuan pembersihan kolam air pancut.
Katanya, Anggota HAZMAT kemudian mengesan berlaku lima letupan kecil dipercayai akibat tindak balas bahan kimia berkenaan dengan kuantiti air yang banyak selepas tumpahan berlaku.
"Dua anggota penyelam bahan kimia memakai pakaian perlindungan diri (PPE) Tahap A memasuki kawasan terbabit bagi membuat zon kawalan serta menjalankan proses nyahcemar. Bahan kimia berkenaan turut dipindahkan ke bekas yang lebih selamat bagi mengelakkan sebarang risiko lain," katanya.
Zulkhairani berkata, bacaan gas klorin kembali normal kepada sifar ppm selepas kerja pengawalan selesai dijalankan dan tiada mangsa cedera dalam kejadian itu.
